PELANCONG yang berpeluang berkunjung ke Terengganu dan ingin menikmati makanan percuma termasuk cendol dan nasi dagang jangan lepas peluang meneruskan perjalanan dengan memilih destinasi di daerah Besut kerana ada restoran meyediakan makanan percuma kepada anda. : KitaReporters.com

Cendol percuma kepada pelanggan yang berkunjung ke Restoran Zam di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut, Terengganu.

Tawaran makan cendol percuma sampai kenyang kepada orang ramai menarik perhatian pengunjung yang menyerbu Restoran Zam, di Kampung Pengkalan Nyireh, kira-kira 15 kilometer dari Bandar Jertih, Terengganu.

Tawaran bermula dari jam 10 pagi hingga 7 malam itu sebahagian usaha pemilik restoran terbabit untuk memberi makanan percuma kepada orang ramai sambil melakukan amal jariah dalam perniagaan.

Lokasinya terletak di laluan utama Jertih ke Kuala Besut melalui Kampung Raja.

Ia menjadi tumpuan orang ramai kerana laluan itu juga menjadi pilihan pelancong untuk melancong ke pusat peranginan terkenal Pulau Perhentian.

Pengurusnya, Tuan Shafina Tuan Azlan, 24, berkata pengunjung ke restoran itu boleh mendapatkan makanan cendol percuma sepanjang hari dan diwajibkan makan di restoran berkenaan sahaja.

Katanya, cendol percuma kepada pelanggan di restoran itu sering dilakukan sepanjang waktu malah sepanjang tahun ini sudah empat kali tawaran dibuat kepada pengunjung restoran terbabit.

Ketika restoran itu beroperasi  pada jam 10 pagi, orang ramai tidak putus-putus berkunjung sama ada secara individu, keluarga dan rakan pejabat yang datang untuk menikmati makanan percuma itu,

Tuan Sharifah berkata, pihaknya menyediakan 10 pekerja untuk melayani pelanggan yang datang bagi mendapatkan cendol percuma sepanjang hari 

Orang ramai menikmati cendol percuma yang disediakan di Restoran Zam.

Katanya, tidak kurang 300  pengunjung datang menikmati cendol percuma pada waktu urus niaga termasuk kakitangan kerajaan yang datang ketika waktu rehat tengah hari untuk menikmati makanan itu.

Beliau berkata, restoran berkonsepkan keluarga itu dibuka sejak tiga tahun lalu bukan sahaja didatangi penduduk tempatan, malah sering dikunjungi  artis dari Kuala Lumpur termasuk krew penggambaran drama yang membuat penggambaran di Pulau Perhentian dan Bukit Keluang.

Restoran Zam sentiasa menunggu kunjungan pelanggan.

Tuan Sharifah berkata, selain cendol, pihaknya juga sering menyediakan makanan nasi dagang secara percuma yang dilakukan secara bergilir antara cendol dan nasi dagang.

"Slogan “Makan Sedap Perut Kenyang” yang menjadi teras perniagaan wakaf itu tetap diberi rezeki tambahan oleh Allah walaupun sering menyediakan makanan percuma kepada orang ramai," katanya.

Selain makanan percuma, pihaknya juga turut menyediakan lima menu utama termasuk cendol, pasembur, nasi goreng, laksa penang dan teh-0 dengan keistimewaan setiap pelanggan boleh menambah makanan terbabit sampai kenyang tetapi harganya tetap sama. - KitaReporters.com

0
5
0
1
0

Copy Link: