SERBA canggih, serba cantik dan serba wow! Yalah, berbaloi kos pembinaannya RM200 juta. Mercu tanda baharu di selatan Semenanjung - satu kebanggaan ‘Boys of Straits’ (Budak Tebrau - gelaran buat peminat setia pasukan Johor Darul Ta’zim - JDT). : KitaReporters.com

STADIUM Sultan Ibrahim mampu memuatkan 40,000 penonton dan bakal jadi mercu tanda baharu bola sepak Malaysia. - Foto FB JST


‘Rumah’ baharu Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang terletak di Iskandar Puteri, Johor Bahru kini menghitung hari untuk dibuka dengan rasminya.

Kontraktor pembinanya sudah pun menyerahkan stadium ini pada Isnin, 20 Januari 2020 dan tarikh perasmiannya dijangka ditetapkan pada pertengahan Februari ini.

Laman facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers (JST) kian mencanangkan kehadiran satu daripada venue tumpuan utama Liga Malaysia musim 2020 yang bermula 28 Februari 2020 mahupun Liga Juara Asia (ACL).

Aneka gambar bahagian dalaman stadium seperti kotak korporat dan tetamu kenamaan selain reka bentuk luarannya pada waktu siang dan malam, dipaparkan dalam laman itu selain Twitter milik pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang juga Tunku Mahkota Johor.

KOTAK korporat atau ruang tetamu kenamaan SSI memang sedap mata memandang. - Foto FB JST


Laman itu turut menguar-uarkan kepada para penyokong setia JDT yang membeli jersi baharunya musim 2020 pada hari pelancarannya di Dataran Bandar Raya Johor Bahru pada awal bulan depan, bakal berpeluang meraih pas masuk terhad ke stadium itu ketika perasmiannya.

JDT akan menyambung kempen ACL 2020 di gelanggang sendiri dengan perlawanan keduanya dalam Kumpulan G, menentang Guangzhou Evergrande dari China pada 19 Februari 2020.

Namun tidak dapat dipastikan sama ada perlawanan ACL itu akan menjadi aksi kompetitif pertama Si Biru Merah di Stadium Sultan Ibrahim atau bakal berlangsung di ‘rumah lama’, Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.

Yang pastinya, sepak mula Liga M 2020 menerusi perebutan Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah pada 28 Februari 2020 sah dilangsungkan di SSI dengan JDT mempertahankannya daripada tentangan juara Piala FA 2019, Kedah.

JDT juga merupakan juara enam kali berturut-turut Liga Super sejak 2014 dan menggondol Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah 3-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2 November 2019.

Pada 11 dan 14 Januari 2020, dua perlawanan pemanas badan sudah dilangsungkan di SSI yang menyaksikan JDT berpesta gol menang 4-0 terhadap pendatang baharu Liga Perdana 2020, Kuching FA dan Home United dari Singapura.

KUCHING FA (jersi putih) mendapat penghormatan dan bertuah sebagai lawan pertama JDT di SSI pada 11 Januari 2020. - Foto FB JST


Kuching FA dalam laman Facebook rasminya, mencoretkan pujian terhadap SSI yang turut disifatkannya sebagai berkelas dunia apatah lagi kerana mendapat penghormatan pasukan lawan pertama yang beraksi di situ.

“Terima kasih JDT kerana memberikan penghormatan kepada Kuching FA sebagai pasukan pertama merasmikan stadium terbaru JDT, Stadium Sultan Ibrahim dalam perlawanan persahabatan dan atas peluang yang diberikan serta layanan mesra di Johor Bahru. 

“Pengalaman ini akan kami jadikan pembakar semangat untuk terus memajukan bola sepak Kuching amnya dan Sarawak khasnya,” tambah hantaran laman Facebook Kuching FA itu.

Bermuatan 40,000 tempat duduk, perlawanan tersebut turut disaksikan oleh Tunku Ismail dengan gol-gol tuan rumah dijaringkan oleh Diogo Luis Santo, Hazwan Bakri, Leandro Velazquez dan Liridon Krasniqi pada minit ke-35, 65, 69 dan 71.

'HARIMAU Selatan Berantai' JDT, Safawi Rasid (kiri) bersaing dalam perebutan bola dengan pemain Kuching FA di SSI. - Foto FB JST


Projek pembinaan stadium bola sepak serba moden ini yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia iaitu yang pertama di Malaysia, bermula sekitar  2017.

Termasuk dalam kemudahan ini ialah ibu pejabat JDT, ruang kelab penyokong rasmi, pejabat jualan tiket, restoran dan pelbagai lagi kemudahan.

Ketika menewaskan Home United dengan jaringan Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo, Syafiq Ahmad dan Liridon Krasniqi, JDT dan SSI turut bertuah kerana menerima tetamu sensasi iaitu bekas pemenang Piala Dunia Jerman 2014, Lukas Podolski.

Penyerang ini kerap dilaporkan laman sosial JDT, mengadakan rundingan dengan Tunku Ismail. 

Secara kebetulannya, kelab Vissel Kobe dari Jepun yang ditinggalkan oleh Podolski selepas bersama sejak 2017, merupakan lawan Harimau Selatan dalam ACL, 12 Februari 2020. - KitaReporters.com

FAKTA STADIUM SULTAN IBRAHIM :

  • Lokasi: Iskandar Puteri, Johor Bahru
  • Perlawanan pertama: JDT lawan Kuching FA, 11 Januari 2020
  • Penjaring pertama: Diogo Luis Santo
  • Kemenangan pertama: Kalahkan Kuching FA 4-0
  • Perlawanan kompetitif rasmi pertama: JDT lawan Kedah (Piala Sumbangsih Sultan Ahmad Shah) 28 Februari 2020 @ JDT lawan Guangzhou Evergrande (Liga Juara Asia Kumpulan G), 19 Februari 2020
  • Muatan: 40,000 orang
  • Jenis rumput: Zeon Zoysia
  • Kos pembinaan: RM200 juta
  • Pembukaan rasmi: Pertengahan Februari 2020
  • Penyerahan oleh kontraktor: 20 Januari 2020
  • Mula dibina: 2017



6
0
0
0
0

Copy Link: