Pesisiran tasik di Anjung Floria yang tenang bukan saja menarik perhatiaan warga tempatan tapi juga pelancong luar yang seronok melihat pemandangan yang indah.


MERIAH! Itulah yang boleh dikatakan selepas berakhirnya Hari Rekreasi Putrajaya 2024 (HRP 2024), dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dalam kalangan warga tempatan dan dari luar negara. Ia adalah penganjuran kali ketiga tahun ini selepas kali pertama diadakan di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya pada 2022.

Semua acara HRP 2024 diadakan secara percuma bagi menjenamakan Putrajaya sebagai sebuah bandar rekreasi bertaraf antarabangsa. 

Dan, rekreasi air dipilih sebagai tema acara bagi mempromosikan pusat pentadbiran negara itu sebagai lokasi untuk sebarang aktiviti riadah dan sukan dengan memanfaatkan kemudahan rekreasi tersedia, terutamanya aktiviti rekreasi air. 


Kanak-Kanak paling gembira kerana dapat berendam dalam kolam yang disediakan khusus untuk mereka di HRP 2024.


Sejak jam 6.30 pagi, kawasan di pentas utama Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya diserbu orang ramai terutama ibu bapa yang mengambil peluang cuti hari minggu untuk membawa anak-anak mengambil bahagian selain mandi manda kerana penganjur menyediakan kawasan khusus untuk si cilik berendam.

Dalam masa beberapa jam, kawasan Anjung Floria sudah dipenuhi orang ramai dan keadaan seperti pesta dengan pelbagai aktiviti untuk memeriahkan program Hari Rekreasi Putrajaya 2024. 

Seronok melihat peserta yang mengambil bahagian dalam acara sukan kenangan seperti menangkap anak ikan, perah air dalam botol, lumba lari bawa belon, acara tong air, lambungan belon beracun dan pancing botol air. 


Inilah keseronokan HRP 2024 kerana selain aktiviti air, kanak-kanak dapat bermain pasir di tepi tasik.


Acara lain yang diadakan ialah Pasar Seloka, Water Theme Park, Perang Air (Water War). 

Di sebelah pagi di meriahkan dengan zumba manakala petangnya pelbagai acara menarik disediakan di pentas utama, antaranya cabutan bertuah, permainan silap mata dan persembahan pentas yang menampilkan pemuzik generasi baharu dan busker selain Wetland Studio daripada KRU Entertainment.

Dan, buat pertama kalinya HRP 2024 mengadakan aktiviti Jom Apung Diri, acara berbentuk keyakinan diri yang terbuka kepada sesiapa saja yang berusia 10 tahun ke atas. Seramai 430 peserta mengambil bahagian dan berpeluang berendam di Tasik Putrajaya.

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud, berkata HRP 2024 turut diadakan sempena Hari Sukan Negara yang disambut pada minggu kedua setiap Oktober. 

Sambutan pengunjung amat menggalakkan bukan saja daripada warga Putrajaya, tapi masyarakat luar, membuktikan orang ramai sudah mengenali acara ini yang diadakan setiap tahun.


Fadlun (lima dari kanan) bergambar bersama pemenang swimathon kategori junior bagi jarak 500 meter.


Fadlun (empat dari kanan) bergambar bersama pemenang bagi acara Swimathon kategori tiga kilometer.


"Dan, buat pertama kalinya kita mengadakan acara swimathon (renangton) iaitu acara berenang jarak jauh, membabitkan empat kategori iaitu junior sejauh 500 meter, selain untuk perenang pro bagi kategori 1.5 kilometer, tiga kilometer dan enam kilometer.

"Alhamdulillah, saya berpuas hati dengan penyertaan yang memberangsangkan, 592 peserta termasuk dari luar negara antaranya Singapura, Indonesia, Australia, Greece, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

"Sambutan yang diterima memang di luar dugaan kerana kita tidak buat promosi yang besar untuk peserta dari luar negara tapi ramai yang datang untuk mengambil bahagian. Ini satu petanda yang positif dan saya syorkan kita mengasingkan kategori luar negara dan tempatan supaya penyertaan lebih ramai tahun depan (2025). 

