ALI Khan Pataudi ialah kapten pasukan kriket kebangsaan India. Kriket adalah dunianya. Tidak banyak perkara lain yang dia ambil pusing, apatah lagi mengenai dunia perfileman dan aktor serta aktres yang terlibat dalam industri perfileman. Kitareporters.com

WAJAH jelita Sharmila Tagore.


Sharmila Tagore, 74, pula ketika itu ialah aktres yang sedang mencipta nama dalam industri perfileman Bollywood.

Filem adalah dunianya. Dia tidak tahu banyak mengenai kriket walaupun adakalanya menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan India.

Namun amat menarik sekali apabila dua insan yang berlainan bidang dan kurang meminati kerjaya antara satu sama lain, akhirnya bersatu dalam sebuah rumah tangga bahagia.

Ini berlaku pada akhir tahun 60-an. Ali Khan, kapten termuda dalam sejarah pasukan kriket India, memang dikenali di seluruh negara itu. 

Beliau membawa India menempa pelbagai kejayaan pada peringkat antarabangsa. Kriket adalah permainan popular di India, selain hoki.

FILEM 'Kashmir Ki Kali' memperkenalkan Sharmila Tagore ke layar perak.


Sharmila pula ketika itu sudah menjadi bintang popular selepas kejayaan filem pertamnya Kashmir Ki Kali  bersama Shammi Kapoor. Kejayaan itu menyebabkan aktres jelita berlesung pipit itu menjadi pilihan ramai pengarah untuk membintangi filem mereka.

Ali Khan dan Sharmila pertama kali bertemu pada tahun 1965 di Delhi selepas satu pertandingan kriket dan Sharmila kebetulan datang menyaksikan perlawanan tersebut. Pertemuan tersebut diatur oleh seorang kawan mereka.  

Pertemuan biasa antara dua insan yang saling tidak mengenali ini sekadar satu pertemuan biasa yang tidak meninggalkan apa-apa kesan.

Selepas pertemuan itu masing-masing membawa haluan. Ali Khan sibuk dengan tugasnya sebagai kapten kriket dan Sharmila membintangi satu lepas satu tawaran filem yang diterimanya.

Ali Khan juga ulat buku. Lulusan Universiti Oxford itu yang juga ‘Nawab’ (gelaran terhormat untuk orang ternama) lebih suka bergelumang dengan buku pada masa lapangnya, bukan berpeleseran seperti kebanyakan anak muda lain.

SHARMILA bersama Rajesh Khanna dalam filem blockbuster, 'Aradhana'.


Namun dalam kesibukan itu Ali Khan tetap teringat pada Sharmila. Dia merasakan ada satu tarikan pada diri aktres tersebut. Inilah yang mendorong dia berusaha untuk memenangi hati Sharmila.

Namun usaha ini bukan mudah kerana Sharmila bukan terus menerima luahan perasaan Ali Khan. Ali terpaksa mencari jalan memenangi hati aktres tersebut, termasuk memberinya pelbagai hadiah. 

Namun itu juga belum mampu membuka hati Sharmila.

Akhirnya rentetan surat dan bingkisan bunga ros yang sentiasa dikirim sepanjang tempoh empat tahun berjaya melembutkan hati Sharmila.

Sebaik cinta terikat, pasangan ini sudah tidak dapat dipisahkan lagi sehingga melakukan perkara yang di luar jangka. Misalnya Sharmila pernah meninggalkan set penggambaran hanya untuk mengucapkan selamat jalan kepada Ali Khan di lapangan terbang Ahmedabad.

Ali Khan pula mengajak Sharmila terbang bersamanya dan Sharmila setuju. Set penggambaran ditinggalkan begitu sahaja.  Akhirnya Ali Khan meluahkan hasrat hatinya untuk mengahwini Sharmila di Paris.

SHARMILA aktres yang menjadi rebutan pengarah di zaman kegemilangannya.


Ketika itu antara halangan terbesar ialah Ali Khan beragama Islam dan Sharmila daripada keturunan Benggali. Keluarga kedua-dua pihak sukar menerima penyatuan mereka, malah masyarakat luar juga sangsi samaada mereka mampu bertahan.

Tambahan pula Sharmila dianggap sebagai aktres yang berani  memecahkan ‘taboo’ dengan bergambar hanya mamakai bikini dan berpakaian bikini dalam filem lakonannya.

Dia bergambar berbikini untuk kulit luar majalah Fanfare dan memakai bikini dalam An Evening in Paris ketika dalam percintaan dengan Ali Khan. Shammi Kapoor adalah hero filem tersebut.

Namun Ali Khan seorang yang sporting dan menyokong kerjaya Sharmila. Mereka akhirnya berjaya meyakinkan keluarga masing-masing dan akhirnya bersatu sebagai suami isteri dalam majlis gilang gemilang pada Disember 1969. Sharmila memeluk Islam dengan nama Ayesha Sultana.  

 

SHARMILA TAGORE dan Ali Khan Pataudi pada hari perkahwinan mereka Disember 1969.


Selepas perkahwinan pun ada yang menjangka rumah tangga mereka tidak akan kekal. Namun ternyata jangkaan ini salah kerana hubungan kasih sayang mereka semakin mendalam,  rumah tangga semakin teguh.

Kunci kebahagiaan ini ialah sikap masing-masing yang saling hormat menghormati. Ali Khan misalnya tidak masuk campur tangan dalam urusan dunia perfileman Sharmila.  Malah dia memberi kebebasan dan memberi sokongan.

Malah selepas perkahwinan Sharmila mengundurkan diri daripada filem untuk beberapa ketika, tetapi Aki Khan menggalakkannya untuk kembali ke layar perak. 

Berlainan dengan aktres lain yang sukar menerima tawaran selepas berkahwin, keadaan sebaliknya berlaku kepada Sharmila.

Tawaran untuknya terus datang. Malah kejayaan filem-filem blockbuster seperti Aradhana dan Amar Prem, kedua-duanya dibintangi bersama Rajesh Khanna,  serta Aa Gale Laag Jaa (bersama Shashi Kapoor) dikecapi setelah dia berkahwin.

BERSAMA suami, Ali Khan Pataudi.


Sharmila juga memenangi beberapa anugerah dalam kerjayanya, seperti  anugerah Filmfare bagi  kategori aktres terbaik (Aradhana), Anugerah Kejayaan Sepanjang Hayat Filmfare, Anugerah Padma Bushan (anugerah ketiga tertinggi untuk orang awam di India) serta Anugerah Aktres Terbaik Filem Kebangsaan. 

Perkahwinan Ali Khan dan Sharmila bertahan selama 42 tahun sehingga akhir hayat Ali Khan pada 2011. 

Jelas tanggapan negatif masyarakat dan kesangsian keluarga selama ini meleset. Ali Khan dan Sharmila membuktikan mereka adalah pasangan paling bahagia hingga ke penghujung nyawa.

Darah seni Sharmila mengalir dalam diri dua anaknya, aktor popular Saif Ali Khan dan Soha Ali Khan.  Seorang lagi anaknya ialah Saba Ali Khan.

Menantu pertama Sharmila, Amrita Singh (bekas isteri Saif Ali Khan) adalah juga seorang aktres. Menantunya kini, Kareena Kapoor, adalah antara artis ternama di Bollywood sekarang.

Nyata legasi Sharmila dalam industri perfileman Bollywood diteruskan oleh anak-anak dan menantunya. Cuma tidak ada yang meneruskan legasi Ali Khan dalam dunia kriket! - KitaReporters.com

WALAUPUN sudah berusia 74 tahun, kejelitaan Sharmila Tagore masih terserlah.

ENDS.

 

 

0
1
0
0
1

Copy Link: