PILIH!! MELANGKAH ATAU DIUSUNG KE MASJID?
Published byPEMUDA dan Ahli Jawatankuasa Masjid Jamek Pekan Kodiang, Kedah akan menganjurkan Program Mulakan Langkahmu ke Masjid pada 28 dan 29 Februari 2020. : KitaReporters.com
Pengerusi Biro Multimedia, Sukan Dan Rekreasi, Azhar Romli, 45, berkata, program yang dianjurkan di Masjid Jamek Kodiang ini diadakan bagi menjemput orang ramai untuk mengimarahkan masjid terutama golongan orang muda.
"Pihak kami telah merancang pelbagai aktiviti menarik sepanjang dua hari itu antaranya ceramah bersama pendakwah terkenal Dato' Ustaz Mohamad Kazim Elias serta pameran perkhidmatan dari agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta, berkanun dan orang perseorangan.
Selain daripada itu, pihak urusetia juga akan menyediakan Skrin Gergasi untuk tayangan pertandingan bola sepak antara Kedah dan Johor.
Dalam pada itu, team kereta klasik dan berkuasa tinggi juga telah dijemput untuk memeriahkan program itu pada hari Sabtu, 29 Februari 2020.
Azhar menambah orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan, Unit Tabung Derma Darah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi-agensi lain.
Sempena program itu, Pasar Percuma juga akan dibuka untuk orang ramai yang ingin mendapatkan pakaian, kasut, beg dan barang-barang lain secara percuma.
Manakala pada Jumaat, 28 Februari 2020, dijemput orang ramai untuk menyertai Fun Walk, Run and Ride yang akan bermula di Tapak Nat Pekan Kodiang bermula 7 pagi.
Bagi menghargai pengunjung yang datang, 30 cabutan bertuah termasuk mesin basuh disediakan oleh pihak penganjur nanti.
Mereka yang ingin menyumbangkan pakaian, kasut, beg dan barangan-barangan lain untuk Pasar Percuma juga boleh menghubungi talian 0122782464 untuk keterangan lanjut.