SAWAH BERTEMU LAUT, GULAI IKAN SEMBILANG
Published byBETAPA indahnya menghayati suasana desa yang tenang damai, dikelilingi sawah padi. Sayup mata memandang, bertemu pula dengan bibir lautan yang luas terbentang.
PEMANDANGAN indah sawah bertemu laut di Ban Pecah, Tanjung Piandang, Perak.
Mungkin anda pernah menyaksikan sawah, tetapi senario sawah di Ban Pecah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Perak ini berlainan kerana ia bagai menemukan darat dengan laut.
Sungguh mengasyikkan senario ini, dengan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Lagu ‘Seruling Anak Gembala’ dendangan lagenda pop yeh-yeh, Jefridin iringan The Siglap Five, bagai teriang-iang di telinga ketika asyik menikmati keindahan desa yang jauh daripada gegaran kota.
Nikmatilah suasana ini apabila bersantai diri di Kampung Sungai Burung (Ban Pecah). Anda akan menikmati suasana nyaman dan hening desa dalam persekitaran sawah padi, kebun kelapa dan pantai Selat Melaka.
Suasana nyaman di desa ini bukan sahaja menyegarkan diri daripada hiruk pikuk kota, tetapi pengunjung akan menyaksikan pemandangan yang jarang ditemui di manasawah bertemu dengan laut.
ANAK muda bersiar-siar di waktu petang di pantai Ban Pecah.
Kerana sempadan pemisah antara sawah dan laut yang terlalu hampir, sawah tersebut bagai bertemu dengan bibir laut. Kombinasi dua ciri keindahan alam ini bagai bersatu menghasilkan pemandangan yang sangat menarik.
Pemandangan ini pastinya sangat menguja hati mereka yang belum pernah berpeluang menikmati suasana sawah bendang. Di sini pengunjung akan dapat melihat dan menghayati lambaian pokok padi yang beralun lemah gemalai ditiup angin, diserikan pula oleh kicauan burung yang berterbangan di kawasan sawah.
Di samping itu, pengunjung boleh menikmati keindahan pemandangan Pantai Ban Pecah, diiringi tiupan angin laut yang menyegarkan. Kawasan pantai ini menjadi tumpuan penduduk setempat untuk bersantai, khususnya pada waktu petang, sambil melihat matahari merah sebelum terbenam.
PEMANDANGAN indah matahari terbenam di Ban Pecah, Tanjung Piandang.
REZEKI pemancing mendapat ikan besar di pantai Ban Pecah.
Kepada kaki pancing, pantai Ban Pecah adalah lokasi sesuai untuk memenuhi hobi anda. Biasanya ramai pemancing memenuhi pantai ini, tambahan lagi jika ada peraduan memancing. Cubalah nasib. Jika ada rezeki boleh dapat ikan besar.
Keindahan lambaian desa di Ban Pecah diserikan lagi dengan kedudukan kawasan tersebut sebagai ‘syurga’ bagi penggemar makanan laut. Pelbagai jenis makanan laut yang dimasak dalam pelbagai menu boleh didapati seperti ikan, kerang, sotong , udang,lokan dan lain-lain.
Gulai ikan sembilang dan kerang rebus antara menu pilihan ramai. Peminat ikan sembilang pasti tidak akan kecewa dengan keenakan masakan yang disajikan. Menu ini memang menjadi kegemaran penduduk setempat atau pengunjung luar. Ada yang datang ke sini semata-mata untuk menikmati gulai ikan sembilang.
Kerang rebus pula pembuka selera sebelum menikmati hidangan ‘berat’. Namun ada juga yang datang hanya untuk makan kerang rebus. Kerang dicicah dengan sambil memang menyelerakan.
Selain itu, mi udang juga menu pilihan ramai. Nikmatilah mi enak yang disajikan dengan beberapa ekor udang besar untuk kepuasan anda.
Kedai makanan laut boleh didapati di kawasan Ban Pecah, Tanjung Piandang sehinggalah ke Kuala Kurau. Pilih sahaja kedai mana yang anda ingin kunjungi. Mungkin penduduk tempatan boleh membantu anda memilih kedai yang selalu menjadi tumpuan ramai.
