PUSAT beli-belah tersohor, Pavilion Kuala Lumpur mendahului permulaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 (TMM 2020) dengan pelancaran “World Dragon & Lion Dance Extravaganza- Malaysia Edition" pada Rabu (1/1/2020) lalu. : KitaReporters.com

Khalid Abdul Samad (batik merah) bersama Joyce Yap (cermin mata hitam) pada majlis pelancaran "World Dragon & Lion Dance Extravaganza-Malaysia Edition di Pavilion KL pada 1 Januari 2020.


Kehadiran 4 naga dan 130 singa melibatkan 1,200 ahli dari pelbagai kumpulan tarian naga dan singa dari seluruh Malaysia telah memukau ratusan pengunjung di hadapan pintu utama Pavilion KL.

Pelancaran menyaksikan tetamu kehormat, Khalid Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan diringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato Nor Hisham Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Runcit Pavilion KL, Dato Joyce Yap serta beberapa kenamaan lain melaksanakan upacara ‘eye dotting’ tradisional terhadap 10 singa dengan tujuan menghidup dan memberikan semangat kepada haiwan itu.



Mereka kemudian dipelawa melemparkan syiling emas hajat ke dalam Pavilion Crystal Fountain yang ikonik bagi melambangkan tuah, kemakmuran dan nasib baik.

Pembuka acara gemilang tersebut yang dihangatkan dengan paluan gendang kemudiannya diikuti dengan pengenalan 130 singa yang hadir dalam pelbagai bentuk, rupa dan warna, sekali gus mempamerkan keunikan budaya dan warisan Malaysia.



“Sebagai sebuah destinasi membeli-belah terkemuka di Malaysia, Pavilion KL sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengalaman pengunjung khususnya pelancong dalam mahu pun luar negara. 

"Hari ini kami mengekalkan tradisi warisan untuk menyambut tahun baharu dan meraikan Tahun Melawat Malaysia 2020,” ujar Joyce Yap dalam ucapan aluannya.

Menurut beliau, sebagai persediaan tahun baru, Pavilion KL telah memeterai beberapa usaha sama yang strategik untuk memberikan nilai tambah kepada pengunjung.

Lanjutan daripada majlis gemilang tersebut, pengunjung disajikan dengan Kejohanan Tarian Singa Kanak-kanak yang menampilkan kanak-kanak berusia dari 2 hingga 12 tahun dari 10 kumpulan tarian yang berbeza mewakili sekolah rendah masing-masing.



Malah pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penutup khas oleh pemenang Kejohanan Tarian Singa Dunia Genting 2019, Khuan Loke Dragon dan  Lion Dance Troupe.

Diadakan selama tiga tahun berturut-turut, di Pavilion KL, acara kali ini adalah kali pertama 'World Dragon & Lion Dance' membawakan Pameran Kebudayaan di Dining Loft, Aras 7, untuk mempamerkan asal-usul dan sejarah warisan budaya yang menakjubkan itu.

Pameran dibuka kepada umum sehingga 9 Februari 2020.

Dalam pada itu, sebagai mengekalkan tradisi warisan Tarian Singa itu juga, Pavilion KL turut menyumbangkan sepuluh kostum singa ke sepuluh sekolah di Malaysia.

Sekolah-sekolah itu meliputi SJKC Kepong 3; Kumpulan Tarian Singa SJKC Jalan Davidson; SJKC TSU Jin; Kumpulan Tarian Singa SJKC San Yuk Rawang, Selangor; SJKC Kampung Baru Ampang; SJKC Choong Min Teluk Intan; SJKC Serdang Baru; SJKC Subang dan Persatuan Tarian Naga & Singa SJKC Yu Hua Kajang.



Selain itu, sebagai menyokong TMM 2020, Pavilion KL memberikan ganjaran kepada pengunjung dari luar negara dengan kerjasama Union Pay dan Royal Selangor dalam mereka cipta sebuah hadiah unik berupa ‘boarding pass’ atau pas pelepasan dalam 3 warna yang direka dengan panel pewter pada penutup, menampilkan ‘Pavilion Crystal Fountain” yang ikonik.

Untuk mendapatkannya, hanya pemegang kad Union Pay dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM300 dalam satu resit boleh menebusnya sebagai hadiah yang sah sepanjang tahun selagi stok masih ada.

“Ini salah satu daripada sumbangan kami dalam mempromosikan warisan pewter dan kraf tangan Malaysia,” ujar Joyce.


Seperti mana harapan Menteri Wilayah Persekutuan dalam ucapan perasmiannya, beliau  yakin Malaysia mampu mencapai sasaran menarik kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dengan jangkaan pendapatan sehingga RM100 bilion untuk sektor pelancongan.

“Acara sebegini adalah satu permulaan yang baik dalam menarik pelancong luar negara menikmati pelbagai budaya dan warisan yang wujud di Malaysia,” ujar Khalid Abdul Samad.

Untuk rekod, sejak dibuka kepada orang ramai pada tahun 2007, Pavilion KL sentiasa aktif mempromosikan pelancongan membeli-belah dan meningkatkan status Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan. 

Malah pusat membeli-belah ini berada di barisan hadapan inovasi dan kecemerlangan runcit, memenangi lebih daripada 47 anugerah antarabangsa dan tempatan.

Majlis berakhir dengan perarakan ‘Pavilion Parade’ di mana 130 singa berarak di sekitar premis dalaman Pavilion KL untuk merahmati dan membawa tuah serta nasib yang baik untuk Tahun Baharu bagi pemilik kedai dan pengunjung. - KitaReporters.com

1
3
0
0
0

Copy Link: