LIMA edisi terdahulu dipertandingkan berturut-turut tanpa gagal. Di mana pula silapnya apabila masuk yang keenam, langsung digugurkan. Sejak 2008 di Bali, Indonesia, sepak takraw pantai tidak pernah terlepas daripada menjadi sebahagian daripada program Sukan Pantai Asia (ABG). : KitaReporters.com

UPM (berjersi biru) membanggakan Malaysia dengan meraih pingat gangsa Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia di Qingdao, China, pada 2019.


Masih dengan tiga sentuhan bola, cabang sepak takraw di atas pasir ini menampilkan kelainan pada bilangan pemainnya iaitu empat orang, namun mereka bebas bergerak tanpa kekangan kawasan bulatan dan separa bulatan.

Servis sepak takraw pantai juga dilakukan dari hujung luar garisan gelanggang jadi tiada apit kanan atau kiri dan sesiapa boleh jadi tekong.

Gelanggangnya juga seperti sepak takraw biasa yang berukuran 13.4 meter panjang dan selebar 6.1 meter atau 81.74 meter persegi.

Jika para peminat masih ingat dan lebih mudah mengecam, sepak takraw pantai mirip kuadran atau regu berempat yang membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA 2017 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bezanya ialah permukaan gelanggang, satu di pantai atau kawasan berpasir dan satu lagi di atas karpet taraplex.

Sukan ini bukanlah terlalu baharu dimainkan dan hampir dua dekad lalu, membenarkan para pemainnya memakai kasut.

Walau bagaimanapun, pasir gelanggang didapati telah memberatkan gerak-geri mereka apatah lagi apabila bahan itu turut terkumpul dan terselit di celah-celah kasut.

ABDUL Halim Kader (dua dari kiri) menyampaikan hadiah tempat ketiga kepada skuad Malaysia  di Qingdao, China. 


Sejak kemunculan dalam ABG dan sebuah kejohanan jemputan Asia Tenggara di Bengkalis, Riau, Indonesia pada 2007, pemain-pemain sudah bebas untuk hanya berstoking dan mengalas bahagian tertentu sebagai langkah keselamatan jika dilibas bola laju.

Skuad negara juga pernah meraih pingat gangsa ABG di Bali pada 2008 (antara regu) dan Da Nang, Vietnam tanggal 2016 (regu berpasukan).

Dibimbing jurulatih Ismail Atan dan Ahmad Jais Baharun, barisan pemenang empat tahun lalu ialah Shahrul Ahmad Kamal, Anwar Saadon, Noraizat Mohd. Nordin, Nur Akram Mustalib, Lutfil Hadi Azmi, Afiq Aiman Zairi, Hafizzudin Zulkifle, Mustaqim Zainordin, Wan Mohd. Syazwan Asri dan Ahmad Badrie Amin Azmi.

Mereka bermula dengan dikalahkan Vietnam dan juara bertahan, Thailand 3-0 tetapi bangkit untuk menewaskan Korea Selatan 3-0 dan India 2-1 dalam persaingan lima pasukan selama tiga hari di pantai My Khe, Da Nang itu.

ABG Bali 2008 pula menyaksikan kemunculan Mohd. Faizal Adnan - anak Raja Sepak Takraw Asia 1986, Adnan Saidin - yang membantu skuad negara merangkul gangsa antara regu selain pelibas pemenang perak Sukan SEA 2001, Rosmadi Ghani.

MOHD. Faizal Adnan bermain sebagai apit kanan dan kiri sepak takraw biasa dengan PDRM selain meraih gangsa ABG 2008. 


Dalam persiapan ala bidan terjun di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan, gabungan pemain Terengganu dan Polis Diraja Malaysia dipertaruhkan ke Bali yang disaring menerusi sebuah kejohanan kecil tempatan sahaja.

Namun Malaysia pernah tidak menghantar pasukan langsung ke ABG Muscat, Oman 2010; Haiyang, China 2012 dan Phuket, Thailand 2014.

Kebanyakan ketiadaan ini disebabkan kurang seriusnya Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) memandang kepentingan ABG.

Begitu juga hasrat memajukan sepak takraw pantai sebagai sukan pelancongan negara, bagaikan tidak pernah terlintas langsung di hati para pegawainya.

Bayangkan banyak manfaatnya jika sepak takraw pantai dimanfaatkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020? Siapakah juga negara pengasas sukan ini? Seluruh negara kita dikelilingi pantai tetapi di mana kejohanan sepak takraw pantai kebangsaan?

MOHD. Faizal Adnan (kanan) merejam bola gaya kalih dalam ABG Bali 2008. - Foto ANTARA


Selepas Da Nang, penganjur utamanya, Majlis Olimpik Asia (OCA) memutuskan untuk melangsungkan temasya dwitahunan ini kepada empat tahun sekali, (kekal dengan tahun genap) seperti mana Sukan Asia.

“Sepak takraw pantai tiada dalam ABG Keenam, 2020 di Sanya, Hainan, China dari 28 November hingga 6 Disember 2020 kerana kebanyakan badan Olimpik negara-negara Asia atau majlis sukan mereka enggan membiayai pemergian dan perbelanjaan kontinjen.

“Selain perlu berbelanja sendiri tiket penerbangan, kos pembiayaan seseorang atlet yang ditetapkan tuan rumah ialah AS$59 (RM240.30) sehari,” kata Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Abdul Halim Kader.

Sebagai galang gantinya kata beliau, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), takwim sepak takraw sepanjang 2020 tetap menampilkan beberapa kejohanan cabang itu.

“Antaranya Sukan Pantai Karachi, Pakistan dari 13 hingga 17 Mac dan Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Kedua di Qingdao, China (9 hingga 14 Julai),” katanya.

MALAYSIA (berjersi biru) menentang tuan rumah, China dalam Kejohanan Sepak Takraw Pantai Asia Pertama pada Julai 2019.


Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mewakili negara, juga pulang dari edisi sulung di Qingdao dari 7 hingga 12 Julai tahun lalu dengan sebutir gangsa antara regu.

Lebih daripada 100 pemain dari 12 negara menyertainya seperti Indonesia, Vietnam dan tuan rumah dengan Thailand membolot keempat-empat acara dalam kategori lelaki dan wanita.

Skuad yang dilatih oleh bekas tekong naib juara Sukan Asia Doha 2006, Ahmad Sufi Mohamed Hashim ini turut dianggotai Muhammad Suhairi Sulaiman, Muhammad Anuar Saadon, Mustaqim Zainordin, Muhammad Danial Baharin, Wan Muhammad Anas Muhaimin dan Amir Aizad Mohd Roshanizam. - KitaReporters.com

THAILAND sentiasa menguasai apa juga acara atau cabang sepak takraw termasuk pantai.

4
2
1
0
0

Copy Link: