Video| Apa hal gaduh-gaduh! Resipi nasi goreng cili kering okey! Tapi makan dengan tangan? Salah ke?

Published by
KitaReporters


Kaedah makan menggunakan tangan sudah sebati dalam jiwa orang Melayu. Sejak dulu lagi, itulah ‘alatan’ paling sesuai digunakan untuk makan terutama nasi. Bayangkan makan nasi menggunakan sudu, pasti hilang kenikmatannya.

Kalau orang Cina terkenal dengan chopstick atau penyepit dan orang Barat terkenal dengan sudu serta garfu, maka orang Melayu terkenal menggunakan tangan. Begitu juga dengan kaum India.



Namun, ada sesetengah makanan Melayu yang tidak dimakan menggunakan tangan terutama makanan berkuah seperti mi kari atau laksa (tidak semua). 

Sungguhpun begitu, ada juga orang Melayu tidak biasa makan menggunakan tangan untuk sesetengah makanan seperti nasi lemak, mi goreng, nasi goreng dan lain-lain.



Perbezaan ini adakalanya mengundang perdebatan terutama dalam media sosial. Masing-masing mempertahan prinsip dan budaya yang telah diamalkan sejak dulu lagi. 

Kalau anda sebagai orang Melayu mempertikai kenapa guna tangan untuk makan sesuatu makanan itu, maka bersedialah untuk menerima kecaman.

Perkongsian resipi nasi goreng cili kering oleh seorang food content creator bernama Hamdan Mubarak dalam TikToknya mengundang perdebatan dalam kalangan netizen. 

Menariknya, perdebatan itu bukan disebabkan resipi yang dikongsi, tetapi tindakannya menjamah hidangan tersebut menggunakan tangan.


Hamdan lebih selesa makan nasi goreng menggunakan tangan.


Dalam video yang dikongsi, Hamdan telah berkongsi satu resipi nasi goreng cili kering. Perkongsian itu mendapat sebanyak 1.6 juta tontonan! Tidak menghairankan kerana akaun TikToknya mempunyai 2.2 juta pengikut. 

Bayangkan, dengan jumlah pengikut seramai itu, sedikit kesilapan atau kejanggalan, pasti akan mengundang perdebatan.



Namun, resipi yang dikongsi olehnya tiada apa-apa cacat-celanya. Malah, ramai yang terpesona dan terliur melihat nasi goreng cili kering yang dimasaknya itu. 

Cuma, perdebatan terjadi dalam kalangan pengikutnya apabila salah seorang daripadanya mempersoal cara makannya yang menggunakan tangan. 

“Entahlah bang. Macam tak kena makan nasi goreng guna tangan,’ soal salah seorang netizen.




Mungkin bagi sesetengah orang, makan nasi goreng menggunakan tangan sesuatu yang janggal. 

Secara jujurnya, penulis juga tidak biasa makan nasi goreng menggunakan tangan dan lebih selesa menggunakan sudu. Namun, lain padang, lain belalang. Lain orang, lain caranya. Kita raikan sahaja perbezaan itu. - KitaReporters



14
7
0
10
0

Copy Link: