NAK TANYA.. BETUL KE PENGALAMAN AJAR KITA??
Published byASSALAMUALAIKUM dan selamat pagi. Kongsi minda, bersih jiwa. : KitaReporters
Renungan
Menulis dari jiwa
Semua yang berlaku kehendak Allah
Tiada siapa minta jadi susah
Jauh sekali ditimpa musibah
Tapi kerana Allah sayang
Dihadiahkan mereka yang terpilih
Dengan ujian
Redha, usaha, doa dan tawakal
Pasti ada jalan keluar
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.
Orang hanya memandang. Kita yang menanggung.
Pepatah yang sangat relevan dengan manusia.
Hari ini saya ingin berkongsi pengalaman sendiri dengan pesakit HIV semasa bertugas di Meja Keluarga, Utusan Malaysia sekitar awal 90-an.
Melalui satu panggilan telefon saya dimaklumkan ada satu keluarga penghidap HIV di Batu Arang, yang dekat dengan rumah saya di BTP Rawang.
Memandangkan kisah HIV sedang panas ketika itu, tentunya ia sangat menarik untuk dijadikan bahan untuk ruangan Keluarga apa lagi ia membabitkan sebuah keluarga.
Anak buah di Meja Keluarga berkali kali berpesan, "kak Mala jangan salam tau.... Takut jangkit."
Saya hanya tersenyum.
Lalu pada hari dijanji, saya bersama jurugambar ke alamat yang diberikan, sebuah rumah kayu yang agak usang, mungkin bekas kuarters.
Jiran-jiran ada yang menjenguk dari tingkap tapi menghilang kemudiannya.
Sebaik memberi salam seorang wanita muncul, berusia dalam 30 tahun lebih bersama 2 anak perempuannya.
Dia tidak pula menghulurkan tangan untuk bersalam dan saya menghulurkan sebakul buah dan biskut yang sempat saya siapkan untuk mereka.
Wanita itu menjemput saya masuk.
Kami duduk di atas lantai. Tidak ada perabot di rumah itu tapi saya nampak banyak makanan dan keperluan dapur.
Di satu sudut bilik ada tilam dan bantal.
Temu ramah saya dengan wanita itu berjalan lancar. Suamimya, pembawa HIV tidak ada.
Dia dan anak-anaknya terbabit sama kerana suaminya ambil dadah melalui suntikan.
Bila saya tanya siapa bagi makanan dan keperluan yang banyak tu dia bagi tahu ada satu persatuan hantar dan bagi mereka duit. Saya termenung dan maklum dengan kata katanya.
Sebelum balik, sempat jumpa suaminya. Nampak sedang khayal. Sempat ambil gambar tapi saya tak tanya banyak kerana dia baru lepas ambil dadah. Dalam keadaan macam itu pun masih tak serik-serik.
Selepas cerita mereka keluar, ramai yang memberi sumbangan kepada mereka. Sayangnya, seminggu selepas itu apabila saya ke rumah itu lagi, jiran-jiran bagi tahu mereka sekeluarga telah dibawa untuk rawatan.
Saya tak dapat kesan mereka selepas itu.
Sampai hari ini wajah 4 beranak itu tetap segar pada mata saya. Saya doakan yang baik-baik untuk mereka.
Ramai bertanya tak takut ka terkena HIV...
Saya senyum. Jika kita faham tentang HIV kita tidak perlu takut.
Lagipun nak bahan menarik dan eksklusif mesti redah dan berani!
Sesungguhnya Allah penentu segala.
Iktibar daripada kisah ini
Dalam menjalankan tugas mesti berani dan yakin.
Buat homework tentang apa yang hendak kita laporkan.
Kikis perasaan jijik dan takut.
Jangan pandang hina kepada sumber kita.
Ingat, mereka juga manusia, tidak sempurna dan sering buat silap.
Bantulah mereka untuk pulih dan teruskan hidup.
Jangan biarkan mereka tanpa pembelaan.
Ikhlaskan hati membantu.
Selalu ingat, ini ujian Allah untuk mereka.
Siapapun mereka sebagai manusia kita harus membantu.
Kadangkala tugas kita menjadikan kita lebih bertanggungjawab terhadap masyarakat sekeliling kita.
🌹❤️ Pengalaman paling berharga dalam hidup kita apabila kita belajar tentang kepayahan manusia lain melalui ujian Allah berpandukan hati dan minda kita. 🌹❤️ - KitaReporters