"SEBULAN lalu, saya gelakkan warga Singapura kerana buat belian panik. Tapi hari ini saya tengok depan mata, rakyat Malaysia berpusu-pusu membeli keperluan rumah kerana takutkan Covid-19." Memburukkan lagi keadaan ialah penularan satu mesej palsu yang mendakwa perintah berkurung akan dilaksanakan di negara ini. : KitaReporters.com

Pelanggan serbu Tesco Cheras. - Kredit gambar: Twitter Khairul Azri @mKhairulAzri.


Demikianlah catatan seorang pengguna Twitter, Nunaa @Nuraisyahusna ketika membalas kicauan Khairul Azri @Mkhairulazri yang memuatkan gambar orang ramai berpusu-pusu di Tesco Cheras dan memborong dua tiga troli barangan dapur sebagai stok berikutan khabar angin bahawa kerajaan akan membuat perintah berkurung (lockdown).

Bagaimanapun, kerajaan belum mengambil tindakan itu, sebaliknya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin, 16 Mac 2020 mengumumkan hanya Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara akan berkuat kuasa mulai Rabu, 18 Mac hingga 31 Mac 2020.

Hari ini, akhirnya rakyat Malaysia ikut serta dalam `pesta` belian panik yang berlaku di seluruh dunia kesan wabak itu. 

Di negara ni, setakat, Selasa, 17 Mac 2020, kes wabak Covid-19 telah meragut dua nyawa, manakala jumlah yang disahkan positif mendadak naik kepada 673 kes.


Seorang pengguna Twittet, Daren Lee turut mengeluh sambil menulis `dah!.. bermula dah!` manakala seorang lagi, Harith Shah @Harith2891 pula memuat naik foto pelanggan yang menyerbu Giant Hypermarket di Batu Cave.

Sebahagian besar pasar raya di bandar utama termasuk Kuala Lumpur hingga Ipoh dan Pulau Pinang, pengguna dilaporkan memborong tisu tandas, barangan kering dan makanan dalam tin menyebabkan barisan beratur di kaunter bayaran jadi sesak dan panjang.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pula dalam kenyataan akhbar meminta rakyat bertenang sambil menyifatkan laporan lockdown itu adalah palsu.

Jurucakap agensi itu berkata, agensi berkenaan sedang memburu pihak yang menyebarkan khabar angin perintah berkurung itu yang mungkin membimbangkan orang ramai dan kemudian menyerbu pasar raya. 

Kesannya adalah melonjak harga barangan dan turut menyusahkan orang pendapatan rendah.

Pengguna menyerbu Giant Batu Cave. - Kredit gambar: Harith Shah @harith2891


Syarikat perkhidmatan pelancongan Check-in Asia turut memaparkan pelanggan beratur panjang di pasar raya untuk mendapatkan barangan keperluan dengan kata-kata, "lupakan pelancongan atau harga minyak. Bisnes yang paling laris di Malaysia adalah barangan dapur.

"Ini semua kerana ada pihak sudah menyebarkan khabar angin bahawa perintah berkurung akan dibuat menyebabkan pelanggan menyerbu pasar raya," kata jurucakap syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur itu.

Seorang pengguna Twitter lain, Rafidah Hanim Mokhtar berkata, perintah berkurung yang mungkin dilaksanakan di negara ini bukan seperti masa darurat. 

Kemungkinan besar ia hanya membabitkan sekatan perjalanan, perhimpunan. Mungkin ditutup juga membabitkan bisnes tidak penting, sekolah dan universiti.

Seorang saja dari satu keluarga dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan harian. 

Gambar dimuat naik dalam akaun Twitter Check-in Asia.


Perancis menjadi negara terbaru mengeluarkan perintah berkurung membabitkan restoran dan cafe, gereja dan disko, sekolah dan universiti juga ditutup sehingga tarikh diumumkan. 

Sementara itu, isteri Presiden Sepanyol telah disahkan positif Covid-19.

Dalam satu siaran dalam Facebook, pengguna FB, Khai Beng Tan pula menyenaraikan nama negara yang sudah mengarahkan perintah berkurung. 

Ia termasut Itali, China, Denmark dan Norway. Selain itu, Vietnam juga sudah menutup semua sekolah dan merancang untuk mengambil tindakan perintah berkurung, sama juga dengan Filipina.

Kompas.com melaporkan Perancis turut mengenakan arahan berkurung pada 14 Mac 2020 kerana angka kematian sudah mencatatkan 91 kes, manakala 300 kes kritikal dan 21 orang sembuh. 

Perancis kini memasuki tahap ketiga apabila virus itu dikatakan sudah merebak ke seluruh negara dengan menjangkiti 4,500 orang.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pula mengisytiharkan negara itu darurat pada Isnin, 16 Mac 2020 dan mengarahkan sekolah, bar dan teater serta bangunan awam ditutup serta mengenakan sekatan ke atas penerbangan dari Eropah. 

Setakat ini, 41 kematian dilaporkan di negara terbabit.

Dua, kata pelanggan di Britain memilih tisu yang menjadi keperluan utama. (AFP/Justin Tallis) 


Sama saja di mana-mana pembelian panik itu, pelanggan memilih pembersih tangan, produk cucian dan barangan kertas termasuk tisu tandas, beras berguni-guni dan kekacang yang dikeringkan.  

Konsortium Runcit Britain (BRC) yang mewakili pasar-pasar raya berkata konsortium peruncit itu merayu kepada pembeli supaya bertolak ansur ketika memborong barangan keperluan itu.

Surat yang ditandatangani bersama oleh pasar-pasar raya besar ttermasuk Tesco, Sainsbury’s, Asda, Morrisons, Aldi, Lidl, Coop, Waitrose, M&S, Iceland, Ocado dan Costcutter itu diiklan dalam akhbar utama pada Ahad 15 Mac 2020.

“Kami faham dan prihatin cara anda membeli dalam  jumlah yang banyak. 

"Seeloknya simpan sedikit untuk orang lain. Semua keperluan adalah cukup jika kita bekerjasama," kata jurucakap BRC dalam kenyataan itu.

Sejak seminggu lalu, sosial media menunjukkan rak kosong di pasar-pasar raya utama di Britain dengan barangan yang dicari untuk keperluan  adalah pasta kering, tisu tandas dan makanan dalam tin. 

Setiausaha Kesihatan Britain, Matt Hancock dalam wawancara dengan BBC memberi jaminan, kerajaan akan mencukupkan bekalan makanan selain jaminan produk itu selamat dimakan untuk semua rakyat. 

Cuma rakyat diminta memberi kerjasama untuk membantu negara menangani isu itu.

Pihak berkuasa Britain memberitahu sehingga Selasa, 17 Mac 2020, 55 orang maut kerana Covid-19, manakala 1,543 orang telah disahkan positif. KitaReporters.com

0
0
1
0
0

Copy Link: