ALAH bisa tegal biasa. Demikian peribahasa yang sesuai jika anda melancong ke Thailand terutama melalui sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah pada musim perayaan atau cuti persekolahan.

Kenapa tidak? Akibat fenomena melancong ke negara gajah putih itu kembali selepas penularan pandemik Covid-19 pada 2019, banyak ‘kesengsaraan’ yang perlu anda tempuhi jika Thailand terutama Hatyai atau Danok jadi pilihan untuk melancong.

Sebagai contoh, akibat kesesakan jalan raya di sempadan Sadao, Songkhla pada 3 September 2023 lepas, kira-kira 400 rakyat Malaysia terkandas di kawasan tersebut setelah pintu sempadan ditutup pada pukul 12 tengah malam (2 September 2023).

Kesesakan dikatakan bermula di pusat pemeriksaan pihak berkuasa Thailand di Sadao sejak pukul 9 pagi dan berlarutan sehingga lewat tengah malam.



Kesesakan di sempadan Sadao, Thailand dekat Danok yang mengakibatkan ratusan rakyat Malaysia terperangkap setelah pintu sempadan ditutup pada 12 tengah malam.

Kekacauan di Sadao itu dikongsikan oleh seorang teman penulis yang menetap di Songkhla, K Suwit, 62, yang mengambarkan bahawa seumur hidupnya belum pernah menyaksikan kejadian seumpama itu.

“Ada yang terpaksa tidur dalam kereta di jalan sekitar kawasan berhampiran sempadan itu. Kira-kira 50 kenderaan. Kejadian seperti ini tidak pernah saya lihat,” katanya ketika dihubungi penulis.

Wartawan televisyen di Songkhla ini memberitahu, ada juga pelancong yang mengambil keputusan untuk berpatah balik dan mencari hotel sekitar Danok untuk bermalam.

“Pintu masuk Malaysia-Thailand di sini sesak sejak 31 Ogos dan ditambah dengan cuti sekolah. Pada 2 September (2023), banyak orang Malaysia berpusu-pusu pulang kerana sekolah akan dibuka.

“Jadi jalan sesak sehingga dua kilometer. Selain kenderaan persendirian terdapat ratusan bas pelancong yang terkandas di sempadan ini apabila ia ditutup pada 12 tengah malam,” ceritanya.

“Keadaan kembali pulih pada awal pagi apabila sempadan dibuka namun sempadan kembali sesak sejak tengah hari apabila banyak yang mahu pulang setelah sekolah dibuka semula hari ini (3 September),” katanya.

Sementara itu menurut seorang rakyat tempatan yang dikenali sebagai Boon, 55, rakyat Malaysia yang ingin bercuti di Thailand harus merancang sebaik mungkin perjalanan mereka atau mungkin terperangkap dalam kesesakan seumpama itu.

“Saya sendiri sudah lama tidak ke Thailand takut jadi macam inilah. Selalu saja sesak dan buang masa. Kalau ada yang nak ke sana kena ambil masa untuk pulang kerana Danok memang sesak apatah lagi musim cuti,” katanya.


Kesesakan di sempadan Thailand-Malaysia dekat Danok, Sadao berlaku sejak 31 Ogos. 


Bukan sesuatu yang menghairankan jika Thailand menjadi destinasi percutian seisi keluarga di sebalik kejatuhan ringgit sejak kebelakangan ini dan ia dikaitkan dengan pelbagai produk menarik disediakan oleh pihak terlibat pelancongan negara itu.

Kini setelah empat tahun pandemik Covid-19 berlalu Thailand yang pernah suram termasuk Danok yang bergelar ‘Pekan Hantu’ sebelum ini, kembali bernyawa dan pulih seperti sedia kala.

Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) mengeluar kenyataan bahawa industri pelancongan negara itu pulih sehingga 93 peratus sejak pandemik Covid-19 sekaligus mencatatkan kemasukan sehingga 160 juta perjalanan.

TAT juga memberitahu Thailand akan meraih pendapatan sehingga 808 bilion Baht (RM106 bilion) daripada sektor berkaitan pelancongan sepanjang tahun ini.

Ketika industri pelancongan Thailand sudah jauh ‘berlari’ yang menjadi persoalan sekarang adalah sektor sama di negara ini. 

Adakah selamanya, kita perlu melihat rakyat negara ini ‘melarikan’ diri ke negara itu setiap hujung minggu atau musim cuti persekolahan? - KitaReporters

10
16
0
10
1

Copy Link: