Nak bercuti? Pusing Selangor Dulu! Tebus baucar pelancongan! Tengok 5 tempat pilihan pengunjung
Published byArdence Lab Eco Ardence, Setia Alam. - Kredit foto: Zatylyaya
Hari yang ditunggu-tunggu sudah tiba. Ada sudah lama menunggu untuk balik kampung, ada yang tidak sabar nak pergi berjalan-jalan makan angin. Ada tidak sabar nak beraktiviti dan berekreasi. Dengan kadar 90 peratus vaksinasi lengkap dua dos bagi kumpulan dewasa, maka rentas negeri dibenarkan oleh kerajaan.
"Jadi, esok (11 Oktober) bebaslah dan inilah yang ditunggu-tunggu masyarakat. Rakyat Malaysia sudah boleh melakukan pergerakan," kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu sidang media khas pada 10 Oktober 2021.
Jelas Perdana Menteri lagi, aktiviti pelancongan juga dibenarkan selari dengan kebenaran untuk merentas negeri. Bukan saja dalam kalangan pengguna kegembiraan, malah pengusaha pun.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pelancongan
Negeri Selangor telah menghangatkan suasana industri dengan mengeluarkan senarai jenis tempat tumpuan orang ramai bercuti, sejak Sambutan Hari Malaysia Ke-58, pada September 2021 lalu lagi.
Maka, jom kita tinjau seleksi tempat tumpuan rakyat berbilang kaum yang ada di Selangor.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, yang mana keharmonian dan keamanan dikecapi pada hari ini disebabkan sikap tanggungjawab dan toleransi yang telah lama dipraktikkan oleh semua kaum.
Tourism Selangor menyenaraikan jenis-jenis tempat tumpuan di Negeri Selangor yang digemari seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.
1. Tempat Pemandangan Cantik
Tempat pemandangan indah, Pantai Remis. - Kredit foto - Umar .Yasir1
Siapa saja tidak suka pemandangan indah dan cantik kan? Negeri Selangor juga ada banyak tempat tumpuan yang menawarkan pemandangan indah. Ada di antaranya sangat sesuai dijadikan tempat penggambaran atau beristirahat bersama keluarga dan kenalan.
Tempat pemandangan indah di sekitar Negeri Selangor berkonsep alam semula jadi, mahupun jenis buatan manusia yang boleh lawati seperti Sky Mirror Kuala Selangor, i-City Shah Alam, Pekan Sekinchan, Sabak Bernam dan juga Ardence Lab Eco Ardence, Setia Alam.
2. Tempat Makan
Tempat makan, Ali Ah Hock dan Muthu Kopitiam. - Kredit foto: Aisyafrump
Ada yang lebih mengutamakan tempat makan. Antara tempat tumpuan makan terkenal dalam kalangan semua bangsa di Selangor adalah Kopitiam seperti Chong Kok Kopitiam dan Ali Ah Hock dan Muthu Kopitiam, serta tempat makan durian seperti Durian SS2 dan Durianity. Selain oleh singgah di SS15, Subang Jaya iaitu salah satu syurga makanan di Negeri Selangor yang mempunyai pelbagai pilihan tempat makan seperti Nomms, Jibril dan Gold Chili.
3. Pantai dan Taman
Taman Tasik Cyberjaya. - Kredit foto: Heartshots
Taman riadah di Negeri Selangor kebanyakannya menawarkan pemandangan indah dengan kemudahan mencukupi. Selain daripada taman, pantai juga lokasi sesuai dilawati semua lapisan masyarakat. Pantai dan taman menarik di Negeri Selangor termasuk Pantai Remis, Pantai Morib, Taman Botani Negara Shah Alam dan Taman Tasik Cyberjaya.
4. Mendaki
Bukit Broga tempat aktiviti mendaki
Aktiviti mendaki juga kegemaran ramai. Ia satu aktiviti yang mampu membantu seseorang mendapatkan fizikal dan mental sihat kerana kegiatannya memerlukan kecekalan minda dan ketahanan badan.
Antara tempat yang bukan sahaja menyediakan trek mendaki yang mencabar malah menawarkan pemandangan memikat. Antaranya, Bukit Broga dan Bukit Kutu. Namun, terdapat beberapa lokasi pendakian di Negeri Selangor memerlukan permohonan permit.
5. Sukan
Tempat aktiviti sukan lasak, white water rafting Hulu Selangor. - Kredit foto: Ainamariah
Aktiviti sukan boleh meningkatkan semangat toleransi dan kerjasama antara peserta. Tempat aktiviti sukan yang luar biasa meliputi penyedia perkhidmatan White Water Rafting di Sungai Selangor, Skytrex Adventure Sg Congkak, dan District21.
Bermula 13 Ogos sehingga 16 September 2021 lalu lagi, Tourism Selangor telah menyemarakkan semangat nasionalisme dalam menyambut Hari Kebangsaan ke-64, dan seterusnya, Hari Malaysia ke-58. Dan tempat-tempat menarik disarankan itu, sentiasa menunggu pengunjung.
Namun, perlu diingat, rakyat teruslah amal dan patuhi langkah keselamatan yang telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara untuk membendung penularan wabak Covid-19. Ikuti SOP seperti memakai topeng muka, menggunakan cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan sosial di mana sahaja anda berada.
Untuk terus mendapatkan inspirasi dalam merancang perjalanan anda ke tempat tumpuan di Negeri Selangor, ikuti kemaskini akaun rasmi media sosial Tourism Selangor termasuk di Instagram Twitter, Facebook, TikTok dan juga Saluran YouTube, atau layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.
Penduduk Selangor boleh memanfaatkan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 yang dilancar 1 Oktober 2021. Baucar pelancongan percuma sebanyak 10,000 bernilai RM100 itu hanya boleh didapati di platform e-dagang Shopee, untuk kegunaan penginapan hotel, taman tema dan inap desa (rumah inap) berlesen. - KitaReporters