[VIDEO] NGAUMM!! AURA KEJUTAN JDT BUAT KOBE
Published byJOHOR Darul Ta’zim (JDT) menyingkap tirai cabaran selaku wakil tunggal Malaysia dalam Liga Juara Asia (ACL) 2020 Kumpulan G dengan menghadapi Vissel Kobe, juara Piala Maharaja Jepun musim lalu. : KitaReporters.com
KESEBELASAN terbaik JDT yang mengejutkan skuad kebangsaan Turkmenistan 2-1 di Dubai pada Januari 2020. - Foto JDT
Kalau musim lalu, Si Harimau Selatan berjaya mengejutkan kelab senegara Matahari Terbit itu, Kashima Antlers 1-0 di Johor Bahru dalam penampilan sulungnya pada ACL, pasti tuah sebegitu pasti ditagih lagi di Stadium Misaki Park, Kobe pada Rabu, 12 Februari 2020 pula.
Sayugia diingat bahawa Antlers juga juara ACL 2018, manakala Vissel Kobe yang juga juara Piala Super Jepun 2020, dikepalai bekas pemenang Piala Dunia 2010 Sepanyol, Andres Iniesta.
ANDRES Iniesta (dua dari kiri) meraikan gol Vissel Kobe dalam perlawanan Piala Super Jepun, baru-baru ini. - Foto AFC
Di atas kertas secara perbandingan, JDT lebih layak dilabel bukan pilihan biarpun hadir dengan status juara Liga Super enam kali berturut-turut sejak 2014 dan Piala Malaysia 2019.
Kelmarin, juara Piala AFC 2015 ini turut menjadi pilihan 80 peratus pelayar laman sesawang rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), the-afc.com yang menobatkannya, ‘Kelab Piala AFC Dekad Ini’.
Turut diundi dalam Kumpulan G ACL 2020 ialah Suwon Samsung Bluewings dan Guangzhou Evergrande FC. Kedua-dua kelab dari Korea Selatan dan China ini pun bukan calang-calang lawan!
Reputasi silam Bluewings jelas hebat. Mereka pernah menjulang trofi ACL - saingan tertinggi kelab-kelab Asia - sebanyak dua kali, 2001 dan 2002.
Dibimbing bekas kapten juara Piala Dunia 2006 Itali, Fabio Cannavaro, Evergrande atau ‘Si Harimau Selatan China’ ini bukan sahaja menjuarai ACL 2013 dan 2015, bahkan mara ke separuh akhir Piala Kelab Dunia 2015 sebelum disekat Barcelona 3-0.
VISSEL Kobe menjulang Piala Super Jepun 2020 dengan menewaskan juara Liga J, Yokohama F. Marinos. - Foto AFC
“Bagi kami, semua pasukan lawan itu getir dan kualiti permainan mereka tinggi. Kami perlu bersedia berdepan dengan sesiapa sahaja,” kata pengurus pasukan JDT, Luciano Figueroa yang membantu menikmati Piala AFC lima tahun lalu.
Siri persediaan pramusim JDT dari 20 hingga 30 Januari 202 di Dubai dan Fujairah, Amiriah Arab Bersatu (UAE) pula mencatat tiga kemenangan dan kalah dua kali.
Mula melangkah dengan sentuhan kecundang 2-0 kepada Riga FC Latvia, skuad Mora kemudian menewaskan Dibba Al Fujairah (UAE) 1-0, skuad kebangsaan Turkmenistan dan MSK Zilina (Slovakia) 2-1, selain dikalahkan Emirates FC 3-2.
Beberapa hari sebelumnya, Harimau Selatan ‘memanaskan badan’ di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru dengan kemenangan 4-0 terhadap pendatang baharu Liga Perdana 2020, Kuching FA dan Home United (Singapura).
Rumah baharunya itu menurut laman sosial Facebook Johor Southern Tigers, akan dirasmikan pembukaannya pada 22 Februari 2020, enam hari sebelum melayani juara Piala FA 2019, Kedah dalam perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah yang serentak sepak mula Liga Super.
Jadual ACL 2020 turut terpaksa dirombak AFC gara-gara penularan wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di China dengan perlawanan JDT menentang Evergrande di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru pada 19 Februari 2020 ditunda ke 20 Mei 2020.
Musim lalu, ACL menyaksikan JDT menghuni tempat corot Kumpulan E dengan mengumpul empat mata termasuk seri sekali dengan Gyeongnam FC (Korea Selatan), namun kesemua kekalahannya hanya tercatat dengan jurang gol yang kecil.
TONGGAK serangan JDT, Diogo Luis Santo semakin berbisa sepanjang siri persahabatan pramusim mereka.
Satu lagi wakil Malaysia, Kedah sudah pun menyerah lebih awal dalam pusingan kelayakan ACL 2020 di Stadium Piala Dunia Seoul, Korea Selatan setelah dibenam FC Seoul 4-1 pada 28 Januari 2020.
Helang Merah walau bagaimanapun menumpaskan kelab Hong Kong, Wofoo Tai Po 5-1 dalam peringkat awal di Stadium Darul Aman, Alor Setar, seminggu sebelumnya. - KitaReporters.com
XI kemungkinan :
Vissel Kobe:
Hiroki Iikura, Daigo Nishi, Dankler, Leo Osaki, Thomas Vermaelen, Gotoku Sakai, Hotaru Yamaguchi, Sergi Samper, Andres Iniesta, Kyogo Furuhashi, Douglas.
JDT:
Farizal Marlias, Aidil Zafuan Radzak, Mauricio, La’Vere Corbin-Ong, S. Kunanlan, Nazmi Faiz Mansor, Harris Harun, Leandro Velazquez, Diogo Luis Santo, Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid.