TAHNIAH DBKL!! DARI LOMBONG JADI TAMAN TASIK
Published byBERASAL daripada lombong dikelilingi belukar dan pasir, kini ia menjadi taman tasik yang indah dikelilingi pohon-pohon rendang dan padang rumput hijau terbentang.
AKSES ke Taman Tasik Danau Kota melalui Jalan Genting Klang.
Keindahan Taman Tasik Danau Kota menggamit pengunjung datang, terutama bagi mereka yang ingin mencuba tempat baru untuk bersantai dan beriadah, lain daripada tempat yang mereka biasa kunjungi.
Taman tasik kebanggaan penduduk Taman Danau Kota ini sebelumnya dipenuhi rumput rumpai dan pokok keladi bunting tebal menutupi permukaan. Malah ia juga menjadi tempat pembuangan sampah.
BERSANTAI di tepi Taman Tasik Danau Kota.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil inisiatif membersih dan memperindah tasik tersebut untuk menjadikannya taman awam tempat bersantai dan beriadah.
Ke arah itu DBKL melaksanakan program pengindahan dan naik taraf. Tasik yang kotor dan terbiar dibersihkan. Pokok-pokok ditanam di sekeliling tasik. Fasa pertama siap pada tahun 2014.
Ini diikuti dengan pembinaan trek untuk pejalan kaki berjogging. Juga kemudahan lain seperti wakaf, tempat bersenam, pejabat taman, kawasan permainan kanak-kanak, tempat parkir serta tandas. Projek ini siap sepenuhnya Julai lalu.
Hasilnya, terbentang indah tasik dengan air jernih membiru dipagari pokok-pokok rendang meredupi serta menambah cantik pemandangan sekitar.
NOR HISHAM AHMAD DAHLAN merasmikan Taman Tasik Danau Kota baru- baru ini. Di kanannya Dr. Tan Yee Kew.
Taman tasik ini dirasmikan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan baru-baru ini. Turut hadir Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr. Tan Yee Kew dan para penduduk setempat.
Dengan kedudukannya yang strategik, bersebelahan dengan pusat beli belah Setapak Central dan Surau Alfalah, Danau Kota menjadikan taman tasik ini pilihan ramai untuk beriadah atau untuk bersantai. Penat beriadah boleh pergi membeli belah. Apabila masuk waktu boleh bersolat di surau.
Selain itu terdapat banyak tempat makan berhampiran taman tasik ini, sama ada restoran, gerai atau trak makanan (food trucks).
NOR HISHAM dan Dr. Tan Yee Kew pada perasmian Taman Tasik Danau Kota.
Nor Hisham Ahmad Dahlan ketika merasmikan taman tersebut mengimbau bagaimana DBKL melalui Jabatan Pembangunan Lanskap dan Rekreasi menaik taraf kawasan lombong dan belukar menjadi sebuah taman awam yang indah menarik.
Beliau berharap kemudahan yang disediakan mampu memupuk minat beriadah di kalangan orang ramai, khususnya yang tinggal di kawasan berhampiran. Mereka diingatkan menjaga taman dan kemudahan yang disediakan serta tidak melakukan kerosakan.
PANORAMA indah Taman Tasik Danau Kota.
Taman Tasik Danau Kota berkeluasan 13.25 hektar yang merangkumi kawasan kolam takungan seluas 6.95 hektar. Ia boleh diakses melalui Jalan Genting Kelang berhampiran Setapak Central atau melalui laluan Surau Alfalah.
Pengunjung boleh berjogging berkeliling taman melalui trek yang disediakan atau bersenam di padang tasik. Perlatan senaman untuk meregang badan juga disediakan.
Selain itu wakaf untuk berehat ada di taman ini. Pengunjung juga boleh bersantai di tepi tasik sambil menikmati hembusan bayu yang membelai lembut permukaan tasik. Keheningan lebih terasa di sebelah pagi atau petang ketika matahari hampir hendak terbenam.
Datanglah bersantai atau beriadah ke Taman Tasik Danau Kota untuk merasai sendiri kedamaian dan ketenangan di taman tasik ini. Ia dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Bawalah keluarga bersama. Sekali datang pasti tak lupa.
WAKAF di atas padang hijau terbentang.
TREK jogging dan wakaf di Taman Tasik Danau Kota.
TREK berjalan kaki dan jogging.
KEMUDAHAN untuk bersenam meregangkan badan.