HAJAT di hati ingin`menakluk`negara Uncle Sam, bukan dengan cara ketenteraan tapi lebih kepada `menjamu` perut rakyat negara itu dengan hidangan warisan asli kebanggaan negara. Impian itu menjadi kenyataan bagi anak muda ini, Ahmad Kamil Zulkifli, 28, apabila ditawarkan sebagai kru di kapal persiaran 16 tingkat, di New Orleans, Amerika Syarikat. : Kitareporters


Nasi Kuning @ Nasi Royal Special. Air tangan cef yang dapat pengalaman memasak di atas kapal persiaran mewah di New Orleans Amerika


Lagi kisah-kisah berkaitan cef:

https://kitareporters.com/search?search=cef


Berpeluang menjadi kru dapur untuk kapal persiaran Carnival Dream milik Carnival Cruises US, berpengkalan di New Orleans menjadi kebanggan kita kerana Kamil mewakili Malaysia bersama 2,500 kakitangan dari pelosok dunia bagi memberi perkhidmatan kepada 6,000 penumpang, majoritnya orang Amerika.

Peluang itu bukan saja pengalaman sangat berharga malah Kamil juga dapat `bercuti` di destinasi pelancongan terkemuka dunia yang menjadi impian ramai orang termasuk lokasi penggambaran filem James Bond, Jamaica. Bagi orang Amerika, mereka berebut-rebut untuk menghabiskan cuti di atas kapal mewah itu kerana harganya murah.


Ahmad Kamil.... bangga menjadi anak Malaysia bekerja di atas kapal persiaran mewah.


Kamil bekas pelatih di Hotel Sheraton dan Hilton, bekerja di atas kapal Carnival Dream itu hampir setahun pada 2018. 

Tugasan mengikut syif selama 10 jam bermula jam 3 pagi, tengah hari dan petang bukannya mudah. Tambahan pula  menyediakan pelbagai juadah bagi keperluan lebih 8,000 termasuk 2,500 kakitangan. Ada ketika mencetuskan momen yang lucu.

"Ada sekali itu kapten dapur minta saya hidangkan satu masakan dari Malaysia. Saya cadangkan nasi lemak dan masalah hendak dapatkan daun pandan menyebabkan rakan dari Mynmar meminta saya menggunakan rempah ratus India macam bunga lawang, kulit kayu manis dan buah pelaga. 

"Sebab dia kata nasi lemak itu macam nampak `kosong`. Saya buat saja, nasib baik licin nasi itu ," katanya.


Anugerah kedua... tengok yang bersamanya. Ketuanya bangga kerana Bahasa Inggerisnya sangat fasih.


Kamil yang bertugas di dapur untuk pekerja turut menyediakan sajian Barat seperti spagheti, steak dan ikan bakar Salmon, berkuah kicap cili kepada para eksekutif. Beliau ada mengemukakan menu rendang tapi `dihalang` oleh rakan-rakan sekerja dari negara jiran daripada memasaknya.

Menceritakan kisahnya, sebaik tamat pengajiannya di Polikteknik Metro Kuala Lumpur dalam bidang Pengurusan Hotel (Hotel Management) pada 2016, Kamil menemui kerja kosong di kapal itu dari laman web. 

Dia terus mengisi borang tawaran itu sekadar mencuba nasib kerana sejak kecil, selepas berpengalaman mengikuti keluarga kembara di Eropah, semangatnya berkobar-kobar untuk bekerja di luar negara. 


 

Tahniah kerana mengharumkan nama keluarga.


Kota Amerika menjadi pilihan pertamanya. Dengan restu ibu bapanya yang juga bekas wartawan Berita Harian, Kamil menjadi krew dapur selama 9 bulan 2 minggu dan sepanjang tempoh itu, dia menerima dua kali anugerah pekerja cemerlang. Satu pengalaman luar biasa memandangkan dia dari Malaysia yang baru saja lulus pengajian kolej.

Paling menarik kerana sikap peramah dan suka `bersembang` serta sangat patuh kepada arahan penyelia, Kamil diberi kepercayaan menjadi tukang masak untuk buat`live show` sepanjang kapal berlayar dengan menyediakan masakan Jepun termasuk nasi goreng.

"Mula-mula rasa gusar juga buat demonstrasi ni yang kita sering tengok di bar-bar Jepun bila tukang masaknya kena pamerkan macam-macam skil `melambung` pisau dan bahan dalam kuali lebar tu. Tapi alhamdulillah, dengan tekad dan yakin, saya bukan saja dapat ramai kenalan dan seronoklah bila pelancong juga suka," katanya.

