OH kome deghoyan udah luroh... Lebih baik cepat pegi suloh... Lambat sikit kome dapat habok... Kalau tido jawapnya tinggei pokok..” (Lagu Mr. Os)  : KitaReporters.com

PEMINAT durian usah ketinggalan menyertai program 'Moh Nyuluh Deroyan' di Sahom, Kampar, Perak dari 28 hingga 29 Disember 2019.


Anda suka makan durian? Ingin merasai keseronokan berada dalam dusun durian, menyuluh durian dan menunggu buah gugur dari malam hingga ke pagi?

Jika jawapan kepada semua ini adalah positif, jangan ketinggalan acara ‘moh nyuluh deroyan’ (mari menyuluh durian) dalam program ‘Kembara Durian Di Ambang 2020’ anjuran bersama Persatuan Usahawan Pelancongan Sahom (UPS), Kampar, Perak; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Sahom; dan Sahom Valley Resort.

Program ini akan diadakan dari pukul 10 malam 28 Disember hingga pukul 7 pagi 29 Disember 2019 di Sahom Valley Resort dan di dusun-dusun pemilik yang menyertai program tersebut.

ABDUL Samad Tahir, pemilik dusun merangkap Setiausaha Persatuan Usahawan Pelancongan Sahom (UPS), Kampar, Perak.


Menurut setiausaha persatuan, Abdul Samad Tahir, program ini diadakan dalam usaha merapatkan hubungan dalam kalangan pengusaha pelancongan di Sahom dan pada masa yang sama, memberi peluang kepada orang ramai ‘masuk dusun’.

Katanya, ia merupakan antara beberapa program yang dirancang oleh persatuan yang baharu sahaja ditubuhkan bulan lalu bagi melibatkan orang ramai dalam kegiatan mereka.

“Program 'menyuluh durian' ini adalah antara program yang dirancang menjelang tahun 2020 selain empat atau lima program lain yang akan dijalankan kemudian,” kata bekas pekerja Penerbangan Malaysia (MAS) itu ketika dihubungi KitaReporters.com.

Bagi mereka yang ingin menyertai program ini, bayaran RM50 dikenakan setiap peserta. Pendaftaran perlu dibuat melalui Abdul Samad. 

Pengesahan perlu dibuat tiga atau empat hari sebelum acara dengan membuat bayaran deposit.

“Untuk satu dusun, antara empat hingga enam orang boleh mengambil bahagian. Mereka boleh berehat di dangau atau makeshift hut yang disediakan,” kata Abdul Samad yang juga mengusahakan beberapa ekar dusun durian, rambutan, manggis, cempedak dan dokong, selain tanaman sawit dan calet dusun yang kini dalam permbinaan.

Menurutnya, buah rambutan akan masak hujung bulan ini, sementara buah lain akan masak pada Januari 2020.

Untuk makluman, Sahom merupakan kawasan pelancongan eko-pertanian.  

Kedudukannya dalam dusun dan berhampiran sungai memang sangat menyeronokkan untuk bercuti bersama keluarga.

SEGARNYA buah durian yang baru gugur dari dusun Abdul Samad di Sahom. 


Penginapan tidak jadi masalah. Terdapat calet-calet cantik milik penduduk setempat untuk disewa, selain penginapan di Sahom Valley Resort atau Embun Resort.

Abdul Samad memberitahu, bagi peserta yang menyertai program 'menyuluh durian' ini, mereka boleh mengutip buah yang luruh sepanjang waktu yang ditetapkan iaitu dari pukul 10 malam 28 Disember hingga pukul 7 pagi 29 Disember.

“Sepanjang tempoh itu, mereka boleh makan sebanyak mana durian luruh yang dikutip sehingga kenyang tanpa bayaran.

“Selepas waktu menunggu berakhir mereka boleh mengumpulkan durian yang dikutip dan tiga biji akan diberikan percuma untuk mereka bawa pulang.

“Jika buah yang dikutip banyak dan mereka mahu membawa pulang selain tiga biji yag diberi, mereka boleh membeli dengan harga istimewa,” kata Abdul Samad.

Beliau memberitahu, pencarian durian ini hanya terbuka kepada orang dewasa sahaja. Selain itu, masa ‘menyuluh durian’ itu juga tertakluk kepada perubahan oleh pihak penganjur dan akan dimaklumkan kepada bakal peserta.

Yang menarik di dusun durian Sahom ialah duriannya gugur tidak serentak, tetapi secara berperingkat-peringkat, dari peringkat satu hingga tiga.

Program ‘menyuluh durian’ ini melibatkan durian yang gugur peringkat pertama. Selepas itu peringkat kedua akan gugur, diikuti peringkat ketiga sehingga berakhir dijangka pada Februari 2020.

Kerana itu, kata Abdul Samad, mereka yang tidak berkesempatan datang pada program 28 hingga 29 Disember boleh datang untuk mencari durian sebelum atau selepas berakhirnya program berkenaan.

Mereka yang berhasrat hadir pada program ‘menyuluh durian’ atau di luar tarikh program berkenaan, boleh menghubungi Abdul Samad melalui talian nombor 019-3814796.

Ayuh beramai-ramai 'menyuluh durian' di Sahom, Kampar. Nikmatilah keindahan dusun, dangau dan sungai nan jernih serta keheningan malam sambil menunggu durian gugur. - KitaReporters.com

1
2
0
0
0

Copy Link: