BAYANGKAN kalau sepak takraw dimain dan disaksikan oleh para pengunjung Red Square, Moscow, Rusia? Atau melintasi kota bersejarah Samarra, Iraq mahupun menjadi pemegun seketika puak-puak di gurun tandus Afghanistan yang entah bila sengketa mereka bakal bersisa! : KitaReporters.com

 

ABDUL HALIM KADER


Tampak macam hampir mustahil tetapi jika ada kemahuan, pasti ada jalan di mana-mana. Bukankah ikthiar itu tangga kejayaan?

Ketiga-tiganya kini berada antara sedozen negara baharu yang diintai oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) untuk dijadikan anggota kerabat baharunya, sekali gus melancarkan bidaan menyertai Sukan Olimpik.

‘Radar’ Istaf bukan sahaja terarah ke Eropah Timur dan Asia Tengah yang meliputi Georgia, Serbia, Poland, Kyrgyzstan dan Tajikistan bahkan  menjalar sehingga Turki, Nigeria, Afrika Selatan dan Haiti.  

“Istaf yakin dengan kemasukan mereka yang menggenapkan 50 negara ahli gabungan kami, akan memperkasa misi perjuangan kami yang tidak pernah putus asa sejak dua dekad lalu iaitu memasukkan sepak takraw ke Sukan Olimpik,” kata Setiausaha Agungnya, Abdul Halim Kader.

Sebagai langkah pertama katanya, sedelegasi pemain, jurulatih, pegawai teknikal dan pengadil serta peralatan sepak takraw wajar dihantar ke negara-negara berkenaan untuk membuat demonstrasi permainan tradisi ciptaan orang Melayu ini kepada rakyatnya terutama golongan belia.

“Secara beransur-ansur selepas itu Istaf akan membantu menggalakkan mereka menubuhkan persatuan sepak takraw yang sah di negara masing-masing, sekali gus berdaftar dengan badan kebangsaan Olimpiknya,” katanya.

Misi menambah keahlian Istaf ini juga tegasnya, bakal dipergiatkan menerusi Persidangan Sport Accord Ke-18 di Beijing, China dari 19 hingga 24 April 2020 yang bakal dihadiri lebih 2,000 pemimpin pertubuhan sukan besar dari seluruh dunia.  

AKSI klasik Malaysia (jersi hitam) dan Thailand sentiasa dinanti-nantikan peminat-peminat sepak takraw dalam Sukan SEA, Sukan Asia, Piala Raja Thailand dan Piala Dunia serta Siri Super Istaf.


“Saya juga baru-baru ini mendapat tawaran untuk membantu Iraq menubuhkan akademi sepak takraw selain melangsungkan sebuah kejohanan antarabangsa bagi mendekatkan sukan ini dengan rakyatnya,” katanya yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Iraq buat kali pertamanya, menyertai Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand Ke-34 di Bangkok, walaupun agak lewat dengan jiran yang juga bekas seterunya, Iran yang sudah ‘melibas bola raga’ ini dalam Sukan Asia sejak 2006 di Doha, Qatar.

Menurut perangkaan penyertaan negara-negara pada Piala RajaThailand dari 25 Ogos hingga 1 September lalu, sebanyak 36 negara ahli gabungan Istaf diundang, namun hanya 23 daripadanya yang mampu hadir beraksi.

Ahli gabungan Istaf yang hadir memeriahkan kejohanan yang mempertandingkan lima acara regu berpasukan, antara regu, beregu dan gelung lelaki dan wanita itu ialah Thailand, Singapura, Taiwan, Filipina, Indonesia,India, Korea Selatan, Laos dan Jepun.

Negara-negara lain termasuk Malaysia, Myanmar, China, Australia,Brunei, Vietnam, Jerman, Iran, Pakistan, Iraq, Kemboja, Brazil, Nepal dan Oman.

PIALA Raja Thailand 2019 mengundang 36 negara ahli gabungan Istaf tetapi hanya 23 daripadanya yang mampu hadir menyertai empat acara. 


Negara-negara yang turut diundang tetapi tidak dapat menghantar pasukan ialah Great Britain, Kanada, Macau, Hong Kong, Bangladesh, Sri Lanka, Afghanistan, Belgium, Perancis, New Zealand dan Portugal.

China kata Halim, turut pernah menawarkan hasrat menjadi tuan rumah Piala Dunia Istaf Ketiga yang terpaksa ditunda tahun lalu dan sepatutnya diadakan di Goa, Hyderabad, Oktober lalu.

“Mereka ada berbincang dengan saya untuk menawarkan Dehong Dai, Yunnan sebagai kota tuan rumah Piala Dunia itu. Selain China, India dan Indonesia juga pernah menyatakan minat yang sama,” katanya.

China pada pertengahan Jun lalu, menganjurkan Kejohanan Asia di Gimnasium Universiti Kewangan dan Ekonomi, Kunming, Yunnan.

Piala Dunia Istaf diasaskan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 21 Julai 2011, namun menunggu sehingga enam tahun untuk menyambung edisi keduanya di Hyderabad dengan kesemua kejuaraannya dikuasai Thailand.

Halim menambah, ada kemungkinan Piala Dunia akan datang cuba memasukkan acara regu berpasukan yang menuntut negara-negara peserta menghantar antara sembilan hingga 12 pemain selain antara regu atau beregu (melibatkan tiga hingga lima pemain).

Namun persoalan besarnya ialah sejauh mana negara-negara ahli gabungan Istaf menyanggupinya? Semakin ramai pemain yang dihantar bererti semakin besarlah kos yang perlu ditanggung dan dikeluarkan setiap pasukan.

Sukan SEA Filipina, baru-baru ini pun menyaksikan hanya lima negara yang menyertai regu berpasukan iaitu tuan rumah; juaranya, Thailand; dan naib juara, Malaysia, di samping pemenang pingat gangsa bersama, Indonesia dan Myanmar.

Malah cuma enam negara yang berminat bagi regu berpasukan Sukan Asia Jakarta-Palembang, tahun lalu iaitu Thailand, Malaysia, Indonesia, India, Korea Selatan dan Iran. - KitaReporters.com

2
0
0
0
0

Copy Link: