Sabariah Saidan (atas motor) bersama sebahagian daripada peserta wanita yang Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia yang berlangsung di sebuah hotel di Cherating.


Kerana minat apa sahaja sanggup dihadapi. Biar sekuat manapun cabarannya, kalau hati kata 'aku boleh' maka tidak salah membuat percaturan itu. 

Bukan untuk menunjuk atau bermegah tetapi lebih kepada mencari kepuasan dan 'menghargai diri' sendiri yang selalunya terikat dengan pelbagai urusan kerja dan keluarga. 

Jangan salah anggap tujuan mereka 'melarikan' atau 'menjarakkan' diri daripada keluarga kerana ia lebih kepada 'me-time' untuk seketika. 

Meredakan diri sambil mencari kawan baharu yang meminati hobi sama. Setiap orang mempunyai pandangan berbeza dan sanggup merealisasikan impian mereka walaupun dalam tempoh yang singkat.


Sanira Abdul Hamid sanggup menunggang motosikal sejauh lebih 700km dari Arau, Perlis untuk menyertai Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia yang diadakan di Cherating, Kuantan.


Begitu pilihan Sanira Abdul Hamid, 35, yang sanggup 'membelah' beberapa sempadan negeri dengan menunggang motosikal RXZ kesayangannya untuk bertemu teman-teman yang mempunyai hobi sama sepertinya. Menunggang kuda besi! 

Berkerjaya sebagai tukang masak, Sanira menunggang lebih 700 kilometer (km) dari Arau, Perlis ke Cherating di Kuantan, Pahang untuk menyertai Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia itu.

Sanira berkata, walaupun terpaksa menempuh perjalanan mencabar, namun kepuasan bertemu lebih 350 ahli berkenaan selama tiga hari dua malam di pantai peranginan terkenal Pantai Timur itu nyata berbaloi.

"Saya bertolak dari Arau, jam 6 pagi Khamis (21 November 2024) seorang diri sebelum bertemu rakan lain di Kedah pada Jumaat (22 November 2024) dan berkonvoi sehingga ke lokasi yang dirancang.

"Boleh dikatakan sepanjang perjalanan itu hujan tetapi saya bersyukur kerana sampai dengan selamat dan dapat berkumpul bersama ahli kelab dari seluruh negeri di Semenanjung," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Cherating pada 23 November 2024.

Majlis perasmian program disempurnakan Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan. 


Majlis perasmian Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia (RXZ Maam 1.0) disempurnakan oleh Sabariah. 


Sanira, ibu kepada lima cahayamata itu berkata, minatnya terhadap motosikal RXZ bermula selepas 'terpikat' pada keunikan jentera dua roda tersebut selain kelihatan lebih 'padu' apabila ditunggangi wanita secara solo ketika berada di jalan raya.

Walaupun ramai melihat hobi ini sebagai sesuatu yang mahal, namun bagi Sanira kepuasan yang diperolehinya jauh lebih bernilai.

"Ada yang beranggapan ia satu hobi (menunggang motosikal) yang sia-sia tetapi jika dilihat daripada sudut positif ia mempunyai kelebihan yang tersendiri.

"Sesekali melepaskan tekanan kerja dengan cara yang berbeza tidak ada salahnya kerana kita bukan lupakan terus tanggungjawab sebagai isteri dan ibu," katanya.

"Apa yang penting ia memberikan kepuasan kepada saya dan berkongsi pengalaman berharga. Saya juga bersyukur kerana ibu bapa turut mendoakan semoga saya selamat sepanjang perjalanan," katanya.


Peserta Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia yang berlangsung di sebuah hotel di Cherating pada Sabtu, 23 November 2024, bergambar kenangan.


Sementara itu, Presiden Kelab RXZ Wanita Malaysia, Siti Shafida Abdul Ghani berkata, perhimpunan ini diadakan di Kuantan kerana hampir 70 peratus ahli kelab berasal dari Pahang. 

Menurutnya, kelab yang sudah tiga tahun ditubuhkan, kini memiliki 535 ahli berdaftar dan jumlahnya dijangka terus meningkat daripada semasa ke semasa.

"Ahli kelab mempunyai latar belakang kerjaya yang berbeza iaitu ada anggota polis, guru, jururawat, usahawan dan peniaga yang berumur antara 19 dan 42 tahun

"Jadi himpunan ini kami berkongsi mengenai kerjaya dan perniagaan, itu yang seronok apabila dapat berkumpul dan perhimpunan ini adalah yang terbesar selepas tiga tahun penubuhan kelab," katanya.


Sabariah (dua dari kanan) ketika merasmikan Program Himpunan RXZ Wanita Malaysia yang berlangsung di sebuah hotel di Cherating pada 23 November 2024.


Menurutnya, pihaknya juga berusaha mendapatkan pengiktirafan Malaysia Book of Records untuk program berkenaan dan berharap ia akan menjadi kenyataan.

Katanya lagi, perhimpunan seperti ini secara tidak langsung dapat mengeratkan ikatan persahabatan, berkongsi cerita selain  lakukan aktiviti bersama.


Deretan motosikal yang dimiliki ahli kelab RXZ Wanita Malaysia yang menyertai program berkenaan


Dalam perkembangan berkaitan, Sabariah memaklumkan kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua pihak khususnya golongan wanita dalam melaksana aktiviti sihat dan bermanfaat

"Bagaimanapun, saya juga menasihati semua ahli kelab supaya mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya," katanya.

Tidak salah untuk berlibur buat seketika. Melepaskan diri daripada tekanan kerja atau apa sahaja perkara yang membebankan diri dan pada masa sama boleh mencuci mata sambil melihat keindahan di negeri orang. 

Apa-apapun keselamatan diri ketika berada di jalan raya jadikan keutamaan. - KitaReporters


11
12
0
9
0

Copy Link: