GAME EMPAT: KELUARGA VS SAFAWI VS SYIFA
Published byKONFLIK yang terjadi antara pemain bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid; kekasihnya, Syifa Melvin dan pemilik Kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap pemain itu. : KitaReporters
Prestasi merudum yang ditonjolkan Safawi dalam perlawanan luar dan antarabangsa baru-baru ini jelas tidak memberikan kelegaan terhadap Tunku Ismail, yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), yang mahukan anak buahnya terus konsisten untuk setiap baki perlawanan yang berlangsung.
Safawi yang dilabelkan sebagai "anak emas", tidak mahu karier bola sepaknya hancur musnah disebabkan dengan desakan wanita yang mengajaknya berkahwin sehingga menganggu-gugat masa hadapan karier bola sepaknya.
Terkini giliran keluarga Safawi tampil memberikan respons dengan konflik yang terjadi melibatkan TMJ, Safawi dan Syifa yang dilihat semakin tegang dan tidak berkesudahan.
Memetik laporan Harian Metro, ibu kepada bintang muda JDT, Salemeh Abu Bakar, 56, berharap agar dia (Safawi) dapat melupakan hajatnya untuk berkahwin kerana tanggungjawabnya terhadap keluarga masih belum selesai dengan dua lagi adiknya masih belajar.
Dia yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Chatak, Dungun berkata, hubungan yang terjalin antara mereka telah diketahui sejak lapan bulan yang lalu.
“Tahun lalu, Syifa ada dua kali datang ke rumah, pada mak cik, Syifa baik orangnya, tetapi mak cik tak tahu dia pelakon kerana tak pernah tengok drama lakonannya sebelum ini.
“Tiga minggu lalu, Awi ada hubungi mak cik untuk bertanya khabar, pada masa sama, dia memaklumkan ingin berkahwin.
“Namun, mak cik cakap, bukan mak tak restu, cuma mahu Awi tumpu kerjaya dulu, simpan duit dan selesaikan beberapa cita-cita yang diimpikan selama ini,” ujarnya.
Salemeh turut menjelaskan, anaknya yang baru berusia 23 tahun itu masih lagi tidak matang dan mentah untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga.
“Kalau boleh mak cik nak pasangan Awi lebih muda daripadanya.
“Mak cik tak memilih calon menantu, kalau boleh nak menantu yang ramah, kecoh-kecoh sikit atau miskin tak apa janji kaya budi bahasa dan boleh diterima ahli keluarga kami, “ katanya.
Sementara itu, sebilangan besar netizen, yang melemparkan komen, berkehendakan Safawi mencurahkan bakti terlebih dahulu kepada kedua-dua ibu bapanya yang sudah tua, selagi masih bernyawa.
Jelas mereka keredaan sebagai seorang anak terletak pada doa dan restu seorang ibu yang melahirkan kita bukan dari seorang wanita yang baru sahaja mengenali kita.
Tanpa jerit perih mereka kita tidak akan hidup di dunia dan membesar dengan sihat dan bahagia.
Apakah konflik yang terjadi bakal turut memberi kesan terhadap skuad kebangsaan yang telah bersedia untuk menghadapi sesi Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023? - KitaReporters
.