HELO!! KITA PUN ADA 'SALAR DE UYUNI' SENDIRI
Published bySEBUT sahaja Sky Mirror Kuala Selangor pasti ramai yang tahu kerana tempat menarik itu sedang trending sebagai lokasi pelancongan paling popular di Selangor ketika ini. : KitaReporters.com
Pemandangan di beting pasir Sky Mirror ketika fenomena air surut.
'Cermin langit' (Sky Mirror) itu kini menjadi buah mulut dalam kalangan ‘pemburu’ keindahan alam semula jadi terutama selepas diumumkan secara rasmi sebagai lokasi pelancongan terbaru di Selangor sejak tiga tahun lalu.
Tidak dinafikan Sky Mirror sangat istimewa kerana keunikan beting pasir yang wujud di tengah-tengah perairan Selat Melaka atau bahasa mudahnya dasar laut yang timbul di permukaan air untuk selama beberapa jam akibat fenomena air surut.
Sky Mirror dianggap sebagai satu tempat yang ajaib! Sebab ia di tengah-tengah laut dan bukan pulau kerana apabila air pasang tempat tersebut akan ditenggelami air seperti biasa.
Disebabkan ada air bertakung di atas pasir tersebut maka terjadinya sky mirror iaitu pantulan langit yang dapat menghasilkan gambar seperti berdiri di atas lantai cermin.
Pemandangannya terlalu cantik!
Memiliki keluasan kira-kira 50 padang bola sepak, lokasi unik ini yang mendapat jolokan Salar de Uyuni Malaysia iaitu yang kedua di dunia selepas Bolivia ditemui sekumpulan nelayan yang terlihat akan kewujudan dataran di tengah laut yang menyajikan pemandangan menakjubkan apabila mencerminkan keindahan langit dengan sempurna.
Penulis yang buat pertama kali menjejak kaki ke Sky Mirror turut teruja dan tidak menyangka apa yang 'digembar-gemburkan' berkaitan lokasi itu adalah benar semuanya.
Sangat indah dan mengujakan! Berdiri di tengah-tengah lautan!
Rombongan Pengamal Media bergambar kenangan di Sky Mirror
Pelbagai aksi boleh dilakukan... memang cantik
Peluang itu diperoleh bersama 70 pengamal media (cetak dan digital) dari seluruh negara apabila menyertai rombongan Lawatan Media sempena Malam Penghargaan Media dan Industri Tourism Malaysia 2019, baru-baru ini.
Perjalanan bot dari jeti Kampung Sasaran, Kuala Selangor mengambil masa kira-kira 30 minit dan sebaik menjejakkan kaki ke ‘pulau misteri’ itu, penulis dan rakan media nyata begitu teruja dan tidak sabar untuk 'berposing' dan perlu 'bersaing' dengan kumpulan lain untuk mencari kawasan terbaik bagi menghasilkan gambar yang kreatif.
Operator bot turut menyediakan ‘studio mini’ semula jadi iaitu dengan meratakan permukaan pasir bagi menyerlahkan lagi identiti cermin langit. Khidmat mereka juga diperlukan untuk mendapatkan gambar yang unik dan kreatif.
Aksi 'melompat dan terbang' tidak pernah terkecuali dilakukan setiap pengunjung Sky Mirror.
Sebelum melakukan lawatan, pengunjung kebiasaannya dimaklumkan terlebih dahulu supaya mengenakan pakaian berwarna warni, ceria dan terang kerana tip ini mampu menghasilkan gambar peribadi yang sangat cantik hasil kombinasi dua ton yang berbeza.
Pengunjung boleh guna prop yang disediakan seperti payung, kipas dan lain-lain sebaik mungkin untuk mendapatkan gambar yang unik. Perlukan sedikit kreativiti sahaja.
Fenomena Salar de Uyuni ini tidak selalu berlaku dan hanya terjadi 6 hari pada setiap bulan mengikut kalendar lunar masyarakat Cina iaitu pada hari pertama, ke-2, 14, 15, 16 dan 30.
Kalau anda tak pasti berapa haribulan mengikut kalendar Masihi, boleh buat rujukan di Google.
Waktu berlaku air surut pula antara pukul 10.30 - 11.00 pagi. Untuk datang ke sini, pengunjung perlu menaiki bot lebih kurang 30 minit dari Jeti Sasaran, Kuala Selangor.
Bayaran dikenakan ialah RM80 dewasa dan RM60 untuk kanak-kanak manakala pelancong luar negara RM120 dewasa dan RM100 (kanak-kanak)
Ibarat cermin besar di tengah lautan, semestinya Sky Mirror menjadi lokasi wajib kunjung sekiranya berada di Kuala Selangor.
Sky Mirror dilawati hampir 200 pelancong setiap hari dan bertambah hampir sekali ganda atau lebih setiap kali musim cuti dan ia turut menjadi tumpuan pelancong luar negara terutama dari Jepun, Korea, Taiwan dan Hong Kong.
Bagi peminat fotografi, anda tak perlu lagi habiskan duit travel ke luar negara semata-mata untuk mendapatkan seni foto Salar de Uyuni.
Secara keseluruhannya, kunjungan ke Sky Mirror sentiasa berbaloi bagi mereka yang menggemari aktiviti mencabar dan mengagumi keunikan ciptaan Maha Pencipta. Tidak perlu terbang ke Bolivia pun!! - KitaReporters.com
Penulis kongsikan sedikit panduan untuk ke Sky Mirror:
- Hubungi operator bot terlebih dahulu untuk mengetahui tarikh lawatan yang sesuai ke Sky Mirror kerana beting pasir yang menjadi lokasi popular itu hanya boleh dilawati sekali sehari sahaja ketika air laut surut.
- Boleh buat tempahan secara online.
- Bayaran: RM80 untuk dewasa dan RM60 (kanak-kanak), manakala RM120 untuk pelancong luar negara dan RM100 (kanak-kanak)
- Bawa sedikit bekalan makanan dan minuman untuk mengelak rasa lapar dan dahaga. Berjaga-jaga ye kerana tiada tandas disediakan di tengah laut.
- Ikut 'tour guide' (krew bot) ke lokasi sesuai yang turut menyediakan 'studio mini' untuk menghasilkan gambar terbaik.
- Anda dibenarkan berada di beting pasir selama hampir satu jam sebelum menerima arahan untuk balik. Jika lewat bot akan tersangkut di kawasan air cetek dan terpaksa menunggu lama di atas bot sementara menanti air pasang.
- Alamat: Jeti Pekan Lama Kuala Selangor, 45000 Kuala Selangor, Selangor Darul Ehsan