ANTARA makanan laut yang boleh pengunjung pilih.
MI udang menyelerakan.
KERANG rebus antara menu pilihan peminat makanan laut di Tanjung Piandang.
Jika anda penggemar ikan masin, ia juga mudah didapati kerana proses pengeringan ikan masin memang dilakukan di sini. Saksikan keindahan deretan ikan masin yang dijemur di bawah panahan cahaya matahari.
Dengan keindahan pemandangan desa dan pelbagai jenis tarikan makanan, anda mungkin ingin tinggal lama di Ban Pecah. Jangan risau mengenai tempat menginap. Masri Om’Stay, sebuah rumah inap desa yang mengekalkan ciri rumah kampung sedia menunggu kedatangan anda.
Rumah desa ini selain kekal bercirikan rumah kampung, mempunyai kelengkapan mencukupi. Kedudukannya berhampiran dengan destinasi-destinasi menarik seperti sawah padi, pantai dan tempat menjamu selera.
Masri Om’Stay yang terletak di No 8, Batu 11, Jalan Pantai, Tanjung Piandang ini milik Mohd Zaini Nasri, 64, bekas pegawai kanan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau menguruskan sendiri homestay ini dengan seorang pembantu. Ia mula beroperasi tahun lalu.
Menurut Mohd Zaini yang lahir dan membesar di Kampung Sungai Burong, homestay tersebut pada asalnya ialah rumah kediaman keluarga yang dibina pada 1959. Beliau telah mengubah suai dan menambah baik rumah itu untuk dijadikan homestay selepas ibunya meninggal dunia pada Januari 2018.
DERETAN jemuran ikan masin .
“Nama Masri OM’Stay adalah gabungan nama ayah (Masri Saad) dan ibu. Ayah seorang guru agama, nelayan dan pesawah sementara ibu suri rumah sepenuh masa,” kata beliau dalam satu pertemuan baru-baru ini.
Menurutnya, beliau menjadikan rumah itu sebagai homestay kerana tidak banyak homestay di kawasan kampung tersebut sedangkan permintaan sentiasa ada, khususnya ketika cuti sekolah atau musim perayaan.
“Hanya terdapat enam homestay antara pekan Tanjung Piandang dan Kuala Kurau sejarak 10 kilometer. Masri OM’Stay adalah yang ketujuh. Homestay ini hanya 400 meter dari laut, dikelilingi sawah padi,” kata Mohd Zaini.
Dengan jarak yang dekat ini, mereka yang menginap di homestay tersebut boleh berjalan kaki sahaja untuk menikmati keindahan sawah sekeliling atau bersantai sambil memancing di tepi Pantai Ban Pecah.
Antara kemudahan yang disediakan di Masri Om’Stay ialah satu bilik utama atau bilik keluarga, satu bilik double dan satu bilik single.
Turut disediakan ialah dua bilik mandi dan tandas, peti sejuk, set TV, pemanas air (water heater), toaster dan dapur gas. Peralatan masak memasak juga disediakan.
Saiz rumah yang besar serta kelengkapan yang disediakan menjadikan homestay ini amat sesuai untuk keluarga atau yang datang berkumpulan. Ia boleh menempatkan lapan orang dengan selesa pada satu-satu masa, selain kawasan parkir yang luas.
MARI OM'Stay sedia menunggu kedatangan pengunjung.
RUANG Tamu Masri OM'Stay.
Rasailah pengalaman ke Bendang Pecah dan menginap di Masri OM’STAY bersama keluarga atau rakan-rakan. Pastinya pengalamanyang dilalui akan meninggalkan kenangan sukar dilupakan.
Sebarang pertanyaan atau tempahan Masri OM’Stay pula , hubungi Mohd Zaini Nasri di talian 019-4104299 atau Ina di talian 017-4086585. Sewa homestay hanya RM150 semalam.
PELANGGAN menikmati keenakan mi udang.