BILA NIAT BAIK BERTUKAR MENJADI MIMPI NGERI
Published bySEKUMPULAN petani di Hubei, China yang baik hati tidak menyangka pemberian hasil tanaman mereka iaitu lobak putih kepada jiran sekeliling rumah membawa padah sehingga mengakibat mereka kerugian 300,000 yuen (RM175,000) apabila diserbu oleh penduduk kampung. : KitaReporter.Com
PETANI China kerugian kira-kira RM175,000 selepas diserbu oleh penduduk kampung berikutan khabar angin yang menyatakan mereka mengagihkan tanaman secara percuma. - Sumber/Foto Weibo
Memetik laporan South China Morning Post, kejadian yang berlaku di Diaowei, Hubei itu berpunca apabila jiran yang menerima pemberian tanaman itu menyebarkan khabar angin dengan menyatakan sekumpulan petani sedang memberikan hasil tanaman mereka secara percuma kepada orang ramai.
Menurut cerita yang dikongsikan oleh salah seorang petani bernama Xu Jiuge, kejadian ini bermula apabila beberapa jiran memberitahunya bahawa lobak putih yang ditanam di ladang tersebut memberikan rasa yang enak di dalam masakan sup.
Keadaan itu menyebabkan jiran tersebut meminta Jiuge untuk memberikan lobak putih kepada mereka untuk dijadikan sebagai satu hidangan.
Namun niat ikhlas Jiuge berkenaan menjadi ‘kisah lain’ apabila keesokan ladang yang mereka usahakan kira-kira 500 tan lobak putih itu dipenuhi lautan manusia datang menuai sendiri lobak berkenaan.
“Ketika sampai di ladang, saya terkejut ladang ini dipenuhi kira-kira 3,000 orang sedang menuai sendiri lobak hasil tanaman saya, ada juga yang datang dari jauh kira-kira 120 kilometer dari kawasan ini,” akui Jiuge.
Walaupun semua yang datang menuai lobak itu adalah jiran, namun tidak menyangka pemberian ikhlas itu bertukar menjadi tragedi kepadanya.
“Memang mereka jiran kami dan rasanya tiada masalah pun untuk berikan hasil tanaman ini, jadi kami pun memberi keizinan untuk mereka ambil sedikit.
"Tetapi saya tak tahu bagaimana keizinan itu tiba-tiba bertukar menjadi khabar angin kononnya semua lobak itu adalah percuma,” akuinya yang terkilan dengan sikap jiran-jirannya.
PENDUDUK kampung berebut menuai sendiri lobak putih milik Xu Jiuge dan rakan-rakanya selepas khabar angin melanda menyatakan mereka mengagih secara percuma. - Sumber/Foto Weibo
Lebih
menyedihkan lagi, Jiuge melihat terdapat segelintir jirannya yang memuat naik ‘operasi’
menuai lobak putih itu dan sempat mengajak lebih ramai untuk turut serta
mendapatkan lobak putih itu secara percuma.
Keadaan tersebut
mendorong Jiuge membuat laporan polis bagi menangani ‘masalah’ berkenaan, namun pihak
polis daerah Diaowei tidak
mampu berbuat apa-apa disebabkan yang datang menuai terlalu ramai.
Meskipun kecewa dengan kerugian yang terpaksa ditanggung, Jiuge menganggap kejadian itu sebagai amal jariah kepada jiran dan tidak akan menuntut ganti rugi.
Ekoran kejadian tersebut, jiuge dan rakan-rakan membajak semula tanah berkenaan dan merancang untuk menanam gandum di kawasan tersebut pada masa akan datang.
Benarlah kata pepatah kerana mulut badan binasa. Semoga kejadian ini memberi pengajaran kepada kita semua supaya tidak memandai-mandai menyebarkan khabar angin sehingga menyusahkan orang lain! - KitaReporter.com
XU JIUGE terpaksa membajak semula ladang yang menghasilkan kira-kira 500 tan lobak putih untuk menanam gandum pada masa akan datang. - Sumber/Foto Weibo