TAKRAW NEGARA KENA LIBAS 'TAUFAN KAMMURI'?

Published by
KitaReporters
KALAH dengan Thailand bukanlah berita baharu lagi tetapi bagaimana kalau tersungkur kepada Filipina pula? Pasti satu tamparan hebat bagi dunia sepak takraw Malaysia atau ibarat pukulan ‘Taufan Kammuri’ Filipina! : KitaReporters.com

SKUAD sepak takraw negara sekadar beroleh pingat perak regu berpasukan Sukan SEA Filipina 2019, masih di belakang Thailand sejak 1993. Nurul Huda Abdullah (tengah, belakang), bekas ratu renang negara yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Sukan SEA.


Tahukah anda? Seperti bola sepak, skuad sepak takraw kita pernah diaibkan lawan kerdil seperti Singapura (Chiang Mai 1995) dan Myanmar (Brunei 1999) malah Laos (Vientiane 2009).

Malah sejarah paling pahit ialah apabila skuad kita membawa pulang dua butir pingat gangsa dari Sukan SEA Indonesia 2011.

Inilah yang terburuk bagi Malaysia, pengasas sepak takraw yang memasukkan sukan itu dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur pada 1965.

Inilah juga nasib skuad bimbingan Abd. Talib Ahmad dalam Sukan SEA Ke-30, Filipina 2019 yang mulai terbayang pada fikiran legenda sepak takraw negara, Suhaimi Yusof.

Dia juga seorang daripada 12 anggota skuad pemenang pingat emas regu berpasukan Sukan SEA Manila 1991 – yang terakhir dimenangi Malaysiase hingga hari ini.

Skuad negara akan mengharungi aksi ketiga liga sepusingan acara antara regu ini dengan tuan rumah, 11 pagi esok dan Singapura, sebelah petangnya.

Satu lagi kekalahan bakal mengubah warna pingat perak yang kian pasti digenggam ole Malaysia, kepada sekadar gangsa – meleset daripada catatan emas di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.

Sesudah ditumpaskan Si Gajah Putih semalam 12-21, 19-21, Malaysia terpaksa berhempas pulas untuk menjinakkan Vietnam 21-16, 19-21, 21-15 di Gimnasium Lembaga Metropolitan Teluk Subic, Luzon.

“Dengan Vietnam pun perit regu kita nak menang petang tadi. Kalau kalah pula dengan Filipina, satu tamparan hebat bagi sukan sepak takraw Malaysia!

“Dalam sukan ini, kita sebuah negara yang besar dan masih di atas Vietnam, tetapi bagaimana pemain boleh jadi tertekan sampai kalah satu set,” kata bekas pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 ini.

Sepatutnya tegas Suhaimi, skuad Talib hanya perlu mendahului Vietnam dengan begitu jauh untuk mengelak tekanan yang meningkat pada bahu sendiri.

“Buat macam Thailand yang mendahului kita dengan begitu jauh (dalam set pertama semalam), macam-macam skil yang sengaja mereka keluarkan (seolah-olah angkuh mengejek Malaysia).

“Mereka akan biarkan tekong sahaja melibas bola kepada kita (Sittipong Khamchan) atau matikannya dengan dada sahaja (Anuwat Chaichana) apabila tinggalkan mata dengan jauh sekali

“Kita pula yang tertekan sebab hendak kejar mata itu, mulalah terkucil, main pun serba tidak menjadi sampai ada pula bola yang cuba diangkat, tidak boleh naik tiba-tiba.

“Cuba bayangkan kalau mata regu kita sentiasa mengekori rapat Thailand?

“Mereka yang begitu kuat pun pasti tertekan sehingga boleh tukar dua pemain berturut-turut semalam (Pornchai Kaokaew digantikan Anuwat dan Sittiphong bertukar dengan Kritsanapong Nonthakote),” jelasnya.

Namun hati kecil bekas pengumpan kelahiran Klang, Selangor ini masih berharap, skuad Talib mampu menewaskan Filipina, sekali gus memastikan perak.

Tuan rumah dikatakan memiliki sebuah regu agak mantap malah sengit menyaingi Malaysia ketika menyingkap tirai acara regu berpasukan, 6 Disember lalu sebelum tumpas 12-21, 19-21 dalam aksi regu kedua.

SKUAD wanita negara mencatat kemerosotan daripada pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kepada gangsa di Subic, Luzon kali ini.


Sementara itu, Malaysia yang meraih sebutir perak regu berpasukan semalam, menambah sebutir gangsa menerusi acara antara regu wanita dengan mengalahkan tuan rumah 21-14, 20-22, 21-12.

Namun mereka tewas kepada Vietnam pada sebelah petangnya,15-21, 14-21, manakala semalam, dibenam Thailand 12-21, 7-21.

Emas seperti diduga kekal menjadi milik Thailand diikuti perak buat Vietnam.

Sekalipun dilangsungkan secara liga sepusingan melibatkan empat negara sahaja, Filipina tetap dikalungkan gangsa sedangkan kalah kesemua perlawanan. - KitaReporters.com

 

  

1
1
2
0
0

Copy Link: