Pintu masuk ke kompleks kawasan Rumah Lat dan Galeri di Batu Gajah, Perak.


TIADA siapa menyangka rumah Mat, watak utama dalam komik The Kampung Boy oleh kartunis terkenal, Datuk Mohammad Nor Khalid  akan dizahirkan untuk lawatan pengunjung. Tup tup rumah kayu tradisional itu sudah pun wujud dan tampil tersergam dalam satu kawasan tanah yang turut menempatkan sebuah bangunan galeri di Batu Gajah, Perak. 

Rumah Mat dalam siri kartun itu sebenarnya adalah ilham daripada rumah keluarga Lat sendiri. Lat daripada singkatan perkataan Bulat ialah nama timangan kartunis itu, Mohammad Nor sejak kanak-kanak, juga nama penanya sebagai kartunis. Maka rumah pameran itu dinamakan Rumah Lat, bentuk sama yang dilakarkan sebagai Rumah Mat dalam siri kartun itu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kartun



Terhasilnya projek rumah berkenaan adalah disebabkan oleh gambaran rumah itu dalam siri kartun Kampung Boy yang telah menaikkan nama Lat sehingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus menaikkan nama Malaysia, sehingga karyanya diterima sebagai khazanah negara yang layak dimuziumkan.

Dalam kawasan yang dimaksudkan terdapat dua bangunan yang telahpun siap, satu rumah tradisional Perak daripada kayu sepenuhnya yang mewakili Rumah Lat dan satu lagi, bangunan moden, konkrit - kaca, yang berfungsi sebagai galeri. Di hadapan kompleks itu, tertera mercu tanda,`Rumah Lat & Galeri`, menghadap jalan besar.

Jika tiada lagi aral melintang, sebulan dua lagi Rumah Lat & Galeri boleh dilawati oleh orang awam apabila dibuka Julai ini seperti dimaklumkan kepada Mohammad Nor dan media. 


Rumah kayu tradisional yang berkolong atau bertiang tinggi, inilah replika Rumah Lat yang dipamerkan di kompleks Rumpah Lat dan Galeri.



Penulis sendiri mendengar ura-ura yang sama sewaktu mengunjungi kompleks berkenaan pada Disember 2020 lalu. Ketika itu, kedua-dua bangunan itu telahpun siap tetapi masih kosong. Sepatutnya Rumah Lat & Galeri dibuka Disember 2020 itu.

Projek berkenaan dibiayai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan dibina atas tanah milik Kerajaan Negeri Perak sementara Mohammad Nor bertanggungjawab terhadap kerja-kerja terperinci untuk menzahirkan. 

Dengan berita terkini itu, bermakna hampir terhasil sudah perancangan untuk mewujudkan Rumah Lat & Galeri, di mana pengunjung boleh mendapat maklumat dan gambaran mengenai kehidupan kartunis Malaysia terkenal itu.

Orang paling gembira dengan berita itu tentulah Lat sendiri kerana projek berkenaan sudah agak lama diusahakannya iaitu tujuh tahun dalam penantian. Biarpun sudah siap terpaksa menanti lagi kerana pembukaannya Disember 2020 lalu ditangguh berikutan wabak Covid-19. 


Ruang dalaman Rumah Lat


Rumah Lat ialah replika rumah keluarga Lat yang didiaminya pada 1960-an di Kampung Lalang, Kota Bahru, dekat Batu Gajah, Perak.

Ternyata rumah itu sangat penting baginya kerana semua itu menggamit nostalgia zaman kanak-kanaknya, yang menjadi fokus penceritaan siri kartun Kampung Boy. Bagi Lat, berada di rumah replika itu terasa seakan di rumah asalnya, iaitu tempat di mana beliau dilahirkan pada 5 Mac 1951.

Dengan persetujuan adik beradik untuk meletakkan koleksi barangan milik keluarga mereka di rumah pameran itu,  menguatkan lagi gambaran suasana rumah lama. Rumah Lat mempamerkan barang peribadi termasuk koleksi keluarganya. Difahamkan ia termasuk set kerusi meja kayu keras, almari, meja solek dan katil pusaka diwarisi dari nenek sebelah bapa kartunis itu dan semua perabot itu dipercayai dari tahun 1930-an. 

Bahan pameran di Galeri Lat pula tertumpu kepada hasil lukisan dan tulisan sepanjang kerjayanya selaku kartunis.


Tingkap tinggi dua daun, berpengadang jenis kekisi kayu berukir pada Rumah Lat.


Selain nilai sentimental, warisan keluarga, galeri turut menjadi ruang pameran sejarah karier dan penceritaan hubungannya dengan beberapa nama besar dalam karier kartunis termasuk editor yang menilai hasil nukilan kartun dan lukisannya yang dihantar ke pihak penerbitan.

Empat dekad pembabitan beliau dalam kerjaya kartunis berhasil menerbitkan lebih 20 siri komik termasuk Kampung Boy (1979), Town Boy (1981), Mat Som (1989) dan 1979 Kompilasi kartun Keluarga Si Mamat.

Dalam sedikit masa lagi, peminat boleh menyelami nostalgia kehidupan Lat melalui kunjungan ke Rumah Lat & Galeri di Batu Gajah, Perak. 

Rumah Lat & Galeri turut memberi makna dan nostalgia kepada adik-beradiknya. Dalam satu laporan, menurut Mohammad Nor, isterinya dan dua saudara lelakinya akan berada di situ untuk memberi maklumat kepada pengunjung mengenai kegiatan harian di rumah mereka pada masa dulu, serta menceritakan kisah-kisah di sebalik kartun, watak-wataknya dan keseronokan dalam gaya kehidupan mereka pada zaman kanak-kanak. - KitaReporters


Halaman depan kompleks Rumah Lat dan Galeri

1
0
0
1
0

Copy Link: