BENCANA yang mungkin boleh disebut sebagai 'kiamat kecil' sedang berlaku di Australia apabila 500 juta haiwan hangus terbakar, manakala 10 juta rakyatnya dikatakan terpaksa menghidu asap tebal bercampur toksid berbahaya akibat hutan negara kanggaru ini habis dijilat api sejak beberapa minggu lalu. : KitaReporters.com

Kebakaran di Australia. - Foto kredit Voxmedia.com


Kebakaran itu dilaporkan melibatkan kawasan lebih 5.5 juta hektar, yakni sama saiz dengan Belgium itu lebih menyedihkan lagi apabila api itu turut merentungkan lebih 8,000 koala yang menjadi ikon di negara yang terkenal sebagai industri pelancongan pilihan orang Asia kerana nilai tukaran mata wangnya yang  masih berpatutan.

Api berpunca daripada keadaan kemarau, cuaca kering yang membawa gelombang haba panas. Bila gelombang panas bertembung dalam keadaan kemarau, ia  boleh menambahkan risiko hutan terbakar.  

Api itu dilaporkan membakar kawasan timur dan selatan termasuk menghampiri kawasan Melbourne, Sydney dan Adelaide.

Gambar satelit menunjukkan keseluruhan kawasan kebakaran di Australia. - Foto kredit Voxmedia.com


Laporan Assosiate Press (AP) pada 3 Januari 2020 lalu menyebut hampir 12.35 juta ekar tanah dijilat api. 

Kini api dilaporkan membakar kawasan di Victoria (Melbourne), New South Wales (Sydney) dan South Australia (Adelaide). 

Api mula dikesan pada bulan Disember 2019 di Lebuh Raya Pacific Highway di wilayah Coopernook. Ia membabitkan 278 hektar yang pada awalnya dapat dikawal.

Setakat ini, dilaporkan 24 orang maut dan rakyat negara itu masih dilanda kebingungan kerana terperangkap dengan tiba-tiba.

Api menjilat bagaikan tidak dapat dikawal, ditambah dengan cuaca kering yang melanda di hampir seluruh kawasan dunia.

Berpuluh-puluh ribu rakyat negara itu masih lagi terperangkap dalam bahang api dan mereka mencari tempat berlindung di pantai malah dalam takungan loji air dan kawasan bertasik daripada persekitaran yang sangat panas, jerubu serta habuk.  

Dalam usaha menyelamatkan diri, ada penduduk yang melecur bila menggunakan air panas daripada loji air simpanan yang 'dimasak' dengan bahang kebakaran. 

Manakala gambar memperlihatkan binatang yang rentung, tersangkut di pagar besi, hangus di kawasan belukar yang menjadi padang jarak terkukur, akibat setiap inci tanaman, hutan, pokok kayu dan semua rumput serta bunga-bunga yang menjadi bahan makanan haiwan ini hangus 'dimakan' api setinggi gunung dan merebak tidak terkawal.

Asap tebal dan hitam menutupi angkasa Australia. - Foto kredit Voxmedia.com


Menurut laporan Thetvspot dan Daily Australia, ramai lagi rakyat Australia masih terperangkap di bandar-bandar yang perlu dipindahkan segera. 

Kebakaran besar ini adalah kemuncak daripada beberapa cetusan api yang berlaku secara kecil-kecilan kemudian merebak sejak Julai 2019. Yang terbesar akhir Disember lalu, tapi masih dapat dikawal.

Dalam satu laporan, jurucakap Palang Merah memberitahu, mereka awalnya sudah menerima kes semak terbakar sepanjang masa dan sebelum itu sudah membantu lebih 30 kes kecemasan berkaitan kebakaran. 

Kebakaran yang ada itu, berlanjutan hingga enam minggu. 

Mereka membantu hampir 30,000 penduduk dengan sokongan 1,1590 sukarelawan dan kakitangan. 

Menurut jurucakap itu, angka kerugian sebenar belum diketahui dan usaha sekarang ialah mendapatkan bantuan kewangan dari seluruh dunia untuk membantu penduduk yang harus dipindah keluar dari kediaman dan pembiayaan penempatan sementara di pusat perlindungan.

Sumbangan orang ramai juga digunakan untuk kes kecemasan membantu memulihkan trauma mangsa kebakaran, bantuan pinjaman kecemasan untuk mangsa yang kehilangan rumah, membiayai sukarelawan, pemulihan jangka panjang mengadakan program di kawasan terbabit

Secara amnya, derma juga untuk membantu keluarga dan penduduk setempat untuk persiapan menghadapi kemusnahan yang berlipat ganda itu. 

Derma juga digunakan untuk kos pengangkutan, kemudahan pusat khidmat serenti, kewangan dan sistem teknologi maklumat.


Fakta berhubungan kebakaran di Australia:

  • 24 mati
  • 500 juta haiwan mati hangus
  • 8,000 koala mati dan 5 juta hektar tanah terbakar sebesar saiz Belgium.
  • Lingkaran api terbakar 10,000 batu
  • lebih 1,400 rumah musnah dan berpuluh-puluh ribu bangunan dan struktur di negara itu musnah dijilat api
  • angka kerugian sebenar belum dapat dikira lagi. - KitaReporters.com

1
4
25
0
1

Copy Link: