KEBIASAANNYA masyarakat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha dengan menyediakan juadah lemang, ketupat dan rendang yang menjadi resam turun-temurun.

Bagi masyarakat Melayu, tanpa lemang atau ketupat bersama masakan rendang, suasana hari raya tidak begitu sempurna dan meriah apatah lagi ketika rakan atau jiran bertandang sudah tentulah mereka akan bertanya juadah tersebut. : KitaReporters

Lemang, ketupat dan rendang juadah tradisi orang Melayu pada musim perayaan. - Kredit foto: maskulin.com.my   



Suatu perkara agak 'unik' yang realitinya dalam kehidupan ini berlaku apabila Orang Asli etnik Taman Negara di Pahang turut memasak lemang setiap kali tibanya kedua-dua perayaan tersebut seperti yang disambut oleh orang Melayu.

Sudah menjadi kelaziman setelah banyak berasimilasi resam dengan orang Melayu, penduduk Orang Asli juga turut berhari raya, malahan tradisi kemeriahan mereka seperti yang disambut oleh penduduk Kampung Kuala Tahan dengan persiapan memasak lemang.

Seorang penduduk Orang Asli etnik Bateq sedang memasak lemang daun lerek sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha di Kampung Teresek, di Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Kediaman Orang Asli etnik Bateq di Kampung Teresek, Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: en.wikipedia.org


Untuk makluman, masyarakat minoriti di situ yang membina kediaman di pesisir Sungai Tembeling daerah ini masih mempercayai fahaman 'animisme' dan mempunyai ikatan yang kuat dengan alam semula jadi, cuma segelintirnya sahaja sudah memeluk agama Islam.  

Walaupun tidak mengenakan pakaian baharu lantaran kesusahan hidup, tetapi Orang Asli Bateq tetap memasak lemang untuk juadah dalam kalangan mereka di bawah teduhan pondok binaan daripada kayu hutan dan beratap rumbia.     

Memasak lemang daun lerek di bawah bangsal kayu hutan beratap rumbia untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidiladha. - Kredit foto; Roslan Abu Kassim


Realitinya, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha (31 Julai 2020 lalu), keluarga Orang Asli Bateq di Kampung Teresek berdekatan pusat peranginan hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan turut membuat persiapan 'hari raya' dengan bergotong-royong memasak lemang.

ROSLAN ABU KASSIM


Menerusi bantuan Pengerusi Birds Group Taman Negara (BGTN), Roslan Abu Kassim, penulis dapat menyelami kehidupan etnik Batek yang sangat teruja berkongsi kemeriahan bersama masyarakat Kuala Tahan menyambut Hari Raya Aidiladha.

Roslan berkata, boleh dikatakan saban tahun ketika perayaan umat Islam, beberapa keluarga etnik Batek di taman itu menyediakan juadah lemang ntuk dihidangkan dalam kalangan keluarga berkenaan.

"Penduduk kampung ini memperoleh sumbangan beras pulut dan santan daripada guru sekolah rendah yang mengajar anak mereka (Orang Asli) dan BGTN menyediakan keperluan dapur menerusi dana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari luar. 

"Manakala, penduduk di sini mencari sendiri buluh lemang dan daun lerek yang amat mudah diperoleh di hutan berdekatan," katanya di Kuala Tahan baru-baru ini.

Apakah keistimewaan lemang yang dimasak oleh Orang Asli etnik Bateq?

Sarina a/p Pawer sedang mengisi pulut dan santan berlapiskan daun lerek ke dalam buluh lemang. - Kredit foto:  Roslan Abu Kassim   


Menurut Roslan, proses membuat dan memasak lemang itu sama seperti orang Melayu lakukan, tetapi mereka menggunakan daun lerek bagi menggantikan daun pisang bagi dilapis bahagian dalam buluh.

Katanya, Orang Asli Bateq memang mempunyai kepakaran 'melemang' (membuat lemang) kerana mereka kerap memasak nasi dalam buluh antara cara 'survival' ketika berpindah randah di kawasan hutan.            

Ketika berkunjung ke Kampung Teresek, penulis dapat melihat lebih dekat seorang wanita Batek, Sarina a/p Pawer, 40, serta dibantu oleh penduduk di situ memasak 30 batang lemang. 

Roslan berkata, penggunaan daun lerek yang tumbuh meliar di hutan tropika Taman Negara menggantikan daun pisang, kerana flora berkenaan menghasilkan aroma yang menyedapkan dan sudah tentu menyelerakan apabila lemang ini dimakan ketika masih panas.

Daun lerek (Phrynium pubinerve) tumbuh meliar di hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: MelurDotCom


"Daun lerek ini juga menjadi pilihan masyarakat Melayu di Kuala Tahan dan Hulu Tembeling ketika memasak lemang setiap kali musim perayaan dan kenduri kendara," katanya.

Lawan bagi lemang sudah tentulah rendang daging atau ayam bagi orang Melayu. Apakah pula makanan yang digandingkan untuk 'dicecah' bagi Orang Asli dengan masakan lemang mereka?

"Mereka cuma makan lemang yang masih panas begitu sahaja tanpa rendang seperti mana tradisi makanan orang Melayu," ujar Roslan.

Dua orang gadis turut membantu memasak lemang daun lerek di Kampung Teresek, Kuala Tahan, Jerantut. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Beliau berkata, selepas masak, tok batin bersama anak-anak buahnya terus menikmati lemang panas dan bermakna selesailah sambutan 'hari raya' mengikut kepercayaan mereka.

"Tradisi melemang dalam kalangan Orang Asli antara aktiviti bercorak survival yang diaktifkan oleh BGTN untuk menitip pengalaman pengunjung ketika singgah di perkampungan Orang Asli di sini," katanya.

Lemang daun lerek bukan sahaja menjadi juadah meraikan tetamu bagi orang Melayu Hulu Tembeling ketika hari raya, malah sudahpun dikomersialkan di merata tempat. - Kredit foto: BERNAMA  


Sementara itu, Pengurus Pelancongan dan Hospitaliti Mutiara Taman Negara Resort, Sabri Abdullah berkata, proses asimilasi dengan orang Melayu di Kuala Tahan beberapa resam termasuk perayaan telah dipelajari dan diikuti oleh generasi hari ini dalam kalangan Orang Asli Bateq.

"Sebelum ini mereka sinonim dengan masakan nasi dalam buluh ketika tinggal di dalam hutan, tetapi masakan lemang dilapis daun lerek sudah menjadi menjadi tradisi ikutan khususnya turut memeriahkan sambutan hari raya seperti umat Islam.

"Budaya berkenaan menjadi nilai tambah untuk pengisian lawatan pelancong bagi melihat sendiri cara Orang Asli Bateq membuat lemang daun lerek dan aktiviti survival ketika mereka berada di hutan," ujarnya. - KitaReporters 

SABRI ABDULLAH

6
0
0
0
0

Copy Link: