KONSERT 'ROCK KAPAK' LEFTHANDED, RAMLI SARIP
Published byMELAYARI perjalanan empat dekad, kumpulan Lefthanded mahu terus mewarnai industri hiburan pada abad ke 21 ini. : Kitareporters.com
Yakin mampu mengembalikan fenomena muzik rock lewat 80-an hingga 90-an kepada generasi era digital kini, Lefthanded mengambil langkah awal sempena meraikan ulang tahun ke-40 mereka dengan sebuah konsert berskala besar.
Bakal berlangsung di tanah jiran, Singapura, konsert yang dinamakan ‘Lefthanded “Seruan” X Datuk Ramli Sarip Live in Singapore’ dijangka menghimpunkan kira-kira 1,200 penonton membanjiri Capital Theatre pada 7 Mac 2020.
Dianjurkan oleh OG Offgrid Projects, konsert yang dijadualkan lebih kurang 3 jam itu sudah pun berjaya meraih pungutan jualan tiket melebihi 50%, sekali gus memperlihatkan kehadiran Lefthanded masih berbisa.
“Sebagai penghormatan dalam meraikan ulang tahun mereka yang ke-40 tahun, kami mengambil keputusan untuk menjadikannya lebih istimewa dengan menyatukan Datuk Nash & Man Kidal bersama ‘Sifu’ mereka, Datuk Ramli Sarip,” ujar Pengurus Besar OG Offgrid Projects, Idi Qalif Taha ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman konsert tersebut di Music Box, Damen Mall pada Rabu 14/1/2020.
Menurutnya, pemilihan Capitol Theatre sebagai lokasi bertitik bertitik tolak daripada sejarah bangunan itu sendiri dan kawasan sekitarnya, yang dahulunya amat sinonim dengan ‘Rock Kapak’ ketika era 80-an hingga 90-an.
“Maka, tujuan kami tidak lain tidak bukan adalah untuk mengembalikan nostalgia Lefthanded dari zaman kasut Aliph dengan imej rambut kembang dan seluar ketat melewati sejarah penubuhan mereka yang kini berusia lebih 4 dekad,” tambah Idi Qalif.
Idi Qalif selanjutnya memberitahu telah membuat persiapan hampir setengah tahun untuk merealisasikan penganjuran konsert, yang menurut rekod, belum ada pemuzik Melayu pernah mengadakan konsert di pentas sehebat dan seagung Capitol Theatre yang telah dibangunkan sejak 1929.
“Lefthanded bakal mencipta sejarah itu, jadi para peminat tidak seharusnya melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang disifatkan sebagai ‘Never Before, Never Again’ ini,” jelas Idi.
Sementara itu, Datuk Ramli Sarip dan Man Kidal (kiri) mewakili Lefthanded yang turut hadir melahirkan perasaan teruja mereka dapat mengembalikan nostalgia zaman rock kapak pada abad ke 21 ini.
“Saya tiada masalah untuk bersama Lefthanded malah saya menerima lamaran ini pun sebab saya ada momen istimewa bersama ketika mereka membesar. Saya ni menumpang sahaja ” ujar Ramli Sarip atau lebih popular dengan gelaran ‘papa rock’ merendah diri.
Bagi Man Kidal pula, tidak mahu menganggap Datuk Ramli Sarip sebagai ‘menumpang’ konsert, beliau melahirkan rasa bangga dapat bersama ‘sifu’nya itu yang banyak menaikkan nama Lefthanded.
“Kami akan bersama-sama menjanjikan satu persembahan yang akan memuaskan hati peminat sepanjang empat dekad berada dalam industri. Kami saling tumpang menumpang,” balas pemilik nama sebenar Abdul Rahman Mahmood ini.
Gimik pelancaran memperlihatkan Ramli Sarip dan Man Kidal menandatangani poster konsert sambil diiringi Idi Qalif.
Untuk rekod, album pertama Lefthanded berjudul “Keadilan” (1986) mendapat sentuhan Ramli Sarip selaku penerbit, malah selepas album ‘Evolusi” (1989) yang menyaksikan vokalisnya, Nash meninggalkan Lefthanded, Ramli Sarip mengambil alih sebagai vokalis sementara dan sempat merakamkan sebuah album berjudul ‘Fanatisme’ pada tahun 1991.
Menurut Man Kidal lagi, konsert yang akan berlangsung tanpa banyak bicara tetapi muzik sepanjang malam akan memperdengarkan kira-kira 25 buah lagu melalui empat segmen persembahan termasuk tribut kepada anggota-anggota asal Lefthanded yang telah kembali ke rahmatullah.
Antara lagu-lagu hits mereka yang masih popular hingga kini meliputi “Seruan”, “Keadilan”, “Lanun”, “Debunga Wangi”, “Ku Di Halaman Rindu”, “Tiada Lagi Kidungmu” “Qabul” dan “Lagenda Cinta”.
Jadi, sekiranya korang merindui lagu-lagu lama sepanjang 4 dekad Lefthanded, boleh mendapatkan tiket berharga SGD88, SGD108, SGD138 (duduk barisan atas – Dress & Circle) dan SGD148 (duduk barisan hadapan – Stall).
Untuk peluang bertemu ahli band Lefthanded secara dekat pada hari konsert, pembeli tiket hanya perlu menambah SGD50, termasuk T-shirt & Tote Bag percuma.
Bagaimanapun, peluang itu terhad kepada 100 peminat sahaja.
Dan memandangkan 50% tiket telah ditempah, dapatkan tiket segera di www.ogoffgrid.com.
Maklumat lanjut layari laman sosial facebook dan instagram di https://www.facebook.com/ogoffgridprojects/ dan https://www.instagram.com/ogoffgridprojects/. - KitaReporters.com
Team penganjur Ogoffgrid Projects yang terlibat merealisasikan Konsert Lefthanded "Seruan" x Datuk Ramli Sarip Live In Singapore kelak.