TAK KENAL ZAINAL RAWOP?? AWAK DUDUK MANA?
Published byAPA lagi jenis sukan yang tidak pernah diulas oleh Zainal Abidin Rawop sejak terjun ke kancah pengulasan sukan TV pada 1986. Bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, ragbi, berbasikal, badminton lengkap dalam perjalanan karier anak jati Johor Bahru, Johor ini. : KitaReporters.com
ZAINAL Abidin Rawop ... pengulas sukan TV peminat tegar Liverpool, pendahulu Liga Perdana England yang tidak tercabar setakat ini.
Telah banyak juga temasya dan kejohanan besar yang dilatari suara Zainal, 53, yang turut berkongsi tarikh lahir 25 April dengan bintang naib juara dan pemenang Bola Emas Piala Dunia 1974 dari Belanda, Johan Cruyff ini.
“Sukan SEA sejak Kuala Lumpur 1989 hingga di Filipina, tahun lalu, Sukan Asia Beijing 1990 dan Busan 2002 hingga Jakarta-Palembang 2018, Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 hingga Gold Coast 2018, Sukan Olimpik Barcelona 1992 hingga Rio 2016.
“Bagi kejohanan besar sebuah jenis sukan termasuk bola sepak Piala Dunia sejak Perancis 1998 dan Ragbi Piala Dunia 2011 dan 2015,” kata Zainal yang mulanya bercita-cita untuk menyarung jersi negara sebagai pemain bola sepak.
ZAINAL (kiri) mengendalikan program bual bicara Astro Arena, Formasi di samping tetamu studio.
Bagaimana dengan e-sports (sukan elektronik) yang menjadi kegilaan generasi muda sekarang?
Duduk bermain di ‘arena’ berhawa dingin, menghadap skrin gajet dan kurang berpeluh seperti atlet sebenar tetapi mampu mengaut pendapatan lumayan sebagai pro!
E-sport turut telah menyumbangkan sebutir pingat emas Sukan SEA FIlipina 2019 buat Malaysia menerusi kejayaan Dr. Yew Weng Ken dalam permainan Hearthstone pada 9 Disember 2019.
Sukan baharu ini juga sudah bertapak sebagai pertunjukan pada Sukan Asia Indonesia 2018.
“Maaf, yang ini saya angkat tangan (enggan mengulas e-sports).
"Saya jenis orang yang tidak suka menghabiskan masa dengan permainan video tetapi saya akui, sukan ini sudah diiktiraf banyak badan sukan antarabangsa,” tegasnya.
Dengan aset suara, Zainal ialah antara ‘wira tidak didendang’ yang mampu mengumpan dan mendorong khalayak bertumpu kepada sesuatu peristiwa atau acara yang disiarkan TV atau radio mahupun live streaming Internet sekarang.
MENGULAS dalam siaran langsung Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Juruhebah atau pengulas? Seakan sukar menemui garis perbezaannya tetapi kepentingan mereka ialah hidupkan suasana dan salurkan maklumat tepat serta selitkan sedikit humor jika perlu, barulah impaknya akan ketara.
Kadangkala suara latar ini juga menjadi sumber inspirasi buat atlet-atlet bakat baharu yang sedang mencipta nama selain merujuk aksi dan pencapaian idola mereka di gelanggang.
Cerita Zainal, “saya dibesarkan dalam persekitaran Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.
"Jadi kerana tempias venue itu, adalah juga cita-cita asal jadi pemain bola sepak negara walaupun berkesudahan sebagai pengulas sukan.
“Namun sempatlah juga bermain dalam skuad Piala Presiden dan Piala Emas Raja-raja dengan Wilayah Persekutuan (kini Kuala Lumpur),” katanya yang kini bertugas dengan stesen TV Astro Arena.
Ujar Zainal, tuah menyebelahinya pada awal karier pengulasan apabila mengasah bakatnya di Unit Sukan Radio RTM (Radio Televisyen Malaysia) sekitar 1986 untuk mempelajari selok-belok asas membuat ulasan sukan.
“Otai-otai (pengulas hebat silam) semuanya bermula dengan radio. Dari situ kita mengulas dengan teliti biarpun tidak melihat, para pendengar masih dapat membayangkan menerusi kata-kata.
“Tempoh ‘perguruan’ saya agak singkat tetapi masih amat berguna apabila saya berhijrah ke stesen TV3 pada Julai 1986. Ketika itu pusat operasinya di Jalan Liku, Bangsar, Kuala Lumpur. Saya gabungkan pelajaran ulasan radio itu dengan pendedahan awal ke TV,” katanya.
BERSAMA pemenang Piala Dunia 1990 Jerman, Lothar Matthaus (kanan).
Macam tokoh sejarah, penyanyi, ahli politik, bintang filem malah jagoan sukan, siapa idola Zainal sebelum dia membina nama dan imej serta karisma tersendiri?
“Datuk Rahim Razali, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Abdullah Hasim dan semua guru di Unit Sukan Radio RTM.
"Saya juga sering mempelajari gaya pengulas terkenal luar negara, Brian Moore dan John Motson (Perbadanan Penyiaran Britain - BBC),” katanya.
Tempo dan cara atau lenggok bahasa ulasan setiap jenis sukan sama ada bola sepak, badminton, olahraga, berbasikal, renang dan lain-lain jelas Zainal, memang berbeza dan sebagai pengulas, mesti mampu dan kreatif dalam penyampaiannya.
Wajarkah ulasan bola sepak Piala Dunia yang asalnya dalam bahasa Inggeris, ‘dinaturalisasikan’ kepada bahasa Melayu? Ramai peminat lebih mahukan keaslian, roh dan aura perlawanan daripada pengulas yang berada di venue itu.
“Sudah banyak negara yang memperoleh siaran langsung Piala Dunia, mengalih ulasannya ke dalam bahasa rasmi atau ibunda mereka. Mengapa tidak kita di Malaysia?
“Betul, kelebihannya ialah pada mereka yang di venue tetapi tidak semua pengulas macam setahu saya pada Piala Dunia Afrika Selatan 2010, berada di situ dalam menjalankan tugasnya.
“Kalau seseorang pengulas dapat menghayati sesuatu perlawanan itu, insya-Allah, dia mampu melakukannya,” kata Zainal yang sebenarnya serba boleh dalam bidang pengulasan mahupun pengacaraan majlis dan acara selain sukan.
Jangan terkejut juga jika ada penonton yang berjaya ‘menangkap’ suaranya dalam beberapa peristiwa bersejarah negara selain bidang kepakarannya itu.
“Saya turut pernah mengulas Pilihan Raya Umum 1998, Upacara Pertabalan Sultan Selangor, Perarakan Hari Kebangsaan 1998, 2000 dan 2001 serta Majlis Sambutan Hari Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” akuinya.
ANTARA rakan pengulas Zainal yang juga bekas pemain negara (dari kiri), Syed Adney Syed Hussein, Azlan Mubin, Stanley Bernard (tengah) dan Shukor Adan.
Siapakah gandingan serasi? Antara pengulas profesional atau bekas pemain di sisi, yang mana jadi keutamaan?
“Tidak kisah sapa pun tetapi dia kena faham tugasan selaku pengulas kedua atau rakan pengulas (co-commentator).
"Ramai bekas atlet negara sudah jadi ‘beregu’ saya. Azlan Johar, Razip Ismail dan Jalil Ramli. Mereka ini berpengalaman sebagai pemain dan jurulatih.
“Tidak bermakna yang lain itu tidak bagus. Saya akan ‘menampung’ kalau ada mereka yang tersilap dalam penyampaian ulasan, namun saya akan berasa lebih bersemangat sekiranya gandingan ini dapat ‘mengasak’ kemampuan saya habis-habisan,” tegasnya.
Akui Zainal, dia juga sudah lali dengan kritikan pedas penggiat sukan tanah air yang ada antaranya kurang menyenangi isi dan gaya ulasannya malah warganet atau lebih popular digelar ‘pahlawan papan kekunci’ pada laman-laman sosial dalam alaf baharu ini.
“Maklumlah lain hulu, lain parang dan lain dulu, lain sekarang. Sebelum era Internet, kritikan mereka hanya sampai menerusi telefon ke unit dan jabatan stesen TV atau tersiar dalam halaman surat pembaca akhbar-akhbar.
“Sekarang semua benda pada hujung jari dengan telefon bimbit dan aneka gajet komunikasi canggih tetapi saya sentiasa bersedia dan sudah masak dengan semua itu. Alah bisa tegal biasa, kata orang.
“Saya terima kritikan yang membina. Kalau baca kritikan yang membinasa atau menyakitkan, jangan terlalu ambil hati sebab biasanya itulah yang memang seronok untuk lebih ditonjolkan berbanding yang positif,” tambahnya. - KitaReporters.com
MENEMU bual mantan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di studio Astro Arena.