/


Berita baik bagi penggemar sukan udara. Mereka akan berpeluang menyertai Festival Udara Taiping 2024 (FUT 2024) yang diadakan pada 19 hingga 22 Disember 2024 mulai jam 8.00 pagi - 11.00 malam di Lapangan Terbang Tekah, Taiping.

Pengarah Program FUT Datuk Zulkifli Nasrom berkata, ia bertujuan mengetengahkan acara sukan udara kepada orang awam di seluruh Malaysia.

Beliau berkata, antara aktiviti utama yang akan diadakan ialah Aircraft Fly-In & Pameran Kapal Terbang Statik, Microlight Joyride, Paramotor, Remore Control & Drone.

“Selain Payung Terjun, Festival Makanan, zumba senamrobik, sukaneka jaguh rakyat, sukaneka kanak-kanak, tarik tali, kreativiti mewarna, inovasi aircraft mock-up,  cabaran kapal terbang kertas, pameran agensi dan Malam Taiping Berselawat,” katanya.



FUT dianjurkan oleh Kelab Sukan Udara Taiping (KESUT), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Pejabat Daerah dan Tanah Larit Matang dan Selama, Flytrike Sdn Bhd, Persekutuan Udara Malaysia (MFAF) dan Tourism Perak.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata, ini merupakan acara julung kali diadakan di Taiping yang menggabungkan keunikan penerbangan rekreasi udara dengan warisan Bandar Bersejarah Taiping. 

Menurutnya, acara yang berlangsung selama empat hari ini menjadi mercu tanda dalam kalendar pelancongan Malaysia, selain menyokong Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 serta sambutan ulang tahun ke-150 Taiping sebagai Bandar Bersejarah. 

Beliau berkata, ini kerana FUT bukan sekadar pameran pesawat semata-mata, ia merupakan sambutan kemajuan teknologi yang disepadukan dengan penghargaan terhadap sejarah. 

Selain itu, ia bagi menarik pelancong tempatan dan antarabangsa, peminat acara kebudayaan dan penerbangan, peminat koleksi kereta dan motor klasik.

“Ia juga menarik penyertaan peserta penerbangan dari lima buah negara antabangsa dan dijangka 10,000 orang akan mengunjungi FUT pada kali ini,” katanya.



Lapangan Terbang Tekah merupakan lapangan terbang yang tertua dan pertama dibangunkan di Malaysia ketika zaman penjajahan British pada tahun 1929. 

Sayangnya tempat yang bersejarah ini mula hilang keutamaannya setelah pertambahan pembinaan lapangan

terbang yang lain seperti Lapangan Terbang Alor Star di Kedah, Lapangan Terbang di Singapura, Selangor dan Pulau Pinang. 

“Lapangan Terbang Tekah yang usang, tidak terurus ini dulunya mempunyai nostalgianya yang tersendiri dan memberi banyak manfaat pada penduduk tempatan. 

“Kami terpanggil untuk menghidupkan kembali kegemilangan Lapangan Terbang ini dan memastikan Ianya berada dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.  

Zulkifli berkata, masuk adalah percuma. - KitaReporters



25
16
0
26
0

Copy Link: