'DANSA DAN SING' AMBIL ALIH GV.. ADA KEJUTAN??
Published bySETELAH berakhirnya "Gegar Vaganza 6" yang memperlihatkan kejutan apabila dua peserta dimahkotakan sebagai juara (Naqiu dan Hady Mirza), pentas Auditorium MBSA akan terus berentap dengan sebuah program terbaharu, ‘Dansa Dan Sing” (DDS) pula. : Kitareporters.com
Antara barisan selebriti yang bakal berentap pada program "Dansa Dan Sing" mulai 5 Januari 2020 nanti.
Bermula 5 Januari 2020. ‘DDS’, sebuah lagi pertandingan realiti menggabungkan elemen dinamik seni tari dan seni suara bakal menampilkan 10 barisan artis tanah air terdiri daripada penyanyi, pelakon mahu pun selebriti Internet popular di Malaysia.
Mereka terdiri daripada Arja Lee bersama krew tariannya ‘The Pirates’; Shiha Zikir (Squad); Wani Kayrie (Delitz); Atilia & Yasmin Hani (The Lola); Harris Baba (Unique); Raja Syahiran (2Twenty2 Squad); Sophia Liana (Budak Ngam); Chubb-E (Zeppo Youngsterz Crew); Nik Qistina (DP Fam) dan plantun lagu ‘Rembau Most Wanted’ - Waris bersama kumpulannya Alamak.
Arja Lee (tengah) bersama kumpulan tariannya, The Pirates.
Atilia dan Yasmin Hani bergabung untuk program "DDD".
“Uniknya program ini, pihak Astro memberi kelonggaran kepada para peserta untuk memilih sendiri koreografer dan kru tarian masing-masing kerana kami sedar cabaran untuk menari dan menyanyi secara serentak bukanlah mudah,” ujar Emarina Mohd Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut di Nicsmann 1940’s by Lewre, Starling Mall baru-baru ini (17/12/2019).
Menurut beliau, selain menuntut persediaan rapi dari segi mental dan fizikal bagi menguasai teknik tarian dan lantunan vokal yang padu, mereka juga perlu memiliki kemahiran yang tinggi untuk mengawal pentas, di samping kekuatan stamina bagi memberikan persembahan yang cukup bertenaga.
“Keserasian adalah faktor paling utama untuk mencari keseragaman pergerakan agar seiring dengan tempo dan rentak nyanyian waima mereka bakal dinilai berdasarkan aspek tarian dan nyanyian,” tambah Emalina.
Emalina (dua dari kanan) memperkenalkan Sherry Al Hadad (kiri) sebagai pengacara dan Linda Jasmine serta Rizalman Ibrahim sebagai juri tetap.
Memperkenalkan guru tari dan koreografer popular, Linda Jasmine serta seorang lagi ikon masyhur dalam dunia fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim sebagai juri tetap, Emalina memberitahu bakal mengundang seorang lagi juri jemputan setiap minggu bagi mengadili persembahan setiap peserta.
Format penjurian terbahagi kepada dua bahagian yang mana nasib para bintang akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri profesional dan undian peminat secara online.
Untuk bahagian pertama, 100% keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para peserta berdasarkan pecahan markah sebanyak 70% untuk persembahan tarian dan 30% untuk persembahan nyanyian.
Manakala bagi bahagian kedua, kedudukan tiga peserta yang mendapat markah terendah adalah berdasarkan undian peminat secara online menerusi laman rasmi di www.gempak.com/dansadansing.
Shiha Zikir bersama kumpulan yang dinamakan 'Squad'.
Plantun lagu 'Rembau Most Wanted' - Waris (berdiri, dua dari kiri) dengan kumpulannya Alamak.
Barisan juri akan membuat penilaian akhir berdasarkan kepada kedudukan tiga terendah untuk menentukan peserta yang tersingkir pada pusingan tersebut.
Sehubungan itu, idea asal dan konsep persembahan mingguan setiap peserta harus diolah mengikut kreativiti masing-masing untuk memberi kelainan supaya dapat memukau hati juri baik dari segi pola lantai, pergerakan dinamik, pemilihan dan susunan lagu, kestabilan vokal termasuklah kesesuaian busana dan tatarias.
Dan bagi menambahkan keceriaan program, Astro memilih pengacara yang tidak asing lagi dalam kemampuannya mengacara secara spontan iaitu Sherry Al-Hadad.
Beliau bukan keseorangan tetapi akan ditemani dengan seorang lagi selebriti yang masih dirahsiakan namanya selaku pengacara bersama dan hanya akan diumumkan pada konsert minggu pertama sebagai sebahagian daripada kejutan.
Siapa agaknya ya? Tunggu...
Raja Syahiran (berdiri tengah) merupakan satu-satunya orang Asia yang berjaya ke pusingan kedua 'Britain's Got Talent' turut tampil bersama kumpulannya '2Twenty2 Squad'.
Sementara itu, Isha Norsham yang juga merupakan hos program Gempak TV turut dibawa masuk sebagai pengacara untuk program ‘Kapsul Dansa Dan Sing’ musim pertama ini.
Tentu anda mahu tahu juga kan apa hadiah-hadiahnya?
Juara ‘Dansa Dan Sing’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 berserta trofi.
Pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang dengan tangan kosong, yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM10,000 dan RM5,000 berserta trofi.
Jadi jika nak tengok artis kesayangan anda menari sambil menyanyi, jangan lupa menyaksikan konsert mingguan DDS yang bakal bersiaran selama lapan minggu dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam pada setiap Ahad, jam 9.00 malam mulai 5 Januari 2020.
Program akan bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On demand. - Kitareporter.com