NAK SATUKAN HATI ANGOTA PERSATUAN PENDUDUK? GI CUTI...

Published by
KitaReporters
SIMPONI Alam antara kecerian percutian keluarga dalam usaha mengeratpadukan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan ahli-ahlinya.

Sebahagian ahli Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga , Seksyen 7 Lestari Perdana beserta keluarga dan anak-anak yang menyertai Program Percutian Keluarga ke Kampung Sungai Lampin,Janda Baik,Bentong Pahang.


Kombinasi suara unggas, bunyi cengkerik, kokok ayam memecah kesunyian pagi, desiran air sungai mengalir lalu, suasana dingin dan nyaman udara pagi yang melekakan selain suasana tenang lagi nyaman menambat hati anggota percutian terlibat. 

Selain itu, untuk memberi ruang kepada ahli-ahli dan keluarga menikmati suasana desa yang mempunyai keistimewaan tersendiri dan berbeza dengan di bandar-bandar yang diselubungi dengan kesibukan dan kekalutan setiap hari.

Ciri-ciri ini antara seri kemeriahan dan kejayaan Program Percutian Keluarga Persatuan Penduduk (PP) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Seksyen 7 Lestari Perdana (LP7), Bandar Putra Permai, Seri Kembangan, Selangor ke Kampung Sungai Lampin, Janda Baik, Bentong, Pahang dua hari satu malam yang berakhir pada Ahad (6/10/2019) lalu.

Sukaneka rakyat permainan ulat gonggok mendapat perhatian para peserta program percutian keluarga kali ini.


 Sejumlah 65 orang ahli PP dan KRT LP7 bersama keluarga dan anak-anak daripada 10 keluarga turut serta pada program tahunan yang turut dimeriahkan dengan acara sukaneka rakyat termasuk mengisi air dalam botol dengan menggunakan span, mengambil getah gelung  menggunakan straw, permainan ulat gonggok, teknik makan biskut yang diletakkan pada dahi dan permainan hantar tepung ke belakang tanpa menggunakan bekas.

Sekali pun hujan mewarnai acara sukaneka ini, aktivitinya tetap lancar dan mendapat sambutan sebahagian besar anggota percutian.

Tidak kurang meriahnya acara masukkan air kedalam botol menggunakan span menarik minat remaja dan kanak-kanak.


Sebelum acara sukaneka rakyat sebahagian daripada anggota program melakukan riadah dan mandi sungai yang terletak hanya 100 meter di hadapan homestay penginapan. Salepas acara sukan berakhir mereka terutama kanak-kanak dan remaja kembali ke sungai untuk mandi.

Pada sebelah malam untuk memeriahkan suasana, uji minda melalui acara teka teki diberi ganjaran hadiah setiap individu yang berjaya menjawab dengan betul.

Juga diadakan penyampaian hadiah kepada para pemenang acara sukaneka rakyat serta cenderahati untuk semua 10 ketua keluarga atau wakil yang menyertai program kali ini.

Suasana yang agak melucukan pada acara makan biskut yang diletakkan pada dahi tanpa menggunakan tangan.


Untuk memberi ruang kepada mereka yang minat menyanyi dan berhibur sambil enjoy bercuti karaoke diadakan. Kebanyakkan remaja dan kanak-kanak yang mempunyai bakat tidak ketinggalan menyampaikan lagu-lagu masa kini.

Hari kedua merupakan acara bebas untuk peserta program. Ada dalam kalangan mereka meredah kawasan kampung dengan berjalan kaki sambil menikmati udara pagi yang segar dan bersih. Tidak kurang juga antara mereka menikmati kesegaran pagi di pekarangan kawasan penginapan.

Selain remaja dan kanak-kanak, peserta dewasa program percutian keluarga juga turut melakukan riadah dan mandi sungai.


Selepas menikmati sarapan pagi ada dalam kalangan mereka yang memulakan aktiviti riadah dan mandi sungai, kemudiannya disertai secara beramai-ramai terutama remaja dan kanak-kanak hinggalah menjelang tengah hari.

Pada penghujung percutian, para peserta seolah-olah ' diraikan' oleh sekurang-kurangnya enam ekor monyet dari hutan dan kampung di seberang yang datang menghampiri kawasan hadapan tempat penginapan di atas pokok berhampiran sungai untuk mendapatkan bahan makanan.

Program percutian keluarga PP dan KRT LP7 tahun ini dianggap berjaya dan mendapat kerjasama semua yang terlibat, menurut Pengarah Program, Mohamad Abdul Razak Ahmad.

Beberapa anggota Program Percutian Keluarga Persatuan Penduduk dan Kawasan Rukun Tetangga Seksyen 7 Lestari Perdana mengambil peluang meredah suasana pagi menyelusuri Kampung Sungai Lampin, Janda Baik, Bentong, Pahang.


Sebahagian besar peserta puas hati dengan program percutian kali ini dan merasakan seolah-olah berada di kampung masing-masing. Lebih-lebih lagi, bagi yang sudah lama tidak berkunjung ke kampung halaman.

"Kejayaan kali ini hasil kerjasama semua yang terlibat dengan memberikan respons yang baik. Malahan dalam menyediakan program termasuk makan minum dijaya secara bersama seolah-olah seperti keluarga besar yang sanggup bersama membuat persiapan mahupun menjayakan acara-acara diadakan," katanya.

Mohd.Razali Sayuti mengendalikan acara uji minda melalui teka teki sebagai mengisi program percutian kali ini.


Program percutian yang banyak memberi pengetahuan dan pengalaman berguna kepada para peserta merupakan antara "hadiah" kepada ahli jawatankuasanya sebagai penggerak kemajuan kepada persatuan juga ahli-ahli yang sama-sama memberi sokongan.  

Para peserta program menginap di Homestay Sheliza milik Syed Roslan dengan kadar bayaran berpatutan. Homestay beliau merupakan antara ratusan yang ada di kampung tersebut.

Program percutian ini diharap mampu menjadi satu dimensi ke arah memantapkan pergerakan PP dan KRT LP7 ke satu tahap yang memberangsangkan dan bakal memberi faedah kepada ahli-ahlinya dan komuniti keseluruhan.

Wakil salah seorang ketua keluarga, Jamil Farhan (kiri) bertukar cenderahati dengan Suhaimi Jusoh pada acara pertukaran cenderahati antara keluarga. 


Ketua Biro Wanita Persatuan Penduduk LP7, Habibah Mohd Said menerima cenderahati daripada Pengerusi Persatuan Penduduk LP7, Hairi Eberahim.


Kerana minat bola sepak, remaja yang menyertai program percutian sanggup menangguhkan makan malam semata-mata untuk menonton di TV perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Sri Lanka, di ruang tamu penginapan.


Setiausaha KRT LP7, juga selaku Pengarah Program Percutian, Mohamad Abdul Razak menerima cenderahati daripada Hairi Eberahim.


4
0
0
0
0

Copy Link: