JIKA terdapat tompok berwarna putih (leukoplakia) atau merah (erythroplakia) pada lidah anda, dan tidak hilang selepas dua minggu, jangan biarkan. Segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan kerana tompok-tompok ini mungkin petanda kanser mulut. : KitaReporters.com

PEMIDANG 'Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2019' di Hospital Kuala Lumpur pada 25 hingga 29 November 2019  lalu.


Tompok merah berpotensi lebih tinggi untuk menjadi kanser, walaupun ia jarang terjadi berbanding  tompok putih.

Fakta ini mungkin tidak diketahui ramai. Kerana itu bagi memupuk kesedaran orang ramai mengenai kanser mulut, punca dan keperluan mengesan pada peringkat awal, pameran dan taklimat mengenai penyakit itu diadakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari Isnin (25/11/2019) hingga Jumaat (29/11/2019) lalu.

Pameran sempena 'Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2019' ini turut memberi peluang kepada pengunjung untuk membuat  pemeriksaan mulut.

SEBAHAGIAN daripada pengunjung yang hadir pada pameran 'Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2019' di Hospital Kuala Lumpur.


Kanser mulut adalah kanser kelapan terbanyak di dunia dan separuh daripada kes ini berlaku di Asia.  Di Malaysia sendiri setipa hari sekurang-kurangnya satu kes kanser mulut dilaporkan.

Berbanding dengan kanser lain, kanser mulut sebenar selalunya hanya dapat dikesan pada peringkat akhir dengan purata sebanyak 70 peratus kes. Akibatnya hanya 20 hingga 30 peratus sahaja mampu hidup dalam masa setahun.

TOMPOK merah pada lidah mungkin tanda awal kanser mulut.


TOMPOK putih pada lidah mungkin tanda awal kanser mulut.


Sekalipun tompok putih dan tompok merah merupakan petanda nyata bagi kanser mulut, ada beberapa tanda lain yang dikaitkan dengan penyakit ini. 

Antaranya ketulan atau penebalan pada tisu lembut mulut, kesakitan atau perasaan sesuatu melekat di tekak.

Selain itu, sukar mengunyah atau menelan, sakit telinga, susah menggerakkan mulut atau lidah, suara serak, kekebasan pada lidah atau kawasan lain pada mulut dan bengkak pada rahang yang menyebabkan gigi palsu sukar dipakai atau tidak selesa.

ROKOK daun, cerut boleh menjadi punca kanser mulut. Begitu juga mengunyah sirih dengan kapur, pinang dan gambir.


Mengambil kira pelbagai simptom penyakit ini, adalah penting menjalankan pemeriksaan menyeluruh di bahagian kepala dan leher dengan menjadikannya sebagai rutin setiap kali berkunjung ke klinik pergigian.

Bagi mereka yang merokok atau mengambil alkohol berlebihan, perlu mendapatkan rawatan lebih teliti dengan kaedah pemeriksaan mulut menyeluruh. Pesakit perlu memahami hubung kait antara penggunaan tembakau dan alkohol dengan kanser mulut.

Tabiat gemar mengunyah sirih pinang dengan gambir dan kapur juga boleh menyebabkan kanser mulut. Malah ia dikenal pasti sebagai salah satu punca terbesar kanser mulut di Malaysia.

Berhati-hati juga dengan diet kerana diet yang tidak seimbang boleh menyebabkan kanser mulut.  Pendedahan yang kerap dan terlalu lama kepada matahari juga salah satu lagi punca.

SEBAHAGIAN lagi kanser mulut.


Tanda atau gejala kanser mulut penting kepada doktor untuk membolehkan mereka membuat diagnosis sebenar. Kerana itu jika anda ada salah satu daripada tanda seperti yang disebut segeralah berjumpa doktor. Jangan dedahkan diri anda kepada penyakit berbahaya itu.

Untuk kebaikan anda, biasakan diri melakukan pemeriksaan mulut sendiri. Perubahan pada tisu mulut dapat dikesan melalui kaedah ini. Pengesanan dan rawatan awal dapat mengurangkan risiko penyakit.  

Periksa mulut anda secara berkala dan awasi tiga tanda penting. 

Pertama, ulser dalam mulut yang tidak sembuh dalam dua minggu. Kedua, tompok-tompok putih atau merah. Dan ketiga, bengkak, benjolan atau ketumbuhan.

Selain itu, teliti jika anda sukar membuka mulut, mengunyah dan menelan, sakit telinga, nafas berbau dan rasa kebas pada lidah atau dalam mulut.

Jika ada sebarang kelainan di kawasan mulut melalui pemeriksana tersebut, jangan bertangguh. Jumpa doktor segera.

PELBAGAI bentuk kanser mulut yang dipamerkan pada 'Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2019' di Hospital Kuala Lumpur.


Sekadar panduan untuk pemeriksaan sendiri, anda boleh menuruti enam kaedah seperti yang dipamerkan pada 'Minggu Kesedaran Kanser Mulut 2019' di HKL:

  1. Berdiri di hadapan cermin di bawah cahaya terang. Tanggalkan gigi palsu sekiranya ada.
  2. Periksa bibir anda dengan teliti untuk mengesan sebarang perubahan warna, tekstur dan kelainan tisu.
  3. Tarik pipi kanan dan periksa bahagian dalam pipi secara menyeluruh. Dengan menggunakan jari telunjuk di bahagian dalam pipi dan ibu jari di luar pipi, picit perlahan-lahan untuk mengesan sebarang kelainan. Ulang untuk pipi kiri.
  4. Dongak kepala, buka mulut dan periksa bahagian lelangit. Perhatikan sebarang perubahan atau benjolan.
  5. Letak hujung lidah di lelangit. Periksa lantai mulut dan bahagian bawah lidah.
  6. Keluarkan lidah dan perhatikan sebarang perubahan warna dan tekstur di bahagian lidah. Periksa dan picit bahagian tepi kanan, tepi kiri dan hujung lidah untuk mengesan sebarang benjolan.

Semoga dengan pemeriksaan awal yang dilakukan sendiri, serta segera mendapatkan rawatan apabila ada tanda-tanda kanser mulut, anda akan dapat menghindari penyakit tersebut. - KitaReporters.com.

MENDAFTAR untuk membuat pemeriksaan mulut.

0
0
0
0
0

Copy Link: