SIAPA ANAK BAPAK? UNTUNG BILA DIKASIHI AYAH
Published byAssalamualaikum dan selamat pagi. Kongsi minda, bersih jiwa. : KitaReporters.com
Renungan
Yang disayang
Tak pernah hilang
Yang ditatang
Tetap dikenang
Asal tak rasa benci
Sentiasa ada di hati
Setiap masa tetap menanti
Lahirnya kasih nan abadi
Dah dapat inti pati perkongsian saya minggu ini?
Ya betul. Kita kongsi kisah kasih sayang... Nilai hubungan sesama manusia.
Saya ingin berkongsi kisah seperti yang saya lihat semasa dirawat di hospital. Kisah kasih seorang bapa.
Namanya Fawzana seperti dipanggil jurururawat. Dari kemesraan, saya pasti dia dah lama di wad itu. Fawzana menjadi kesayangan. Usianya dalam 30-an.
Sesekali dia menyanyi... Sedap suaranya.
Sesekali dia bercerita tentang artis yang dia suka... Bijak orangnya.
Ada masa dia berhujah dengan jururawat yang mengusiknya.
Sepanjang masa saya tidak nampak ada orang lain menjaganya kecuali seorang lelaki, bapanya. Sayangnya lelaki ini kepada Fawzana, meruntun jiwa saya.
Dibersihnya anak setiap pagi, dibedak, disikat rambut biar anak nampak cantik...Sambil bergurau. Usik mengusik.Berkongsi rezeki yang ada.
Indahnya hubungan ini Ya Allah.
Sesekali mereka bercakap tentang rumah. Fawzana kata dia rindu mak.... Kata bapanya, mak pun tak sihat... Kalau sihat mak datang. Dilayannya penuh manja.
Sebaknya Ya Allah
Sesungguhnya saya terkesan dengan kasih sayang lelaki ini sebagai bapa. Bertuah Fawzana.
Doa saya Fawzana cepat sihat dan semoga bapanya sentiasa siihat untuk terus memayung kasih buat Fawzana.
Iktibar dari kisah ini.
Kasih ibu membawa ke syurga
Kasih bapa kekal selamanya.
Jangan membeza kasih dan pengorbanan bapa dan ibu. Sayangi mereka. Hargai mereka.
Kasih sayang dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan lahir daripada hati yang ikhlas tanpa dipaksa.
Kasih sayang juga lahir dari hati yang ikhlas dan tidak dipengaruhi oleh emosi atau orang lain termasuk keluarga sendiri.
Perasaan sayang sesama manusia akan melahirkan suasana yang harmoni dan sayang kepada alam akan menjadikan persekitaran terpelihara dan damai.
Sifat ini perlu dipupuk dari kecil dalam diri anak-anak oleh ibu bapa agar kehidupan lebih sejahtera.
Sentiasa menghargai kasih sayang.
Perlu ada sikap perikemanusiaan dalam diri agar dapat berkongsi kasih dengan mereka yang perlu.
Andai tidak ada perasaan kasih.. Hidup tidak diberkati Tuhan... Sentiasa berada dalam keadaan bermasalah dan tidak tenteram
🌹❤️ Kasih bapa tiada ukuran. Sayangnya pula tiada batasan. Duhai anak, jangan lupakan. Jasa bapa sematkan di ingatan. 🌹❤️ - KitaReporters.com