Video| Kalau ke Melaka jangan lupa ke Dondang Sayang! Jamu selera sambil nikmati alunan lagu dondang!
Published by“Melaka, Melaka... hai, kota yang aman
Masyhurlah
namamu... hai, zaman ke zaman”
(Lagu ‘Kota Melaka’ nyanyian Suhaimi Hamid)
Negeri Melaka, bumi kelahiran pahlawan Hang Tuah lima bersahabat, memang sudah masyhur sejak abad ke-15. Empayar kerajaan Melaka terkenal di dunia sebagai pusat perdagangan sehingga menarik ramai pedagang luar berurus niaga. Ini termasuk dari Portugal.
Sedihnya Portugis,
yang mulanya datang untuk mencari kekayaan, akhirnya menawan negeri tersebut
kerana mahu merampas hasil mahsul serta menyedari betapa strategiknya Melaka
sebagai pelabuhan dan pusat perdagangan.
Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511 menyaksikan sultan terakhir, Sultan Mahmud Shah lari ke Bentan bersama pengikut setia. Portugis menguasai Melaka selama 130 tahun sehingga 1641. Habis Portugis, Belanda pula menjajah Melaka untuk tempuh lebih lama iaitu 183 tahun dari 1641 hingga 1825.
Jika ada
sesuatu yang signifikan daripada penjajahan Portugis dan Belanda ini ialah
tinggalan sejarah kedua-dua negara pejajah itu. Banyak bangunan lama bercirikan seni
bina Portugis dan Belanda masih kukuh berdiri di bumi Melaka sehingga kini.
Sayangnya
tidak ada secebis tinggalan sejarah Kesultanan Melaka yang wujud dalam bentuk
fizikal, misalnya bangunan istana lama, sebagai tanda kebesaran raja Melaka
dahulu. Yang ada hanyalah replika istana di Banda Hilir.
Mungkin bahan-bahan yang digunakan untuk membina istana adalah yang mudah rosak, seperti kayu. Kerana itu mudah terhakis oleh hujan dan panas. Binaan Portugis dan Belanda adalah daripada batu bata kukuh. Kota A’ Famosa (Portugis) dan bangunan merah Belanda, Stadhuys adalah antara contoh.
Yang pasti tinggalan sejarah itu menjadi tarikan utama pelancong dalam dan luar negara. Sepanjang masa, terutama pada hujung minggu atau waktu cuti, pelancong berpusu-pusu membanjiri Melaka sehingga berlaku kesesakan di kawasan bandar, khususnya di kawasan Dataran Pahlawan, Banda Hilir.
'Dondang Sayang' di Tengkera, Melaka, tempat pilihan menjamu selera.
Pada sebelah malam nikmatilah makanan panas dan makanan laut di 'Dondang Sayang'.
Selain
tinggalan sejarah, sosiobudaya masyarakat Melaka juga menarik. Hanya di negeri
ini ada keturunan Baba Nonya. ‘Dondang Sayang’ pula pusaka seni yang sinonim
dengan negeri Melaka. Pendek kata ‘Dondang Sayang’ ialah Melaka dan Melaka
ialah ‘Dondang Sayang’!
Ingin
mendengar alunan ‘Dondang Sayang’ sambil menikmati hidangan pelbagai jenis
makanan? Datanglah menjamu selera ke kedai makan ‘Dondang Sayang’ di Tengkera.
Ia juga dikenali dengan nama ‘Dondang Sayang Bunga Seafood Gang’.
Tempat ini menyediakan pelbagai jenis makanan
untuk pengunjung makan tengahari atau makan malam. Operasinya dalam dua sesi.
Dari pukul 11 pagi hingga 4.30 petang ia menyediakan pelbagai jenis lauk pauk
siap di masak.
Pilih
sahaja yang berkenan. Ada masakan ayam, daging, ikan yang dimasak dalam
pelbagai citarasa seperti masak lemak, masak tempoyak, masak cili dan gulai.
Juga terdapat ikan bakar dan siput sedut masak lemak. Selain itu ada bubur
kacang, labu, jagung dan pulut hitam untuk pencucui mulut.
Mulai pukul 6 petang hingga 11 malam tempat makan ini beroperasi menyediakan makanan panas, memenuhi citarasa menurut pesanan pelanggan. Ini termasuk makanan laut.
Bersila menjamu selera menikmati suasana menghadap juadah di kampung.
Kawasan tempat makan bersila di 'Dondang Sayang'.
Uniknya
tempat makan di tepi jalan besar ini ialah pengunjung boleh memilih untuk makan
bersila atau duduk di atas kerusi. Ada ruang luas untuk makan bersila seperti
rumah kampung, juga kawasan berkerusi meja. Terpulang kepada anda hendak duduk
di mana.
‘Dondang
Sayang’ asalnya sebuah banglo besar yang telah diubah suai, mula beroperasi
kira-kira setahun lalu. Bahagian dalam juga diubah suai untuk mengekalkan ciri
bangunan lama seperti pada tingkap yang dihiasi kaca berwarna atau ‘stained
glass’.
Pada waktu
makan tengah hari atau makan malam, restoran ini sentiasa dipenuhi pengunjung menjamu selera
sambil dibuai irama ‘Dondang Sayang’ gemersik di telinga. Usah risau tempat parkir
kerana kawasan parkir yang luas disediakan di bahagian belakang.
Lain kali jika berkunjung ke Melaka untuk bersantai atau melawat tinggalan sejarah, datanglah menjamu selera di restoran ‘Dondang Sayang’.
Ada akan merasai persekitaran tempat makan yang selesa, makanan yang enak dengan harga berpatutan, pekerja yang mesra serta irama ‘Dondang Sayang’ mengusik jiwa. - KitaReporters
Pelbagai jenis bubur manis pencuci mulut di 'Dondang Sayang'.
Pelbagai lauk pauk untuk pilihan makan tengahari di 'Dondang Sayang'.