Nilai bersih sektor e-dagang ASEAN dijangkakan mencecah AS$153 bilion pada tahun 2025.  Sehubungan itu, Shopee bekerjasama rapat dengan pihak Kerajaan untuk mempersiapsiagakan peniaga tempatan dengan kemahiran, ilmu dan peluang untuk memasarkan produk mereka dalam talian. : KitaReporters.com 

Dari kiri: Shino Lee, Ketua Pemasaran (Komunikasi) Shopee Malaysia; Nor Hasnah Badroddin, Setiausaha Bahagian Pembangunan Ekonomi Komuniti, KPLB; Ahmad Shah Wahid, CEO Elokal Sdn Bhd; Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus, Ketua Setiausaha KPLB; Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Luar Bandar; Zed Li, Ketua Pengurusan Jualan Shopee Malaysia; dan Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), KPLB pada pelancaran kedai rasmi Desaauto@KPLB di Shopee, di Kuala Lumpur pada Khamis (28/11/2019) lalu. 


Menurut satu kenyataan media, bulan lepas, Shopee telah menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Elokal, pemboleh daya yang dilantik Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memastikan usahawan luar bandar tidak ketinggalan. 

Kedai rasmi Desamall@KPLB telah dilancarkan, mengetengahkan produk buatan tempatan seperti sambal, dodol, buku, baju kurung dan banyak lagi.

Meneruskan kejayaan tersebut, pihak Kementerian melancarkan sebuah kedai pengkhususan automotif dalam talian di Shopee. 

Dikenali sebagai Desaauto@KPLB, inisiatif tersebut dijangkakan memberi manfaat kepada lebih 200 usahawan luar bandar yang mengilang dan mengedar produk automotif seperti tayar, bahagian gantian dan minyak enjin. 

Ini memberi mereka peluang untuk menjangkau pelanggan berpotensi baharu seluruh negara dan rantau melalui perkhidmatan melangkau sempadan Shopee, Platform Antarabangsa Shopee. 

Sebagai pemulaan, 100 produk akan didapati di kedai rasmi dalam talian tersebut, menurut kenyataan itu lagi.

“Sekitar 24% daripada populasi Malaysia menginap di kawasan luar bandar, dan fokus utama Kementerian saya adalah untuk memajukan infrastruktur, kedudukan ekonomi dan pendapatan penduduk luar bandar. 

"Masih banyak yang perlu dilakukan bagi kawasan luar bandar. Desamall@KPLB dan Desaauto@KPLB di Shopee adalah antara dua inisiatif KPLB yang akan memastikan usahawan luar bandar tidak ketinggalan dalam arus permodenan terkini sejajar dengan Revolusi Industri 4.0. 

"Sasaran kami untuk tahun 2020 adalah untuk mempersiapkan 5,000 usahawan luar bandar baharu. Kami telah menyediakan kerja dasar untuk mereka dan dengan perancangan yang menarik ini, kami yakin yang kita akan berjaya mencapai sasaran kita. 

"Tanggungjawab seterusnya adalah atas bahu warga luar bandar untuk mengambil langkah ke hadapan dan menggunakan peluang yang disediakan ini sepenuhnya,” ucap Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang merasmikan pelancaran kedai rasmi Desaauto@KPLB di Shopee, di Kuala Lumpur pada Khamis (28/11/2019) lalu.

Sementara itu, Ian Ho, Pengarah Urusan Serantau, Shopee berkata, pelancaran Desaauto@KPLB meneruskan usaha Shopee untuk memperkasakan dan memberi kebolehan kepada usahawan tempatan, dan menyampaikan ilmu pengetahuan kepada mereka untuk berkembang maju dan berjaya dalam talian. 

"Ini termasuk bengkel percuma kami bagi para penjual, Shopee University yang membimbing mereka mengenai cara-cara untuk mengoptimumkan perniagaan mereka secara dalam talian sambil kami mengurus dan menyetempatkan kempen jualan untuk meningkatkan prestasi jualan usahawan-usahawan Shopee," jelasnya dalam kenyataan yang sama.

Pelancaran Desaauto@KPLB telah diadakan bersempena dengan pengumuman Shopee 12.12 Birthday Sale yang berlangsung dari 28 November hingga 12 Disember. 

Kenyataan Shopee menyebut, syarikat akan mengadakan acara hiburan dan promosi sebagai ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan padu mereka yang tidak berbelah bahagi, termasuk tawaran harian RM12, penghantaran percuma dengan perbelanjaan minimum RM12, dan 12 juta Shopee coins untuk dimenangi di Shopee Catch.

Ho mengulas, Shopee mahu mengakhiri tahun 2019 dengan sambutan bermakna yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia. 

"Shopee 12.12 Birthday Sale ini juga direka sebagai ucapan terima kasih kepada pengguna atas sokongan luar biasa mereka dengan tawaran terhebat pada akhir tahun. 

"Kami telah melancarkan semua tawaran ini dan ganjaran eksklusif supaya rakyat Malaysia dapat turut serta bersama kami dalam sambutan ini dan menamatkan tahun ini dengan baik. 

"Pelbagai tawaran menarik diadakan pada 12.12 Birthday Sale ini dan kami berharap ia akan membantu anda dalam persediaan menjelang tahun baru," tambahnya dalam kenyataan media tersebut. - KitaReporters.com

1
0
0
0
0

Copy Link: