Siap! Sedia! Tempur! 8 pasangan Keluarga Malaysia perang di dapur! Pertandingan masak Tempur Dapur!
Published byHanya dua pasangan suami isteri dan satu pasangan biras akan bertempur bersama tiga pasangan adik beradik dan satu pasangan bapa dan anak saudara di dalam ‘Dapur Tempur’ yang bakal menemui penonton di TV9 bermula pada 3 November 2022 ini.
Program realiti masakan terbaharu yang membawakan 8 pasangan keluarga yang unik itu menampilkan Yasmin Hani sebagai hos manakala selebriti terkenal Sheila Rusly dan cef selebriti Cef Adu Amran menggalas tugas sebagai juri tetap.
“Program Dapur Tempur adalah program realiti masakan pertama yang akan bersiaran di TV9 setelah penjenamaan semula stesen TV ini pada tahun lepas (2021),” ujar Khairunnisa Kamarulzaman, Pengurus Besar, Pengurusan Kandungan & Siaran TV9, pada majlis sidang media untuk mengumumkan program realiti terbaharu 'Dapur Tempur' yang berlangsung di Flower Girl Coffee, Sunway Geo Avenue baru-baru ini.
Turut hadir Yasmin Hani; Sheila Rusly; Cef Adu Amranl; Zainal Abidin Musa, Pengarah Eksekutif dan Pengarah Pemasaran Nona (gambar atas, tengah); 8 pasangan keluarga terbabit; serta Haziq Hussni selaku pengacara majlis.
Mereka terdiri daripada pasangan suami isteri yang menggelarkan kumpulan mereka, “Masam Manis”, Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli, 38 dan Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 31; pasangan biras “AA” - Rahayu Jani, 48, & Mariani Mustafa, 45; pasangan kakak & adik “9Siblings” - Nusaybah Che Anuwa, 38, & Tasnim Che Anuwa, 29; pasangan ibu & anak “Sudap Sudip” - Halifah Jaafar, 59, & Muhammad Ariff Haron, pasangan kakak & adik “Seketul Rasa” - Idziatul Shima Samarudin, 42, & Muhammad Hanis Samarudin, 32; pasangan abang & adik “Zest” - Mohd Hafzy Mohd Yusof Senusi, 45, & Norhaiza Mohd Yusof Senusi, 36 dan pasangan suami isteri terakhir, “Selerak Selegho” - Muzhaffar Mohamed, 32 dan Shaidhatul Aqmalis Zainul Akmal, 29 tahun.
Lapan pasangan keluarga yang bakal bersaing dalam 'Dapur Gempur'. - Kredit foto FAS.
Menurut Khairunnisa seterusnya, seiring dengan imej Janji Happy di TV9 yang menjadi destinasi keluarga menghidangkan barisan program untuk tontonan keluarga, pihaknya berharap agar program 'Dapur Tempur' ini bakal menjadi rancangan pilihan keluarga di Malaysia.
“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja bersama Panasonic dan Nona yang turut sama memeriahkan lagi program Dapur Tempur,” tambahnya.
Sesi uji bakat telah diadakan seawal Februari 2022 untuk mencari pasangan keluarga yang mahir memasak kerana kumpulan peserta terpilih perlu menyediakan dua hidangan menarik mengikut tema yang telah ditetapkan setiap minggu.
Lebih menarik lagi, terdapat cabaran yang akan menguji kebolehan dan kesabaran peserta untuk memasak di bawah tekanan.
Antara cabaran-cabaran yang perlu mereka lalui adalah cabaran Tukar Bakul di mana setiap kumpulan perlu menukar bakul bahan masakan mereka bersama kumpulan lain, cabaran Keluarga Serasi Atau Sendu di mana hanya satu peserta sahaja yang akan memasak dan pasangannya mengambil alih tugas memasak selepas beberapa minit tanpa komunikasi antara mereka.
“Cabaran Masak Apa Yang Ada pula berkehendakkan setiap perlu menyediakan menu mingguan dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang telah disediakan dan banyak lagi,” cerita Khairunnisa.
Juara 'Dapur Tempur' bakal memenangi hadiah wang tunai RM6,000 berserta ketuhar stim cubie Panasonic dan bekalan produk Nona selama setahun manakala naib juara bakal memenangi hadiah wang tunai RM4,000 dan periuk nasi IH Panasonic.
Pemenang mingguan pula membawa pulang hadiah wang tunai RM500 tajaan Nona manakala pemenang cabaran Nona dalam episod-episod tertentu membawa pulang hamper produk Nona bernilai RM1,000.
Barisan juri Sheila Rusly, Yasmin Hani dan Chef Adu (depan, dua dari kiri) bergambar bersama peserta.
“Sudah pastinya kami amat teruja untuk menyajikan program realiti terbaharu kepada penonton setia kami kerana ia bakal menghiburkan seisi keluarga setiap malam Khamis dengan pelbagai gelagat peserta yang bertanding serta mereka juga bakal mendapat tips-tips masakan yang boleh dimanfaatkan daripada juri berpengalaman,” akhiri Khairunnisa sambil memberitahu, setiap episod juga menampilkan juri-juri jemputan yang akan sama-sama menilai aneka juadah yang disediakan oleh peserta 'Dapur Tempur'.
Antara juri jemputan termasuk Nana Mahazan, Ayda Jebat, Afifah Nasir, Naim Daniel, Ropie, Sissy Imann, Bell Ngasri dan Michael Ang.
Jadi tandakan kalendar anda mulai 3 November 2022, setiap hari Khamis, jam 8.30 malam di TV9 dan juga melalui strim langsung secara HD di www.tonton.com.my malah penonton boleh gunakan hashtag #dapurtempur dan filter berkonsepkan game Dapur Tempur dalam Instagram untuk menghangatkan lagi perbualan di media sosial.
- KitaReporters