Kamil berkata kapal 16 tingkat itu menawarkan pakej bercuti dengan harga AS$300 dolar (RM1,200) , khas untuk keluarga yang ingin berhibur selama seminggu di tengah lautan dan singgah di lokasi tertentu. Mereka boleh juga membeli-belah dan hadiri acara makan minum bergaya mewah di atas kapal berkenaan. 


Ahmad Kamil (kiri) dan adiknya Ahmad Fared.


Peluang itu juga memberi peluang kepada Kamil singgah di Kepulauan Caribbean, Bahamas, Jamaica dan Mexico sebelum balik ke pangkalan di New Orleans.

Sebagai anak Asia katanya, berketuakan `Mat Salleh`dari Eropah sangat `mudah berunding cara`. Sebabnya bila bekerja dalam keluarga besar, kakitangan mesti berdisplin, rajin dan `tahan lasak`. Dan hampir setahun itu, Kamil tidak pernah bercuti.

Meskipun begitu, kata orang kalu sudah rezeki di depan mata, Kamil masih dapat berasa bercuti `percuma` kerana anugerah pekerja cemerlang, turut diterimanya wang tunai AS$500 dolar (RM2,000) , baucer makan malam di kelas mewah yang tempat ini kanak-kanak tidak dibenarkan masuk serta plak pengiktirafan kerjayanya.

Bagi bekas lulusan Sekolah Menengah USJ 13, Subang Jaya itu, keputusan bekerja di atas kapal persiaran itu memiliki cabaran tersendiri. Pening akibat mabuk laut bukan mudah dan sebagai orang Islam, mendapat makanan halal juga sangat rumit. Kamil cuma makan ikan dan sayur-sayuran saja.

"Bila berjauhan dengan ibu bapa, kami videocall saja untuk mengubat  rindu. Ada klinik untuk kakitangan. Dan saya berterus terang dengan kapten dapur untuk mendapatkan periuk bagi kegunaan peribadi dan alhamdulillah, saya jarang terlepas solat. Puasa juga penuh," kata Kamil bangga mengingatkan pengalaman manisnya.

Kenapa pulang?. "Saya rindukan suasana hidup di negara kita." katanya.

Kamil menolak tawaran untuk menyambung kontrak dan pulang untuk mengapai minatnya dalam bidang pelancongan. 

Kerana itu cita-cita pertamanya, meneroka kehidupan sebagai kaki kembara. Dia kemudian mendapat jawatan sebagai ejen pelancongan di sebuah syarikat tempatan.


Cita rasa best!.. Ayam Goreng Berempah di gerai Canope Biru.


Malangnya cuma bertahan selama enam bulan saja kerana sebaik wabak Covid-19 melanda seluruh dunia, agensinya terpaksa menangguhkan perniagaan. Kamil reda sebab sebelum itu pun dia pernah bertugas di Hotel Ritz Carlton selama enam bulan secara kontrak sebaik saja menjejak kaki ke Malaysia pada Januari 2019.

Kenapa tidak terus kekal di AS?. "Ada niat juga untuk tinggal dan bekerja di AS. Tapi masa itu politik negara itu sedang bergolak dan industri pelancongan juga lembab.

"Dan peluang kerja juga terhad disebabkan pentadbiran bekas Presiden Donald Trump, menyekat peluang pendatang untuk berkerja di Amerika." katanya yang berharap dapat meneruskan minatnya menggembara di kota-kota Eropah.

Sementara menunggu peluang keemasan itu, Kamil dan adiknya, Ahmad Fared menggunakan pengalaman dan kemahiran memasak untuk membuka gerai dikenali Canope Biru menjual Nasi Kuning @ Nasi Royal Special berlauk ayam goreng berempah, gulai rempah Kelantan, berulam timun dan sambal.


Nasi Kuning @ Nasi Royal Special.


Pada masa ini, mereka berniaga di sebelah bangunan Perkeso, di depan bangunan Furniture Emperor, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

"Saya dan adik berkongsi perniagaan ni dan berharap sangat untuk mendapatkan permit foodtrak (kenderaan saji) bersaiz biasa daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)." katanya yang sudah mengemukakan permohonan berkenaan baru-baru ini. 

Kamil juga dalam usaha membuka cawangan kedua selepas menemui lokasi sesuai yang dibenarkan oleh DBKL. - KitaReporters


Canope Biru dekat bangunan Perkeso Jalan Ampang Kuala Lumpur.

4
2
0
0
2

Copy Link: