SURAU BERGERAK.. MANA MAU LARI! JOM SOLAT
Published bySEBAGAI satu inisiatif untuk menyelesaikan masalah berkaitan surau yang sesak pada waktu puncak terutama pada waktu zohor, sebuah surau bergerak telah disediakan di kampus Universiti Utara Malaysia (UUM) oleh Pusat Penginapan Pelajar (SAC) UUM dengan kerjasama Syarikat Bas UNIC. : KitaReporters
HEP UUM bekerjasama dengan Syarikat Bas UNIC untuk menyediakan kemudahan surau bergerak sejak Februari 2020.
Pengarah Pusat Penginapan Pelajar (SAC), Roslina Abdullah berkata, kemudahan surau bergerak ini diharap dapat bantu memudahkan pelajar universiti ini menunaikan solat dalam keadaan tenang dan selesa tanpa perlu berebut menunggu giliran.
“Surau yang sedia ada tidak mampu untuk menampung jumlah pelajar yang ramai pada satu masa sehingga ada segelintir pelajar terpaksa pulang ke Inapan Siswa (INASIS) untuk menunaikan solat sebelum kembali ke dewan kuliah.
"Di atas kesedaran inilah, pihak HEP UUM bekerjasama dengan Syarikat Bas UNIC untuk menyediakan surau sejak Februari 2020," jelas Roslina.
Surau bergerak ini mampu memuatkan antara 15 hingga 17 jemaah pada satu masa dan ia dibuka dari jam 12.30 tengah hari sehingga 6 petang.
Pada peringkat permulaan, hanya sebuah bas yang diubah suai ditempatkan di parkir kereta di UUM COLGIS.
Beliau menambah dengan adanya surau bergerak ini, pelajar tidak perlu lagi bergegas, tambahan pula ruang solat di dalam surau bergerak itu mampu memuatkan antara 15 hingga 17 jemaah pada satu masa dan ia dibuka dari jam 12.30 tengah hari sehingga 6 petang, khusus untuk pelajar lelaki sahaja buat masa ini.
Menurutnya, surau bergerak itu menggunakan bas yang telah diubah suai dengan ciri-ciri moden dan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti ruang solat, tangki air, paip wuduk, penghawa dingin, selipar dan sejadah.
Surau bergerak yang terletak dekat dengan dewan kuliah ini dapat menjimat masa dan tenaga pelajar kerana tidak perlu lagi pulang ke INASIS.
Dalam pada itu pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Wan Muhammad Arishah Wan Anuar yang menggunakan kemudahan ini berkata, penyediaan surau bergerak ini memberi kemudahan yang baharu kepada pelajar untuk menunaikan solat dengan lebih selesa dan menjimatkan masa.
“Saya dan rakan-rakan selalu menggunakan surau ini kerana kedudukan yang lebih dekat dengan dewan kuliah, di samping dapat mengurangkan kesesakan di surau DKG 5 kerana pelajar akan berebut-rebut untuk menunaikan solat sebelum bergegas ke kelas.
“Dengan adanya surau ini, saya dapat menjimat masa dan tenaga tanpa perlu pulang ke INASIS kerana surau bergerak ini hanya terletak di antara Dewan Kuliah Gugusan (DKG) 6 dan DKG 5,” katanya.
Kemudahan yang disediakan sangat baik dan ruang solat yang dilengkapi penghawa dingin juga selesa.
Manakala bagi pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Wan Ahmad Shazwan Wan Rozak, surau bergerak ini satu kemudahan terbaik kepada pelajar yang berdepan dengan kekangan tempat solat terutama ketika menghadiri kelas.
Katanya, kemudahan yang disediakan sangat baik dan ruang solat yang dilengkapi penghawa dingin yang selesa juga, sekali gus menarik pelajar untuk menunaikan solat di sini.
Katanya lagi, solat adalah tiang agama yang menjadi kewajipan setiap umat Islam sebagai hamba Allah dan solat boleh dilaksanakan di mana sahaja tidak mengira tempat.
“Saya berharap pelajar UUM dapat memanfaatkan surau yang disediakan ini dalam kesibukan menghadiri kuliah,” katanya lagi. - KitaReporters