[VIDEO] TIM 69 KOMANDO BUKAN KALENG-KALENG
Published byTAMAN Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah di Ipoh, Perak atau dikenali Padang Polo bagaikan pesta semalam (22/12/2019) apabila sorakan dan tepukan gemuruh pengunjung mengiringi pendaratan setiap peserta Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019. - KitaReporters.com
Peserta Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 bergambar kenangan bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador (tengah, berdiri) di Padang Polo, Ipoh, Perak.
Rata-rata mereka terutama kanak-kanak begitu teruja melihat aksi peserta meluncur bebas di udara umpama burung camar sehinggakan tidak terasa lenguh pada leher ekoran terlalu lama mendongakkan kepala.
Pada kejohanan berprestij yang julung kali diadakan di Perak sejak 14 Disember lalu, seramai 99 penerjun dari 13 pasukan mengambil bahagian melibatkan penyertaan peserta dalam dan luar negara.
Aksi peserta yang meluncur bebas di udara.
Pasukan tempatan yang mengambil bahagian termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Khas Laut (Paskal), Pasukan Khas Udara (Paskau), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kelab Sukan Payung Terjun Kenyalang dan peserta individu.
Turut memberi saingan dalam kejohanan itu adalah peserta mewakili Polis Republik Indonesia (Polri) dan Komando Pasukan Khusus (Kopassus) juga dari Indonesia.
Seperti yang dijangka, PDRM melalui unit elitnya, 69 Komando mengungguli Kejohanan tersebut yang melabuhkan tirainya semalam.
Pada kejohanan tersebut, 69 Komando merangkul tempat pertama bagi kategori ketepatan terjun dan penerjunan kanopi, manakala tempat ketiga bagi kategori penerjunan formasi.
Bagi kategori ketepatan terjun, pasukan elit PDRM itu mengetepikan pasukan Kopassus Indonesia dan Paskau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Aksi peserta pada Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019.
Kemenangan itu diperoleh melalui penerjun Zainal Abidin Zakaria, Ahmad Basri Salleh, Shamshur Sador, Abdul Malik Aziz Ahmad Fuad dan Nor Saiful Izwan Mohd. Noor.
Tim 69 Komando turut meraih kemenangan bagi kategori penerjunan kanopi oleh penerjun Ahmad Shahrin Omar, Mohd. Fauzi Milatusamsi, Ramli Simin, Mohd. Azlan Zakaria dan Shahril Afiza Zahari.
Bagi kategori tersebut, Paskau berada di tempat kedua, manakala Perak Skydive pula di tempat ketiga.
Kategori ketepatan terjun individu lelaki pula diraih oleh Muhammad Henry Mohd. Yunos dari Paskau, manakala Abdol Sham Assin dari Paskal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berada di tempat kedua dan di tempat ketiga oleh Robertus Rahman Shah Yudiana dari pasukan Jogja A.
Majlis penutup kejohanan itu disempurnakan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang turut dihadiri Penasihat Khas Menteri Besar Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam PDRM, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain; dan Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd. Yusoff.
Abdul Hamid (dua dari kiri) bergambar dengan peserta Kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019.
Sementara itu, Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, beliau bangga dan berbesar hati apabila sukan ekstrem itu mendapat penyertaan memberangsangkan daripada penggiat sukan payung terjun dari dalam dan luar negara.
Malah katanya, penyertaan penerjun wanita dan veteran dalam kejohanan itu juga membuktikan faktor jantina dan usia bukan penghalang untuk mereka menyertai bidang sukan berisiko tinggi itu.
"Bidang ini menuntut kepantasan para penerjun bertindak dalam tempoh singkat dan jika tersilap percaturan atau langkah, pastinya akan mengundang padah.
"Saya yakin dengan cabaran dan risiko yang dihadapi semasa penerjunan hanyalah medan ujian untuk membuktikan kemampuan diri bagi penggemar aktiviti sukan lasak ini.
"Selain berupaya menangani rasa takut pada ketinggian atau akrofobia, sukan payung terjun ini juga memberi kepuasan maksimum kepada penggiatnya," katanya.
Tambahnya, beliau berharap acara itu akan diletakkan dalam takwim tahunan kerajaan negeri mahupun Persekutuan dengan skala lebih besar bagi menarik ramai penggemar sukan ekstrem dari seluruh dunia ke negara ini.
Kejohanan yang dianjurkan oleh 69 Komando dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak itu membariskan tiga pengadil dari Asiania Parachute Federation iaitu dari Muhammad Noh ZM Mokhnar, Chang Il Choi dan William Raymond Bruce.
Kejohanan tersebut adalah sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Emas 69 Komando yang disambut pada 23 Oktober lalu. - KitaReporters.com