BELIAU tidak rajin berswafoto atau bercerita tentang kisah peribadi dalam media sosial. Jika ada yang melihat beliau memuat naik status di Instagram @ramlahram383, itu semua atas tuntutan karier sebagai anak seni. Bagi Ramlah Ram, 55. beliau tidak kisah untuk belajar mengikuti perkembangan terkini jika itu semua dapat membantu perjalanan kerjayanya. : KitaReporter

RAMLAH RAm kini tampil dengan single "Masar Cinta" untuk memenuhi kehendak peminatnya. - Kredit foto: Khadijah Ibrahim


Kredit foto: IG Ramlah Ram (https://www.instagram.com/ramlahram383/)


“Saya buat semua ini sebab karier. Kalau ikutkan, saya bukanlah rajin sangat nak berswafoto. Kadang-kadang saya kena memaksa diri untuk melakukan itu semua demi kerjaya dan peminat.

“Bagi saya nak raih populariti dalam masa sekarang ini dah tak ada. 

"Apa pun saya bersyukur kerana masih lagi berada dalam bidang seni dan waktu yang sama saya akan belajar benda-benda baharu seiring dengan kehendak semasa,” katanya jujur.

Meskipun tidak perlu melakukan publisiti atau gimik murahan, nama juara Bintang RTM 1985 itu tetap terpahat di hati peminat-peminat seni tanah air kerana vokalnya yang merdu dan bernada tinggi.


Percaya tak, sampai sekarang Ramlah masih lagi menyanyikan lagu "Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu" dengan nada asal setiap kali mengadakan persembahan.

“Insya-Allah sampai sekarang kalau menyanyi lagu "Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu", saya masih menggunakan key yang sama. 

"Setakat ini saya tak pernah merendahkan key sebab saya hanya ada minus one untuk lagu asal.

“Saya tak boleh menggunakan key lain sebab rasa tak puas bila menyanyi. Itu antara lagu wajib setiap kali buat persembahan. 

"Syukur, orang ramai masih suka dengan lagu-lagu saya dan peminat baharu pula sukakan lagu "Sesaat Kau Datang",” kata Ramlah pada sidang media single baharu, "Masar Cinta" di Indigital Sdn. Bhd., Kota Damansara, Selangor baru-baru ini.


Untuk lagu "Masar Cinta" yang membawa maksud perjalanan (masar), trademark nada tinggi dalam nyanyian Ramlah masih dikekalkan. 

Lagu ciptaan Allahyarham ID Mifzal atau Suzaimi Suib dan lirik oleh Ismi Rusdi itu amat bermakna buat Ramlah.

Jelasnya, Masar Cinta adalah karya terakhir ID Mifzal untuknya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 13 Mac 2017. Malah lagu berunsur kerohanian itu dihasil atas pemintaannya.

“Arwah ni jenis yang sentiasa memenuhi apa saja permintaan saya. Kami tidak ada pertalian darah tapi hubungan kami ibarat keluarga. 

"Semasa hayatnya, arwah merupakan presiden untuk Ramlah Ram Group (RRG).

“Saya antara insan beruntung kerana mempunyai peminat (RRG) yang setia dan atas usaha mereka juga terhasil single Masar Cinta seperti mana terciptanya album Aspirasi Hati pada 2012,” katanya tersenyum.

MASIH aktif dalam bidang seni biarpun kurang publisiti.


Tambahnya, "Masar Cinta" dikeluarkan untuk merealisasikan hajat arwah dan hatinya rasa lega bila lagu tersebut siap dirakam dan diperdengarkan kepada orang ramai.

"Masar Cinta" yang bergenre pop itu dihasilkan selepas lapan tahun tidak menghasilkan lagu baharu. 

Katanya, kalau boleh setiap tahun ada single baharu.

“Kalau ikut perancangan, kalau boleh nak keluarkan single setiap tahun, tapi kita hanya mampu merancang kerana ada ketikanya tidak jumpa lagu yang sesuai dan sebagainya.

“Untuk keluar lagu kita kena dengar dulu, sesuai atau tidak dengan suara kita. 

"Lagu Masar Cinta ini saya nak tribute untuk arwah sebab dah lama saya tak ada lagu baharu,” katanya terus terang.

Sementara itu, Ramlah yang lebih selesa menghabiskan masa di rumah bersama keluarga dan kucing-kucing peliharaannya berkata, muzik video Masar Cinta juga dihasilkan oleh RRG. - KitaReporter.com


2
1
0
0
0

Copy Link: