ANDA suka berkelah, berkhemah atau bersantai bersama keluarga di hari minggu? Jika ya, jom ke program Hari Rekreasi Putrajaya 2023 (HRP 2023) yang akan diadakan di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya pada 14 Oktober 2023.

Inilah peluang keemasan yang ditunggu-tunggu selama ini. Anda boleh berkhemah bersama keluarga, rakan-rakan atau sesiapa sahaja di lokasi yang menarik dengan menghadap pemandangan "sunset" di pesisiran tasik Presint 4 yang sangat indah.


Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, berkata HRP 2023 diadakan bagi memberi keseimbangan dengan gaya hidup penduduk dan menjenamakan Putrajaya sebagai bandar rekreasi. 

Beliau berkata, program itu juga diadakan bagi menggalakkan gaya hidup aktif, meningkatkan kesihatan mental, menghilangkan stres, merapatkan hubungan kekeluargaan, mempromosi keindahan dan kepelbagaian rekreasi di pusat pentadbiran negara itu.

“HRP 2023 akan bermula jam 7 pagi hingga 7 malam dan masih mengekalkan lokasi yang sama iaitu Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.

“Pemilihan tempat di Anjung Floria adalah bertepatan dengan pengisian utama HRP2023 iaitu acara perkelahan kerana ia terkenal sebagai lokasi terbaik untuk melihat matahari terbenam di Putrajaya," katanya dalam satu kenyataan media. 

Menurutnya, Anjung Floria juga merupakan salah satu destinasi yang sesuai untuk melakukan aktiviti beriadah bersama ahli keluarga dan rakan-rakan.


Seronoknya dapat berkelah dan bersantai di tepi tasik Anjung Floria yang tenang dan mendamaikan.


Bagi memeriahkan sambutan HRP 2023, ayuh pengunjung yang hadir menjadi sebahagian yang akan mencipta rekod 'The Longest Picnic Line in Malaysia' (Barisan Perkelahan Terpanjang di Malaysia). Acara ini akan dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records (MBOR).

“Kami menganggarkan sasaran minimum peserta perkelahan seramai 1,000 orang bagi 250 lot perkelahan dengan ukuran sekurang-kurangnya 500 meter panjang.

“Selain menjadi sebahagian daripada rekod pengiktirafan MBOR, peserta perkelahan akan turut terlibat dalam pertandingan lot piknik tercantik yang dipertanding dalam enam kategori iaitu terbuka, komuniti Putrajaya, pelajar sekolah rendah dan menengah, pelajar universiti, pengatur acara (event planner) serta pempengaruh (influencer),” katanya.  


Antara contoh khemah yang boleh didirikan untuk dipertanding sempena Hari Rekreasi Putrajaya 2023 pada 14 Oktober 2023.


Pengunjung juga boleh menyertai aktiviti sampingan, antaranya memanah, petting zoo, mini flying fox, aktiviti seni dan kraf tangan, tree climbing, remote control show, pameran campsite daripada jenama-jenama barangan outdoor terkenal, bazar jualan daripada Pasar Seloka, Car Boot Sale Kota Damansara dan Puspanita Putrajaya. 

Untuk aktiviti rekreasi air, pengunjung boleh menyertai pertandingan open water swimming, kayak rekreasi, klinik stand-up paddle (SUP), water taxi, SUP sunset dan slack line. 

Lebih menarik, katanya, HRP 2023 turut dimeriahkan dengan lebih daripada 17 jenis aktiviti sukan kenangan antaranya pertandingan tiang licin, tangkap itik, tarik tali dalam air, gusti bantal dalam air dan istana pasir.

“Bagi penggemar makanan, ada 1,001 sajian makanan enak yang bakal disediakan kepada pengunjung  seperti Lepak Corner, food truck dan jualan penjaja kecil. 

"Harapan kami, melalui HRP2023, ia dapat memberi sedikit nikmat kepada peniaga kecil dan usahawan muda tempatan bagi mengetengahkan produk mereka secara meluas dan lebih dekat kepada orang ramai," kata Fadlun lagi.


Tapak pekhemahan untuk peserta mendirikan khemah dan berkelah disediakan di kawasan lapang Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.


Melalui penganjuran HRP 2023, katanya secara tidak langsung ia dapat memperkenal Putrajaya sebagai bandar mesra rekreasi yang dilengkapi infrastruktur sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa.

“Kami berharap HRP 2023 dijadikan acara tahunan pada peringkat kebangsaan selain menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras terutama terhadap penekanan kepada keindahan landskap bandar, pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan dan sokongan kepada gaya hidup sihat,” katanya. 

Orang ramai yang berminat untuk mengambil bahagian dalam HRP 2023, pendaftaran boleh dibuat melalui imbasan QR Code di poster atau link berikut http://tiny.cc/Putrajaya_Daftarberkelah untuk maklumat lanjut. - KitaReporters


Anda berpeluang melihat matahari terbenam dalam program Hari Rekreasi Putrajaya 2023 di Anjung Floria, Putrajaya.

13
13
0
11
0

Copy Link: