SIAPA BAKAL JADI "HERO" SEPERTI FATTAH AMIN?
Published byNAMA-NAMA pelakon muda antaranya Syafiq Kyle, Fattah Amin, Kamal Adli mahu pun yang ‘senior’ seperti Esma Daniel, Zed Zaidi dan Norman Hakim merupakan mereka yang mencipta nama dan popular hingga kini. Tetapi tahukah anda mereka semua lahir daripada program pertandingan ikon pemuda Malaysia, 'Hero Remaja'? : KitaReporters.com
Barisan 12 finalis bersama pihak penganjur serta penaja yang terlibat termasuk hos dan juri bergambar di sidang media Hero Remaja 2020 yang berlangsung di Hard Rock Cafe baru-baru ini.
Program pertandingan ikon pemuda Malaysia, 'Hero Remaja' telah dianjurkan buat pertama kali oleh majalah Remaja terbitan Kumpulan Karangkraf tiga dekad lalu.
Kini, penganjuran edisi kesepuluh ‘Hero Remaja’ kembali menyaksikan lebih kurang 600 calon peserta yang hadir untuk mencuba nasib sewaktu sesi uji bakat diadakan selama empat hari pada 21, 22, 28 dan 29 Disember 2019.
Namun daripada jumlah itu, cuma 12 sahaja yang bertuah berjaya dipilih menerusi sesi saringan ketat ke pentas final Hero Remaja yang bakal bermula siarannya pada setiap Khamis, jam 9.00 malam bermula 27 Februari 2019 secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Barisan 12 finalis berkenaan terdiri daripada Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 24 (Selangor); Muhammad Aniq Suhair Mohd Salleh, 20, (Selangor); Muhd Umar Badrol Hisham, 22, (Johor); Mohamad Haziq Nazimuddin, 23, (Kuala Lumpur); Mohammad Azri Abd Khair, 24, (Selangor); Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 18, (Selangor); Muhammad Shameer Shauqeen, Shaiful Izam, 19, (Selangor); Jazmy Khan Juma Khan, 22, (Selangor); Mohammad Imran Aqil Mohd Salehuddin, 21, (Kuala Lumpur); Jabir Jilani Meftah, 20, (Selangor); Abdul Azim Mohd Yusof, 23, Selangor dan satu-satunya peserta dari Sarawak, Thomas Goh berusia 23 tahun.
12 finalis Hero Remaja 2020 yang bertuah.
Kesemua mereka diperkenalkan dalam majlis sidang media ‘Hero Remaja 2020’ yang berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada Selasa, 11 Februari 2020.
Turut diumumkan pemilihan pelakon Ain Edruce sebagai pengacara program, sementara Datuk Hans Isaac dan Scha Al-Yahya sebagai juri tetap.
Program kerjasama strategik antara Astro dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd yang menyaksikan 12 finalis terpilih ini memiliki personaliti dan latar belakang berbeza, sekali gus memberikan satu warna kepada pertandingan yang bakal berlangsung selama lapan minggu.
“Sama seperti Dewi Remaja, pengaruh jenama Hero Remaja yang telah dibina selama lebih tiga dekad sebagai sebuah platform pencarian bakat komersial cukup signifikan.
"Ia juga diperakui berjaya memberi kepelbagaian dalam melahirkan generasi pelapis bagi menyemarakkan lagi lanskap industri seni tanah air,” ujar Emarina Mohd. Kamal, (tengah), Pengurus Saluran Astro Ria ketika berucap.
Dari kiri Ain Edruce, Fiezreen Ahmad, Emarina, Scha Al-Yahya dan Hans Isaac.
Hakikat itu juga menjadi faktor utama sebabnya Hans Isaac ketika disoal kenapa seorang yang sibuk dengan tugasannya sebagai Pengerusi FINAS masih mampu menerima tawaran sebagai juri tetap yang sudah tentu perlukan komitmen yang jitu.
“Saya menyokong usaha ini sebab mahu melahirkan pelapis muda untuk meneruskan perjuangan dalam industri seni ini, “ jawab Hans sambil mengakui kesibukan tugasan hakikinya memerlukan beliau membahagikan masa.
Pun begitu, bagi Ain Edruce pula, tugasan pengacaraan ini merupakan tawaran pertama diterimanya pada tahun 2020.
“Alhamdullillah, ini tugasan pertama saya pada tahun ini dan selepas berkahwin.
"Suami tidak menghalang asalkan saya mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri dan jaga tingkah laku maklumlah dikelilingi jejaka-jejaka muda,” ujarnya dalam ketawa kecil.
Menurut Ain, beliau selesa menggalas tugas sebagai pengacara dan berharap peminat dapat melihat keupayaannya dan tidak membencinya hanya gara-gara watak antagonis sebagai Marina yang ‘jahat’ dalam drama “Camelia” yang kini bersiaran di slot Akasia TV3.
“Bayangkan ayah saya pun risau apabila netizen melemparkan pelbagai cacian sehingga dia menasihati saya agar tidak lagi melakonkan watak antagonis,” akui Ain, yang bagaimanapun gembira kerana dengan kecaman yang diterima bermakna wataknya hidup.
Melihat pada gaya dan aksi spontan yang menghiburkan ketika mengacarakan pengenalan barisan 12 finalis, tidak syak lagi Ain Edruce mampu menggalaskan tugasannya sebagai hos.
Sementara itu. Fiezreen Ahmad, selaku Editor Pengurusan Remaja memaklumkan, program ‘Hero Remaja’ dilihat sebagai satu jendela khusus buat remaja-remaja di luar sana yang ingin menonjolkan kelebihan masing-masing di samping memperjuangkan nilai-nilai positif yang boleh memberi impak kepada umum.
Menurut beliau, kesemua 12 finalis bakal berdepan dengan pelbagai cabaran untuk mengasah kemampuan mereka daripada aspek berbeza.
“Skil sebagai seorang model, pelakon, pengacara, duta produk dan semangat keakraban antara mereka bakal diuji bagi mencari seorang juara yang paling layak menyandang gelaran Hero Remaja,” tambah Fiezreen.
Hans Isaac dan Scha Al-Yahya (kanan) yang dipilih sebagai juri tetap ditemu bual oleh pengacara Fiza Saad.
Rakaman program pencarian ‘Hero Remaja 2020’ akan bersiaran selama tujuh episod bermula 27 Februari 2020 (setiap hari Khamis), jam 9 mlam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Manakala episod kemuncak pada minggu yang kelapan bakal disiarkan secara langsung pada 16 April 2020.
Di samping itu, perjalanan terkini para peserta juga akan mendapat liputan menyeluruh termasuklah paparan aktiviti di sebalik tabir menerusi laman digital serta media sosial Majalah Remaja.
Tetapi, jika anda terlepas peluang berada di hadapan TV ketika siaran berlangsung, anda boleh memilih untuk menontonnya secara lebih fleksibel kerana program yang mendapat tajaan utama Nivea Men ini boleh diakses menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand!
Good luck untuk kesemua 12 finalis yang kacak belaka! - KitaReporters.com
Bergambar bersama pihak penaja utama.