“Berlakon bersama Che Ta? Sebagai anaknya?” itu antara persoalan yang menganggu fikiran artis versatil, Alif Satar apabila ditawarkan berlakon sebuah drama bersiri komedi, ‘Family Spy’ yang bakal disiarkan di saluran Astro Ceria pada 11 Mac 2020. - KitaReporters

Alif Satar berlakon sebagai anak kepada Che Ta dalam drama bersiri 'Family Spy'. - Kredit foto: IG @alifsatar.


“Bila pertama kali bertemu Che Ta, saya sangka dia seorang artis yang ‘diva’ ala-ala sebuah pasu bunga kurun ke-18 yang perlu dijaga dalam gelas berserta bodyguard dan berharga .

"Tetapi tak sangka dia memang mudah didekati,” ujar Alif berhubung pengalamannya buat pertama kali berlakon di samping pelakon Rozita Che Wan yang lebih popular disapa Che Ta.

Menurut Alif yang ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri ‘Family Spy’ pada Isnin, 2 Mac 2020, selama 14 tahun dalam industri beliau belum pernah berlakon atau bertemu secara dekat dengan Che Ta.

“Dan bila ditawarkan berlakon sebagai anak kepada Che Ta, saya agak risau kerana selama ini watak ibu-ibu selalunya dilakonkan oleh artis veteran, tetapi ini Che Ta yang semua tahu personalitinya bagaimana kan,” cerita Alif senyum.

Tetapi tambahnya, apabila berada di set, Che Ta seorang yang sangat terbuka dan mudah bekerjasama apatah lagi bila keluar loghat ‘Aloq Setaq’-nya memang menyeronokan.

Loyar buruk juga rupanya dia, ujar Alif yang membayangkan mahu terus berlakon bersama Che Ta.

“Mungkin saya boleh buat satu cerita untuk YouTube channel saya atau pun satu program untuk TV, mesti meletop,” akhiri Alif yang nampak amat berpuas hati dapat berlakon di samping isteri kepada Zain Saidin itu.

Foto yang dimuat naik oleh Alif dalam Instagramnya semasa penggambaran berlangsung.


Apa pula pendapat Che Ta?

“Saya bertemu Alif dalam set penggambaran selepas seminggu dan sebaik sahaja digandingkan, saya rasa ada keserasian. Kami senang bekerja bersama,” ujar Che Ta yang bukan sahaja berlakon sebagai  ibu dan nenek, tetapi seorang ejen penyiasatan.

“Sebagai ejen penyiasatan sudah tentu pihak produksi mahukan seorang wanita berusia, tetapi mampu melakukan aksi jadi agaknya kerana itulah saya dipilih,” tambah Che Ta.

Sehubungan itu, katanya beliau tidak rela disolek tua hanya bagi memenuhi tuntutan watak berusia tetapi apabila ditawarkan watak berkenaan yang tidak memerlukannya bersolek, itu yang membuatkan beliau terima.

Mengakui melakukan beberapa babak ‘stunt’ sendiri sehingga menyebabkan badannya sakit, kata Che Ta, “ada satu hari tu sampai tak larat nak angkat tangan pun, sakitnya ya amat.”

Video treler yang dimuat naik oleh Che Ta melalui Instagramnya @rozitachewan1


Jadi jika korang nak tengok Che Ta berlakon ala-ala aksi ejen wanita 007,  ‘Nora Zain’ dalam filem klasik tahun 1965, eloklah bersedia di hadapan TV di saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) pada setiap hari Rabu, jam 9 malam mulai 11 Mac 2020.

Drama bersiri 8 episod arahan Angie Choo  (gambar bawah, empat dari kiri) terbitan Astro GenNext Studios dengan kerjasama rumah produksi Shutterspeak Studio turut menampilkan bintang Gegar Vaganza 2019, Sham Visa yang memegang watak antagonis,

Barisan pelakon lain terdiri daripada Datin Maria Farida, Sharifah Shahirah, Airiezara Jasmin, Nynaa Harizal Charis Ow dan Danial Zaini.

“Family Spy bertujuan memberi kesedaran kepada ibu bapa dan anak-anak atas kepentingan keselamatan ketika menggunakan Internet.

"Drama itu juga mengetengahkan kebaikan pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang boleh membantu kanak-kanak mencapai cta-cita mereka dalam dunia digital dewasa kelak,” akhiri Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecelia Wong  (tengah) dalam ucapan ringkasnya.

Bagaimana ceritanya? 

Saksikan nanti tetapi yang pasti memang sesuai untuk tontonan kanak-kanak pada musim cuti akan datang. - KitaReporters


6
1
0
0
0

Copy Link: