CUBA TRY!! KITA TANAM STRAWBERI KAT RUMAH
Published by"Siapa yang tidak 'geram' melihat strawberi berwarna kemerah-merahan dan berkilat berjuntaian dari pasu kecil di laman rumah?" Buahnya yang berbentuk bulat atau bujur berbentuk 'hati' itu jelas kelihatan begitu segar sekali. Cukup menggoda untuk dipetik dan disua ke mulut! : KitaReporters.com
Buah strawberi berwarna kemerah-merahan dan berkilat berjuntaian daripada pasu kecil
Kecomelan buah yang sinonimnya hidup subur di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands itu membuatkan ramai penduduk setempat tidak melepaskan peluang mengunjungi kediaman Syed Norhaimi Syed Zin, 54, di Taman Seri Embun, Jerantut, Pahang.
Selain, Cameron Highlands, pokok strawberi turut ditanam di Genting Highlands sebagai tarikan pelancong dan juga beberapa individu di beberapa negeri lain seperti Perak dan Selangor sebagai tanaman hiasan di kediaman masing-masing.
Malah, pengunjung bukan sekadar ingin melihat kesuburan tanaman tetapi merasai keenakan buah itu yang disifatkan wangi, manis dan enak.
Orang ramai juga tidak melepaskan peluang membeli strawberi dan merakam kenangan di hadapan ladang mini strawberi comel milik Syed Norhaimi itu.
"Semua orang tahu yang pokok strawberi adalah tumbuhan tanah tinggi yang hidup subur di kawasan beriklim sejuk tanpa menyedari pokok ini juga boleh hidup subur di kawasan panas pada suhu 35 darjah Celsius.
"Saya sudah buktikan yang ia bukan mustahil.. tengok keliling rumah saya, penuh dengan tanaman strawberi.. dah macam mini Cameron Highlands," katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini.
Syed Norhaimi menanam lebih 1,000 pokok strawberi pelbagai varieti di rumahnya yang sentiasa didatangi tetamu dari sekitar Jerantut dan juga orang ramai yang tahu mengenai kebun mininya itu.
Bermula dengan hanya menanam enam pokok strawberi dari jenis 'Japenese Sweet Charlia' (JSC) yang dibeli daripada seorang rakan, Syed Norhaimi berjaya membiak lebih 1,000 pokok strawberi yang ditanam dalam pasu di sekeliling rumahya sejak dua tahun lalu.
"Minat saya untuk cuba menanam strawberi apabila melihat kawan saya itu ada menanam beberapa jenis pokok strawberi walaupun kawasan rumahnya panas.
"Itu yang membuatkan hati saya tercabar untuk mula menanam.
"Kemudian saya beli pula varieti 'Camarosa' di Cameron Highlands untuk menguji sama ada varieti yang tumbuh di sana mampu hidup di kawasan panas.
"Nampaknya strawberi dari varieti apa pun boleh hidup dan berbuah jika kita tahu menjaganya walaupun diletak di kawasan terbuka, berhujan berpanas tanpa rumah pelindungan hujan seperti di Cameron Highlands," katanya.
Pokok strawberi boleh di tanam di bawah cuaca panas tetapi memerlukan penjagaan yang lebih rapi, baja dan medium tanah yang lebih sesuai.
Syed Norhaimi, berkata strawberi yang ditanam di dalam pasu yang diletak di tempat terbuka itu senang dibiakkan melalui anak sulurnya.
"Jika penanam lebih menumpukan kepada pembiakan baka, kaedah sulur (pucuk yang tumbuh dari batang bawah tanah) digunakan dengan mengasingkan anak pokok ke pasu atau batas yang lain sebelum dipisahkan daripada induk dalam tempoh dua bulan ke atas.
"Tetapi, jangan tak tahu pula, pada peringkat awal memang menguji kesabaran saya sebab tiada pengalaman sekadar mendapatkan ilmu secara lisan daripada rakan dan mendapat info mengenai penanaman buah ini dari segi suhu, penggunaan medium tanah dan baja melalui carian dari Internet sahaja.
"Selepas mendapat benihnya saya mula membiakkan beberapa kali, tetapi hasilnya sangat mengecewakan.
"Dua kali tanaman saya mati dalam tempoh sebulan kerana serangan kulat dan penyakit, selain baja dan tanah kurang sesuai. Kecewa juga sebab benihnya mahal," tambahnya.
Syed Norhaimi menunjukkan dua pasu pokok strawberi yang ditanamnya.
Bercerita mengenai orang ramai yang datang melawat ke rumahnya, Syed Nurhaimi memberitahu, "mereka bukan sekadar melawat malah turut membeli benih strawberi."
"Selain itu, mereka turut meminta tip dan khidmat nasihat cara menanam, penjagaan dan pembajaan," katanya yang mengakui strawberi jenis Japanese Sweet Chalie lebih manis berbanding benih lain.
“Pokok strawberi sensitif dengan cahaya dan akan mati jika suhu tanah terlalu panas.
Jadi, bagi memastikan ia membesar pada suhu biasa di kawasan panas, siraman air baja perlu dilakukan secara sistematik,” katanya yang turut menerima kunjungan tetamu dari dari Jengka, Temerloh dan Lipis. - KitaReporters.com