FARHAN AF4 TETAP JADI PUJAAN DI ISTANA, SHOW

Published by
KitaReporters
"Tuan puan, kalau nak mendengar satu lagi lagu daripada Farhan AF4 ni, kenalah bayaran tambahan RM3,000 ye. Jadi hari ini, kita bernasib baik sebab dia sudi mengalunkan lagu tambahan secara percuma," demikian kata pengacara majlis keraian di Residensi UTMKL, baru-baru ini. : Kitareporters.com


Tertanya-tanya betulkah Farhan mengenakan bayaran sebanyak itu untuk satu lagu? 

Wah boleh tahan dia buat duit. Satu lagu RM3,000.  Kalau 10 lagu memang bertuahlah pemilik nama Nur Farhan Azizan yang berjaya menempatkan dirinya sebagai antara penyanyi terbaik dan masih laku di pasaran walaupun Akademi Fantasia sudah lama dihentikan.

Mendekati penyanyi muda, ibu kepada dua anak, Farhan berkata, sebenarnya harga itu saja-saja dibuat lawak oleh pengacara kerana baginya, dia masih boleh bertolak ansur bergantung kepada persembahan dan penganjur yang membuat tawaran.

Buat masa ini, Farhan sudah agak jarang tampil di kaca televisyen kerana memberi tumpuan kepada pertunjukan di istana, dinner show dan majlis eksklusif. 

Sebab itu, Farhan mengenakan bayaran pertunjukan bergantung kepada majlis. Jika majlis korporat, dia selalunya letak harganya lebih RM10k. 

Farhan mengaku dia sangat fleksibel, jika show itu anjuran anak-anak yatim, persatuan ibu tunggal atau NGO yang tidak mempunyai baget besar, dia tetap tawaran dan harganya pula tidak sampai mencekik darah.

"Bidang hiburan ini kita tidak boleh demand sangat, juga tidak boleh 'terlalu baik' kerana rezeki saya pun tidak menentu. 

"Ada masa show banyak dan ada masanya, show cukup untuk caj pengurusan dan sedikit keuntungan yang menggembirakan," tambahnya.


Farhan yang dilahirkan pada 1984 menyertai Akademi Fantasia (AF) keempat bersama Faizal dari Terengganu yang muncul sebagai juara. 

Ramai yang menjangkakan dia sepatutnya jadi juara kerana vokalnya yang sangat merdu tetapi cuma berjaya meraih tempat ketiga dalam Konsert Akhir Akademi Fantasia pada 5 Ogos. 

Turut bersamanya ialah finalis lain termasuk Haziq, Velvet dan Lotter.

Fasih berbahasa Mandarin, bekas pelajar Sekolah Peng Hua Pulau Pinang, mula terpilih sebagai penyanyi favorite Yang Dipertuan Agong ke-12, Tengku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Syed Putra Jamalullail sebelum berterusan menjadi pilihan pihak kerabat dan istana dalam setiap majlis keraian dan badan-badan koporat. 

Kelebihannya kerana suaranya yang garau dan mempunyai vokal yang mantap dalam menyampaikan lagu-lagu klasik.

Kilauan bintang Farhan bermula dengan menyanyi di hotel ketika dia di tingkatan lima lagi. 

Antara menyertai AF dan menandatangani kontrak menjadi penyanyi residen sebuah hotel, Farhan memilih program Astro Ria itu. 

Hasilnya, dia ditawarkan sebagai artis Maestro selama 4 tahun sebelum menamatkan kontrak awal untuk berdikari.  

Bakat Farhan sebenarnya sudah lama terserlah kerana dia adalah bekas peserta pertandingan Bintang RTM dan Malaysian Idol. Kerana minatnya pada lagu asli klasik, dia sempat menyertai Pesta Lagu Melayu Asli pada 1999.

Keunikan pada vokal itulah yang menjadikan Farhan luar biasa dan mampu mengekalkan popularitinya dalam kalangan penganjur majlis-majlis eksklusif.  

Malah katanya, penyanyi tempatan perlu meniru kaedah latihan vokal, tarian, penampilan dalam media sosial yang dilakukan oleh penyanyi K-pop yang menjadikan mereka bintang antarabangsa. 

Farhan sendiri, ketika beraksi di Hotel Sheraton satu ketika dulu, pernah ditawarkan membuat album Inggeris. Malangnya, pada waktu itu, dia sangat muda.

Kerana kelembutan dan keayuan suaranya dikatakan menyamai penyanyi terkenal sebagaimana idolanya, Shirley Bassey, Chaka Khan, P Ramlee, Zain Ahmad, Saadiah, Siti Tanjung Perak dan Umi Kalthom. 

Saat di pentas, Farhan akan membuaikan penonton dengan alunan suaranya yang garau dan 'dalam' vokalnya.

Mendengar Farhan menyanyi terasa berada pada zaman kegemilangan lagu Melayu asli klasik dan seindah saat gemilang filem Inggeris Love Story, Splendour in the Grass dan Rebel Without A Cause. Zaman-zaman Marilyn Monoroe, James Dean dan Andy William.

Berkongsi kaedah melariskan diri di pasaran, Farhan mengingatkan artis tempatan terutama yang masih 'hijau' jangan cepat 'perasan' dan meletakkan ego yang tinggi. 

Ada artis mengutuk dan beri alasan macam-macam bila diminta menyanyikan lagu orang lain. 

Artis Instagram contohnya tidak mampu bertahan lama. Ramai yang muncul macam biskut 'sekejap ada, sekejap lagi terus hilang' kerana mereka tidak mengasah vokal dan tertumpu pada lagu-lagu pop saja. 

Memang tak akan bertahan lama kerana saingan yang ramai,

Sebab itu, Farhan memilih memberi tumpuan kepada vokal dan mempelbagaikan genre muzik. 

Sebab itu, dari lagu Route 66 yang dinyanyikan oleh Natalie Cole, Still Got The Blues oleh Gary Moore sehingga Spain dan Mas Que Nada, Farhan pasti membuatkan penontonnya berhenti sejenak ketika sedang makan untuk menyanyi bersamanya.

Tersenarai sebagai Top 5 Vokal Wanita Pilihan Anugerah Era 2007, Planet Muzik 2007 dan Industri Muzik untuk tahun yang sama itu, Farhan turut tersenarai sebagai lima terbaik untuk persembahan Vokal Terbaik dalam album Best of Farhan. 

Malah Farhan turut diberi peluang menyanyikan lagu dari album runut bunyi filem Malaikat Maut iaitu Pintu-Pintu Nyata ciptaan Zul Mahat.

Farhan turut menggunakan sepenuhnya aplikasi media sosial termasuk Instagram untuk berhubung dengan penganjur majlis dan mengumpulkan peminatnya menerusi kelab Farhan.  

Dia sebenarnya tidak ada masalah apabila era sudah berbeza apabila media sosial berjaya 'menutup' akhbar dan majalah. Anda boleh berhubung dengan Farhan menerusi @OrkedFarhan. 

Jika kita bijak dengan peka amat mudah untuk berintraksi dengan peminat secara langsung, malah dalam talian jugalah dia berniaga biskut dan kuih raya sebagai tambahan kepada bidang nyanyian itu. - KitaReporters.com

2
0
0
0
0

Copy Link: