BETUL KE SALJI TURUN DI MEKAH DAN MADINAH?
Published byUMAT Islam termasuk di Malaysia baru-baru ini dihebohkan bahawa salji telah turun di Haramain dua kota suci iaitu Makatulmukaramah dan Madinatulmunawarah (Mekah dan Madinah) di Arab Saudi seperti yang telah ditular melalui media sosial sama ada Facebook, YouTube, Instagram, Twitter, WhatsApp dan sebagainya. : KitaReporters.com
Penduduk setempat di sekitar Tabuk dan pelancong dari luar bertumpu di kawasan Pergunungan Al- Lawz, Tabuk bagi menikmati suasana salji yang turun pada setiap tahun. - Kredit foto Facebook.
Sejauh manakah kebenaran fenomena tersebut masih menjadi tanda tanya dan persoalan sebahagian ramai terutama mereka tinggal menetap di kedua-dua kawasan berkenaan yang menjadi tumpuan umat Islam mengerjakan ibadah haji dan umrah setiap tahun.
Isu mengenai perkara ini turut dipaparkan oleh salah seorang melalui media sosial Facebook, Najmi Farisham yang tular hujung minggu lalu, berikutan tersebarnya video mengenai salji turun dikatakan di Al Haram di mana seni bina bentuk bangunan dan cahaya lampunya hampir dengan di Mekah dan Madinah.
Berikutan keadaan tersebut secara tidak langsung membolehkan sesiapa sahaja yang menontonnya akan terfikir keadaan itu sama ada di Masjidilharam di Mekah atau Masjid Nabawi di Madinah.
Beginilah keadaan antara ladang unta di beberapa tempat di Tabuk bila salji terjadi dikawasan berkenaan. - Kredit foto FB
Pelajar Universiti Islam Madinah ini yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan menyatakan,s ebenarnya fenomena salji turun itu bukan berlaku di Arab Saudi, tetapi terjadi di bahagian utara negara Iran dan masjidnya dikenali dengan nama Masjid Masyid.
Memanglah dalam video berkenaan ada menyebut dan diulang-ulang nama Al Haram kerana menurut puak Syiah kawasan tersebut merupakan salah satu daripada tanah haram bagi golongan mereka.
Malahan video yang menunjukkan kawasan diliputi salji itu sebenarnya, ujar beliau sudah mulai tersebar sejak tahun 2017 lagi.
Kejadian itu berlaku ketika salji turun di Iran lebih tiga tahun lepas dan penduduknya membuat rakaman dengan penuh teruja. Maklumlah tanah haram mereka memutih diselubungi salji.
Kemudiannya disebarkan di dalam media sosial hingga umat Islam termasuk di Malaysia menontonnya dan terjadilah salah faham dengan menyangka keadaan yang terjadi itu berlaku di tanah haram Mekah dan Madinah lalu dengan bersungguh-sungguh menyebarkannya ke seluruh dunia.
Peta menunjukkan kedudukan kawasan wilayah Tabuk, yang terletak di utara Arab Saudi setiap tahun di mana berlakunya musim salji. - Kredit foto Google.com
"Secara tidak langsung dan tanpa melakukan penyelidikan kita mempromosikan tanah haram puak Syiah ini kepada orang ramai," ujarnya yang sudah menetap di Madinah sejak tahun 2015 lagi.
Beliau sangat berharap masyarakat Islam khususnya diMalaysia jangan mudah terpengaruh dan bertukar fahaman, bahawa tanah haram bagi orang Islam hanya ada dua iaitu di Mekah dan Madinah sahaja, tanpa ada di tempat-tempat lain.
Untuk itu, tegas beliau, apa yang perlu kita lakukan sekarang betulkan fakta dan berita yang tersebar dan jelaskan bahawa video yang tular sebenarnya berlaku di Iran dan bukan di Arab Saudi.
Jarak kedua-dua tempat berkenaan sekitar 7,000 kilometer jauhnya.
Najmi menjelaskan, sebenarnya di Arab Saudi memang ada beberapa kawasan tertentu yang bersalji bila musim sejuk dan perkara ini ramai tidak tahu kerana beranggapan negara tersebut muka buminya dipenuhi dengan kawasan padang pasir dan cuaca panas agak tinggi.
Bandar Tabuk di Arab Saudi yang merupakan antara kota sejarah sering menjadi tumpuan termasuk pelancong asing kerana pelbagai daya tarikan yang ada di situ - Kredit foto FB
Pada asasnya, kita perlu faham cuaca Arab Saudi berbeza dengan Malaysia yang mempunyai empat musim iaitu panas, sejuk, bunga dan luruh.
Semasa musim panas, suhunya antara 27 hingga 45 darjah celsius malahan mampu mencapai hingga 50 darjah celsius.
Bagi musim sejuk bergantung kepada kawasan, ada yang mencapai hingga melepasi paras negatif iaitu -6 darjah celsius.
Bagi musim bunga dan luruh, tempoh biasanya dalam lingkungan dua bulan sahaja.
Antara kawasan di Arab Saudi yang kerap dan setiap tahun turun salji ialah Tabuk, itu pun bukan seluruh tempat hanya tertumpu di bahagian-bahagian tertentu sahaja.
Tabuk yang terletak di sebelah utara negara berkenaan di persisir barat laut menghadap Mesir dan bersempadan dengan Jordan berkeluasan 108,000 kilometer persegi dengan kepadatan penduduk 560,200 orang.
Kira-kira 1,000 kilometer jaraknya dengan Madinah.'
Suhu sejuk di kawasan ini pernah mencecah paras -15 darjah celsius.
Kawasan pergunungan Al Alkan,Al Lawz dan Al Thahir di Tabuk,Arab saudi merupakan tempat yang ada salji setiap tahun - Kredit foto FB.
Kenapa salji berlaku di Tabuk? Antaranya faktur geografi.
Kawasannya terletak bersempadan dengan Jordan yang kita sedia mengetahui negara itu setiap tahun ada salji.
"Saya sendiri beberapa tahun lalu pernah ke Tabuk dengan tujuan untuk menikmati suasana salji di kawasan tersebut tetapi rezeki tak ada, kami tiba awal seminggu sebelum berlakunya musim salji.
"Suhu ketika itu memang sudah terlalu sejuk bercakap dan bernafas pun keluar asap. Mujurlah kereta yang kami naiki dan tempat penginapan disediakan alat pemanas," katanya.
Najmi berkata, sepanjang tempoh berada di Madinah sejak tahun 2015, musim sejuk suhunya pernah mencecah 0 darjah celsuis sangat sejuk.
Nak mandi, nak keluar rumah atau nak buat apa-apa aktiviti, rasa sungguh mencabar.
Dalam catatan FB-nya, Najmi menyatakan, setakat pengetahuannya selepas berkomunikasi dengan masyarakat setempat dan carian di Internet, tidak ada cerita mengenai tanah haram Mekah dan Madinah diselaputi salji.
Bagaimanapun suhu sejuknya pernahlah sampai tahap mengigil dan terpaksa memakai pakaian hingga beberapa lapis. Tetapi salji tidak ada!
Binatang peliharaan penduduk termasuk unta terpaksa meredah salji untuk mencari makan bila kawasan di Wilayah Tabuk, Arab Saudi bersalji - Kredit foto FB.
Berita-berita yang tersebar mengatakan Mekah dan Madinah turun salji yang tular dalam media maya setiap tahun satelah dikaji dan selidik kebanyakan gambar-gambar diambil di kawasan Tabuk.
Taif merupakan kawasan pergunungan tanah tinggi mempunyai cuaca sejuk yang paling hampir dengan tanah haram Mekah iaitu sejauh 91 kilometer dengan masa perjalanan 1 jam 21 minit.
Kawasan ini sesuai dan kaya dengan tanaman buah-buahan sering dilawati para jemaah haji dan umrah.
Wilayah Tabuk yang berada pada ketinggian 768 meter daripada paras laut mengalami cuaca sejuk hingga mencecah kepada -2 darjah celsius dan keadaan ini menyebabkan salji di kawasan dipergunungan Al Lawz.
Dua kawasan di Alkan dan Al Lawz mengalami hujan dan salji setiap tahun hingga menarik minat penduduk sekitar Tabuk dan wilayah berhampiran bertumpu di tempat yang diselaputi salji sama ada bagi meraikan cuaca berkenaan dengan berkelah dan mendirikan khemah selain berbagai aktiviti di kawasan bersalji.
Salah satu keluarga penduduk tempatan mengadakan majlis makan diluar kawasan rumah semasa musim salji di Wilayah Tabuk. - Kredit foto Google.com.
Jurucakap Jabatan Meteorologi dan Perlindungan Alam Sekitar Arab Saudi, Hussein Al Qahtani dalam kenyataanya berkata, cuaca sejuk dikawasan tersebut akan berterusan sehingga beberapa minggu.
Bermula minggu lepas wilayah pergunungan Tabuk diselubungi liputan salji yang merangkumi Jabal al-Lawz, Jabal al-Thahir dan Jabal Al-Alkan dengan suhunya terlalu sejuk.
Menurut media Jordan Al Bawaba, salji akan menyelubungi wilayah Tabuk hingga beberapa minggu setiap tahun dan kali terakhir berlaku pada April tahun lalu.
Bila musim salji binatang peliharaan termasuk unta terpaksa dikenakan selimut bagi mengelak dari kesejukan - Kredit foto FB.
Banyak keindahan alam dan kekayaan sejarah di Tabuk.
Kota ini pernah menjadi sejarah popular di mana berlakunya Perang Tabuk iaitu peperangan terakhir Nabi Muhammad S.A.W melawan pasukan tentera Rome pada bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah atau September 630 Masehi.
Jabal al-Lawz salah satu tempat terkenal di Tabuk, sesuai dengan namanya Gunung Almond di tempat ini banyak pokok almond tumbuh dan ia biasa digunakan untuk membuat minyak wangi dan ubat-ubatan.
Di pergunungan ini banyak tinggalan sejarah masa lampau, seperti lukisan dan pahatan pada batu-batu termasuk permulaan tamadun manusia saperti kehidupan berburu dengan kuda atau pentingnya unta bagi aktiviti harian mereka. - KitaReporters.com