EZRA DAN HAEL CIPTA REKOD JIKA MENANG AJL34
Published bySEPANJANG sejarah penganjuran Anugerah Juara Lagu (AJL), belum pernah ada mana-mana penulis lirik yang berjaya memenanginya lebih daripada dua kali. : KitaReporters.com
Tiga penulis lirik yang boleh dikira ‘gergasi’ dalam AJL - Habsah Hassan, Allahyarham Juwie dan Allahyarham Loloq - pun tidak pernah memenanginya lebih daripada dua kali.
Habsah adalah yang paling cemerlang dengan 22 penyertaan lirik ke peringkat akhir, dua kali juara kategori, dua kali tempat kedua, dua kali juara AJL dan sekali pemenang Lirik Terbaik.
Trofi AJL dirangkul oleh Habsah melalui lagu Menaruh Harapan (AJL2) yang turut memenangi kategori Lirik Terbaik dan Cinta Beralih Arah (AJL10).
Tempat kedua pula melalui lagu Aku Kehilanganmu (AJL1) dan Diriku Terbelenggu (AJL3).
Manakala dua lagi kejayaan Habsah adalah melalui lagu Pulangkan (AJL19) sebagai juara kategori Balada dan Warkah Buat Laila (AJL21) sebagai juara kategori Etnik Kreatif.
Juwie juga pernah dua kali merangkul trofi AJL iaitu pada AJL3 melalui lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan AJL6 melalui lagu Takdir Dan Waktu.
Begitu juga buat Loloq yang memenangi trofi AJL melalui lagu Ghazal Untuk Rabiah (AJL12) dan Andalusia (AJL14).
Seorang lagi penulis lirik yang berjaya meraih trofi AJL sebanyak dua kali adalah Hairul Anuar Harun melalui lagu Cindai (AJL13) dan Balqis (AJL15).
Selepas AJL15, hanya pasangan Hael Husaini dan Ezra Kong yang berjaya memenangi AJL dua kali.
Lebih menarik lagi, mereka pasangan (atau individu) yang pertama memenanginya dalam tempoh dua tahun berturut-turut.
Jika lagu ciptaan mereka, Anta Permana memenangi AJL34 yang akan berlangsung pada 9 Februari ini, mereka bukan sahaja dapat melebarkan rekod memenangi AJL kepada tiga tahun berturut-turut, malah menjadi penulis lirik pertama memenanginya lebih dari dua kali!
Persoalannya, mampukan Anta Permana mengatasi 11 lagi lagu lain yang ternyata mempunyai kekuatan tersendiri? - KitaReporters.com