Persembahan kumpulan muzik memeriahkan acara sempena HRP2024 di Anjung Floria, Presint 4, Putrajaya.


"Perbadanan Putrajaya berharap penganjuran acara seperti swimathon dan Hari Rekreasi Putrajaya dapat menjadikan Putrajaya sebagai penanda aras terhadap keindahan landskap bandar dan pelbagai aktiviti rekreasi yang ditawarkan ke arah menyokong kepada gaya hidup sihat serta aktif," katanya lagi.

Fadlun berkata demikian selepas merasmikan Hari Rekreasi Putrajaya 2024 di Anjung Floria, Presint 4 Putrajaya.

Turut hadir Naib Presiden Kanan, Jabatan Perkhidmatan Korporat, Perbadanan Putrajaya, Shamsul Joehari. Beliau juga menyampaikan hadiah kepada pemenang swimathon bagi semua kategori selain cabutan bertuah.

HRP 2024 mendapat kerjasama Bank Muamalat Malaysia Berhad, Lits Advance Sdn Bhd, YC Modular Tents Sdn Bhd, Yeop Canopy, Acuan Unggul Sdn Bhd, Pro Office Solutions, CVS Vending Services dan Koperasi Kumpulan Johawaki Berhad. 

Fadlun mengangkat sijil pengiktirafan dari MBOR untuk anugerah  “The Longest Parallel Double Zipline Flying Fox in Malaysia” sepanjang 420 meter.


Sempena perasmian itu, beliau menerima sijil pengiktirafan dan anugerah “The Longest Parallel Double Zipline Flying Fox in Malaysia” (Flying Fox Zipline Berganda Selari Terpanjang di Malaysia) sepanjang 420 meter daripada Malaysia Book of Records (MBOR). 

Pada HRP2023, pihaknya menerima pengiktirafan Barisan Perkelahan Terpanjang (The Longest Picnic Line) iaitu sepanjang 709.5 meter.

"Kita akan meneruskan program ini tahun depan (2025) kerana sambutan baik dan ia boleh memperkenal Putrajaya dan Malaysia dalam kalangan pelancong luar negara tapi tentukan akan ada beberapa penambahbaikan bagi menjadikan acara tahun depan (2025) lebih menarik dan mendapat sambutan lebih ramai.

"Acara air yang diadakan bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa air tasik di Putrajaya bersih. Ia juga bagi memberi peluang orang ramai mandi manda kerana pada hari lain, kawasan tasik di sini memang tidak membenarkan pengunjung untuk berbuat demikian," katanya. 

Acara pancing air dalam botol antara Sukan Kenangan yang diadakan sempena HRP 2024


Ditanya sama ada berpuas hati dengan penganjuran kali ketiga itu, kata Fadlun, sambutan memang baik tapi beliau yakin jumlah pengunjung boleh ditingkatkan terutama dalam kalangan warga Putrajaya dan orang luar.

"Kita perlu tingkatkan promosi supaya lebih ramai warga Putrajaya dan pengunjung luar hadir, mungkin mereka ada acara lain yang tidak dapat dielakkan.  

"Saya akan mencadangkan acara hari rekreasi tahun depan (2025) membabitkan aktiviti komuniti Putrajaya supaya jumlah kehadiran lebih tinggi.

"Sepatutnya warga tempatan dan luar menggunakan kemudahan yang ada di Putrajaya kerana kita memiliki tasik antara yang terbaik di negara ini malah mempunyai pemandangan alam semula jadi yang indah," katanya lagi. - KitaReporters

Fadlun bergambar kenangan bersama kru HRP 2024 dan peserta yang mengambil bahagian dalam aktiviti rekreasi air.

15
15
0
14
0

Copy Link: