KONTROVERSI ibadat umrah pengasas produk kecantikan, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman menarik perhatian ramai. Ada yang menasihat, ada juga yang mengecam. Hari ini Selasa, 4 Februari 2020, Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan kenyataan dan merungkai masalah berkaitan ibadah umrah dan haji bagi golongan transgender. : KitaReporters.com

ENTRI terbaharu Mufti Wilayah Persekutuan di laman blognya merungkai isu ibadat umrah Sajat. (https://www.facebook.com/drzulmuftiwp/posts/1686468358159803)


Memandangkan Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat masih belum mengambil apa-apa tindakan yang sah untuk menukar status jantinanya, menurut Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, jantina Sajat kekal lelaki dan beliau wajib beribadat sebagai lelaki.

Pendirian Dr. Zulkifli dibuat berdasarkan dua kaedah fiqh yang masyhur, iaitu “kita menghukum berdasarkan apa yang terzahir, dan Allah menguruskan apa yang tersembunyi” serta “asal kepada sesuatu perkara kekal seperti sebelumnya”.

Selain itu, Dr. Zulkifli turut menjelaskan hukum ibadat umrah bagi golongan transgender (khunsa) dan mukhannas.

Kata beliau, seorang transgender wajib menunaikan umrah dengan jantina asalnya.

“Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatannya tetap haram dan dikira berdosa.

“Malah, dia boleh dikenakan dam (denda) kerana melanggar wajib umrah. Masalah ini disebut para fuqaha sebagai infikak al-jihah (hukum yang terpecah kepada beberapa bahagian),” katanya.

Menurut beliau lagi, ia bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H (2012 Masihi).

“Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semula jadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan pertukaran jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki,” katanya. - KitaReporters.com

1
0
0
0
0

Copy Link: