WOW!! BOLEH JANA PENDAPATAN DARIPADA HOBI
Published byADA orang sanggup bayar RM1,000 hingga RM2,000 untuk mendapatkan seekor anak kucing baka British shorthair dan jika induk @ ibu kucing itu beranak ramai haiwan yang berbulu lebat dan comel itu, bayangkan pendapatan pemiliknya dapat mengaut keuntungan hasil daripada perniagaan yang bermula dengan hobi. : Kitareporters.com
Antara peserta yang hadir pada Seminar Asas Usahawan Wanita 2020 di Taman Bayu Permai, Rawang, Selangor pada 18 Januari 2020.
Seorang lagi penduduk mengusahakan benih pokok tin di pekarangan rumahnya. Sepohon tin yang baru tumbuh sejengkal, dijual dengan harga RM35. Ada yang beli dua pasu sekali gus.
Sambil menghias rumah dengan pelbagai pokok bunga, memelihara kucing dan menjahit atau mengubah bunga hantaran ternyata sangat mudah untuk menjana pendapatan lumayan dengan 'menjual' hobi dan kemahiran.
Begitu juga dengan kisah seorang pemancing ikan yang hobinya pergi ke sungai untuk mencari baka ikan eksotik, kemudian menjualnya dengan harga RM200 seekor kepada taukey kedai ikan yang memang memerlukan baka ikan tertentu untuk memenuhi permintaan pengumpul ikan yang percaya pada simbol 'tuah' dalam perniagaan.
Tidak perlu khuatir jika duduk di rumah saja, suri rumah atau kaum lelaki boleh menghasilkan sumber kewangan sampingan jika tahu teknik perniagaan, demikian kata Mohd Rahim Suparmin, yang menceritakan pengalaman kawan-kawannya, ketika berceramah kepada penduduk pada Seminar Asas Usahawan Wanita 2020 di Rawang, Selangor pada Sabtu, 18 Januari 2020.
Seminar Asas Usahawan Wanita 2020 anjuran bersama Surau Al-Hidayah Taman Bayu Permai, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Masjid Cahaya Iman, Kolej Komuniti Selayang dan Restoran Lass Vida.
Seminar pertama kali itu anjuran bersama Surau Al-Hidayah Taman Bayu Permai, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Masjid Cahaya Iman, Kolej Komuniti Selayang dan Restoran Lass Vida.
Beliau yang juga Pengurus Projek, Perumahan Kundang berkata, dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan ramai juga yang hilang pekerjaan, mereka boleh memulakan projek perniagaan ini berdasarkan minat dan hobi.
Sekurang-kurangnya pendapatan itu boleh juga buat menampung bayaran bil elektrik dan air atau keperluan harian.
Malah ada peniaga ini memperolehi lebih RM2,000 sebulan berniaga dari rumah.
Mohd Rahim Suparmin menceritakan pengalaman kawan-kawannya memulakan perniagaan dan bagaimana sesuatu perniagaan itu boleh berjaya.
Seminar yang menyasarkan ibu tunggal, suri rumah dan anak-anak muda yang mencapai usia 18 tahun ke atas bertujuan membimbing mereka berniaga berasaskan hobi, berkemahiran memasak, menjahit, membuat biskut, mengasuh bayi, mengubah bunga dan hantaran, menjaga orang tua, mengajar mengaji dan membaca.
Manakala kerjaya yang boleh dilakukan di luar rumah pula, boleh menjual hasil kebun bunga, sayuran, menternak ayam, membela kucing, ikan dan menternak lebah.
Mereka juga boleh mengambil upah membuat hiasan pokok dan landskap, memandu kereta Grab atau van serta membuka gerai serbaneka dari makanan sehingga mainan.
Kata Rahim, sebelum berniaga eloklah mereka 'masuk kelas' untuk melihat kemahiran diri dan rangkaian pemasaran yang boleh ditembusi untuk memperkenalkan barangan mereka.
Jualan juga boleh dimulakan dengan memenuhi keperluan jiran setaman.
Apabila sudah stabil dan berani mengorak langkah, perniagaan itu boleh dikembangkan menerusi paparan iklan dalam media eletronik seperti grup WhatsApp, Instagram dan Facebook.
Semua kemudahan sangat mudah diperolehi sekarang dan modal peringkat awal perniagaan tidak perlu jumlah yang besar.
Peserta turut didedahkan dengan teknik asas seperti cara menubuhkan syarikat, menjenamakan barangan, pemilihan logo, warna yang membangkitan aura dan kaedah memohon pinjaman dari agensi kerajaan termasuk AIM.
Zuraini Mustafa, Penolong Pengurus AIM Cawangan Selayang.
Sementara itu, Penolong Pengurus AIM Cawangan Selayang, Zuraini Mustafa, berkata ada enam skim yang disediakan dalam dua katogeri.
Pinjaman bermula RM3,000 hingga RM30,000 disediakan kepada peniaga yang baru mula sehingga yang sudah kukuh dan memerlukan modal tambahan. Semua pinjaman tertakluk pada syaratnya.
AIM juga menyediakan skim jangka pendek seperti skim pinjaman bulan Ramadan untuk membantu peniaga membuka gerai pada bulan puasa dan membuat kuih muih dengan pinjaman sebanyak RM5,000 dan bayaran balik boleh dibuat dalam tempoh 25 minggu.
Malah warga emas yang ingin mengembangkan hobi mereka turut berpeluang meminjam dari AIM dengan modal RM2,000 dan mereka boleh membayar pinjaman itu dalam tempoh 50 minggu.
Bagi membantu membasmi kemiskinan di bandar, AIM sediakan pinjaman kewangan kepada usahawan baharu, kata Zuraini Mustafa.
Zuraini berkata AIM mula membuka pinjaman kepada penduduk kawasan bandar sejak 12 tahun lalu bagi membantu membasmikan kemiskinan di bandar dan menyediakan pinjaman kewangan kepada usahawan baharu. Usahawan akan dibimbing dan sejajar perkembangan, mereka boleh memohon modal sehingga RM30,000.
Sejak 1987, sudah 33 tahun AIM bertapak di negara ini dan kini ada 136 cawangan di seluruh negara.
Semua peminjam AIM akan dilindungi dengan pelan insurans dan mereka akan menerima pampasan cacat kekal dan jika kematian, semua pinjaman itu ditanggung sepenuhnya oleh insurans AIM. - KitaReporters.com