DSV VERSUS DIVA AA: "KITA SAMAN UNCLE AZWAN"
Published byDALAM suasana yang pilu bercampur rasa kecewa, jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Dato' Seri Vida (DSV) dengan berat hati meluahkan keputusan akan meneruskan tuntutan saman malu terhadap selebriti Azwan Ali. : KitaReporters.com
DSV bersama peguamnya, Adnan Seman dan anaknya Che B di sidang media yang berlangsung pada 20 Februari 2020.
“Saya tidak nampak keikhlasan atau pun rasa kekesalan pada tindakan permohonan maaf yang dilafazkan oleh Azwan Ali minggu lalu,” ujar DSV sebak pada majlis sidang media yang diadakan di Hotel One World pada Khamis, 20 Februari 2020.
Turut hadir pengacara Roslan Shah dan Azza Elite selaku pengacara majlis.
Air mata yang mengalir menggambarkan betapa kecewanya DSV terhadap kata-kata Azwan Ali yang walaupun membuat permohonan maaf dan bersedia menarik balik segala video dan cacian yang dimuat naik dalam Twitternya, namun kata-kata yang dilemparkan tetap menyakitkan hatinya.
Mengalihkan pandangan kepada anaknya, Che B atau nama sebenarnya, Nur Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, 15, yang duduk disebelah, DSV bertanya apakah langkah yang harus diambil waima, Che B menjawab: “Kita saman Uncle Azwan.”
Menurut DSV, hatinya remuk apabila menonton sidang media yang dibuat Azwan secara ‘live’ malah Azwan sempat pula mencerca nama Che B dengan menganggap anaknya itu ‘lebih kuah dari sudu’ serta memperkecilkan status peguamnya, Tetuan Adnan Seman.
“Bukan niat saya untuk memanjangkan isu ini tetapi saya tidak dapat menerima kata-kata yang dilemparkan, malah saya bukan saman kerana wang ringgit tetapi demi mempertahankan imej dan perniagaan saya dan semoga selepas ini, Azwan tidak dengan sewenang-wenangnya berani membuat caci hamun melalui laman sosial,” tambah Vida.
“Sebenrnya, saya ambil masa lebih seminggu untuk berfikir sebelum tindakan saman ini diambil dan tiada pihak pun yang menjadi batu api atau cucuk saya untuk tindakan ini seperti pendapat Azwan,” sambungnya sedih.
Sebelum itu, peguamnya, Adnan Seman memberitahu, anak guamnya, Datuk Seri Vida akan terus menyerahkan tuntutan saman malu terhadap Azwan Ali memandangkan DSV tidak berpuas hati dengan cara permohonan maaf itu dilakukan.
Menurut Adnan, pihaknya akan memfailkan tuntutan saman pada Isnin atau Selasa depan terhadap Azwan di Mahkamah Shah Alam tanpa mengemukakan nilai ganti rugi.
“Biar mahkamah yang akan tentukan nilai ganti rugi am.
"Bagaimanapun, dalam kes saman malu begini, pihak mahkamah akan mengaturkan satu mediasi untuk cuba menyelesaikan kes yang berbangkit bagi kedua-dua belah pihak sebelum perbicaraan bermula,” jelas peguam Adnan yang selama ini telah banyak mengendalikan kes saman malu.
Konflik antara DSV dan Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai ‘Diva AA' tercetus apabila Azwan memuat naik sebuah video menghina dan mencerca DSV selain membakar parfum (minyak wangi) dan selendang pemberian usahawan itu.
Malah lebih merobek hati DSV apabila Azwan menyentuh soal kematian kedua-dua anak DSV sebagai mati rentung.
“Cakaplah apa pun kepada saya tetapi saya tidak boleh terima apabila dia membangkitkan soal kematian kedua-dua anak saya tujuh tahun lalu yang dikatakan mati rentung.
"Mereka anak syurga, badan mereka tidak rentung malah kedua-duanya ditemui di dalam bilik air berpelukan,” kenang Vida dalam linangan air mata.
Menurutnya, sejak tragedi kebakaran itu berlaku, beliau tidak sanggup menonton berita mengenainya sehinggalah ke hari ini baharulah beliau memberanikan diri melihatnya.
Video berita kebakaran terbabit turut dipertontonkan kepada media yang memperlihatkan pihak bomba membawa keluar mayat kedua-dua anaknya.
Pada 11 Februari 2020, Azwan Ali mengadakan sidang media membuat permohonan maaf serta memadam segala video yang dimuat naik dalam laman Twitternya setelah diberi tempoh 48 jam oleh DSV untuk berbuat demikian. - KitaReporters.com
Dari kiri: Azza, Adnan, Vida, Che B dan Roslan Shah