INDAHNYA MELAKA PADA WAKTU MALAM... JOM!!
Published byMELAKA, kota kecil yang menyimpan 1,001 khazanah sejarah ini merupakan pilihan paling tepat untuk jalan-jalan terutama percutian singkat. Memang berbaloi. Lazimnya kaki jalan memilih waktu siang untuk berjalan-jalan, keadaan sudah berubah ramai memilih malam. Jom! Jalan-jalan Melaka waktu malam. : KitaReporters.com
Menikmati keunikan bangunan lama.
Ada beza ke berjalan siang atau malam? Banyak sangat bezanya seperti contoh sudah diketahui umum bulan dan bintang sentiasa ada tetapi lebih cantik kelihatan pada waktu malam. Begitulah keadaanya, ada benda lebih indah terpancar pada waktu malam.
Di sini, banyak tempat menarik tetapi, yang mana paling best? KitaReporters.Com ada jawapannya:
1. Melaka River Cruise Persis di Venice, Itali
Seronoknya!!!
Sebagai pelancong, memilih untuk menaiki Melaka River Cruise adalah pilihan bijak, dapat melihat keunikan bangunan lama sepanjang sungai yang sudah dinaik taraf namun masih dikekalkan keasliannya.
Jika memilih melewati Sungai Melaka pada waktu malam, limpahan dan pancaran nyalaan neon dengan pelbagai warna di tebing sungai memberikan lebih keindahan kepada bangunan lama.
Harga tiket pemegang MyKad iaitu RM10.60 bagi dewasa (hari bekerja) dan RM15.90 (hujung minggu), manakala RM5.30 bagi kanak-kanak. Waktu operasi bermula daripada jam 9.00 pagi hingga jam 11.30 malam.
Seni bina di tebing sungai ini tiada di lokasi lain di Malaysia. Pasti terpesona.
Perjalanan cruise pergi dan balik memakan masa lebih kurang 40-45 minit. Merentasi banyak bangunan warisan bersejarah seperti kedai makan, gudang purba, kampung morten, gereja dan banyak lagi.
2. Menara Taming Sari, 360 darjah Panorama Melaka
Berputar 360 darjah secara perlahan melihat panorama Kota Melaka di waktu malam.
Ramai masih ragu tentang kewujudan keris Taming Sari. Kini tidak salah lagi memang benar wujud sebagai sebuah menara setinggi 80 meter di tengah-tengah bandar Melaka.
Menaiki menara yang dibuka sekitar April 2008 yang fungsi ‘gyro’ seperti Menara Kuala Lumpur... dapat menyaksikan panorama indah hampir seluruh bandar Melaka, pemandangannya tidak kekal malah berputar pada paksi 360 darjah secara perlahan-lahan.
Di atas menara 24 tingkat ini, terlihat banyak tempat menarik pada sudut berbeza seperti Muzium Samudera, Masjid Selat, Dataran Pahlawan, Bukit St John, dan Pulau Melaka.
Harga dikenakan ialah RM17 untuk dewasa dan RM11 untuk kanak-kanak. Ia dibuka untuk orang ramai setiap hari daripada jam 10 pagi hingga 11 malam.
3. The Shore Sky Tower, puncak tertinggi di Melaka
Pandang bawah...gayat!!!
The Shore Sky Tower merupakan bangunan tertinggi di negeri ini yang mempunyai 42 tingkat keseluruhannya.
Terdapat sebuah restoran di atas bangunan pencakar langit ini.
Dalam bangunan ini terdapat daya tarikan lain seperti Akuarium dan Platform kaca lutsinar dengan ketinggian 153 meter untuk melihat pemandangan ke bawah. Ketar lutut.
Dari sini juga, hampir keseluruhan bandar Melaka dapat dilihat dan ketika di waktu malam semestinya bandar ini penuh dilitipi cahaya.
Bangunan terletak di Lebuh Ayer Keruh, Kampung Bunga Paya Pantai ini dibuka setiap hari daripada jam 10 pagi hingga 10 malam.
4. ‘Dating’ dengan hidupan liar di Night Safari Zoo Melaka
Intai-intai haiwan liar pada waktu malam.
Pukul berapa "datuk harimau"?
Pernahkah terfikir, adakah haiwan tidur atau tidak pada waktu malam? Mesti ada kan? Ada antara haiwan ini secara naturalnya aktif pada waktu malam.
Oleh itu, jom melawat Zoo Melaka pada waktu malam yang menempatkan lebih 1,200 haiwan daripada 215 spesis berbeza.
Banyak haiwan hampir pupus ada di sini. Siapa teringin melihat badak sumatra yang diancam kepupusan, Pak Belang, tapir dan banyak lagi... semuanya ada.
Perlu diingat, pada waktu malam jangan gunakan ‘flash’ untuk mengambil gambar dikhuatiri memeranjatkan haiwan liar. Nanti mereka jadi agresif.
Night Safari ini hanya dibuka dua hari saja iaitu pada hari jumaat dan Sabtu sahaja dari jam 8 malam hingga 11 malam.
5. Jonker Walk Cari Cenderahati Pada Malam Hari
Pasar malam paling meriah di tengah-tengah kota Melaka.
Tidak sah kalau tidak ‘shopping’, aktiviti berbelanja juga wajib jika melancong. Mana mungkin balik dengan tangan kosong.
Di Jonker Walk, pilihan cenderahati lebih banyak dan boleh tawar-menawar.
Menaiki beca pada waktu malam pasti teruja apatah lagi beca dihiasi dengan pelbagai lampu warna-warni.